Categories
AGENDA NASIONAL

309 pendatang tanpa izin ditahan, tempat tinggal padat langgar SOP

DENGKIL, 21 JUN: Jabatan Imigresen menahan 309 pendatang tanpa izin daripada 715 yang diperiksa dalam operasi bersepadu di kawasan kediaman sebuah tapak pembinaan di sekitar Dengkil di sini, awal pagi tadi.

Pendatang tanpa izin yang ditahan terdiri daripada 280 lelaki dan 29 wanita melibatkan pecahan warganegara iaitu Indonesia (193), Bangladesh (102), lapan warga Myanmar, Vietnam (empat) dan dua warga India berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa tempat tinggal mereka dipercayai melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Ekoran itu, beliau berkata pihaknya telah menyerbu kawasan itu dan mendapati ia tidak mematuhi SOP PKP seperti yang ditetapkan.

“Saya tiba bersama pasukan operasi mendapati penempatan mereka begitu padat, kotor serta tidak mempunyai sistem saliran perparitan yang lengkap, selain mempunyai tempat untuk berkumpul dan makan secara beramai-ramai.

“Selain itu, hasil temu bual saya bersama mereka juga, pendatang itu mengaku tinggal dalam secara beramai-ramai dalam satu bilik iaitu sekitar empat hingga tujuh orang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Khairul Dzaimee berkata ini menunjukkan mereka ini bebas melakukan apa sahaja di dalam kawasan penempatan tapak pembinaan tanpa sebarang pematuhan SOP PKP.

Beliau berkata ini adalah tujuan utama Kementerian Dalam Negeri yang mengarahkan Jabatan Imigresen untuk membantu mengurangkan kes-kes positif wabak Covid-19 di tempat kerja warga asing.

Mengulas mengenai bagaimana wanita warga Indonesia menyelinap masuk ke negara ini mengikuti pasangan mereka, Khairul Dzaimee menjelaskan bahawa suami mereka akan masuk terlebih dahulu bekerja di Malaysia kemudiannya diikuti oleh pasangan masing-masing.

“Wanita warga Indonesia memasuki Malaysia dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial dan terus menetap di negara ini melebihi masa yang ditetapkan. Selain itu, mereka ini akan tinggal bersama suami mereka yang bekerja secara haram di negara ini.

“Kesemua pendatang tanpa izin ini akan menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini yang akan dilaksanakan oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dan PKD Seremban,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata selepas ujian saringan dilaksanakan kesemua mereka akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama sebelum proses proses pengusiran ke negara masing-masing dibuat.

Dalam operasi ini juga, Jabatan Imigresen turut memeriksa 10 warga Rohingya yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Daripada 10 pemegang kad UNCHR, hanya dua daripada mereka ditahan kerana memiliki kad UNCHR palsu manakala yang lain dibebaskan,” katanya.

Operasi bersepadu itu yang bermula pada 12.30 tengah malam dan berakhir 2.30 pagi tadi, disertai 189 anggota melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan antaranya Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Tenaga Kerja serta Angkatan Pertahanan Awam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pantau jumlah kemasukan rakyat Hong Kong ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Jumlah kemasukan warga Hong Kong ke negara ini tidak banyak berubah tahun ini walaupun terdapat kebimbangan akan berlaku peningkatan kemasukan rakyat negara itu berikutan krisis yang melanda Hong Kong.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Aziz Jamman berkata setakat ini, kemasukan warga Hong Kong tidak banyak berubah dan sentiasa di pantau oleh Jabatan Imigresen.

“Tiada banyak perubahan yang direkodkan… bagi tahun ini dari 1 Januari hingga 31 Ogos, hanya 242 kemasukan warga Hong Kong direkodkan manakala 458 orang bagi tahun 2018 dan 345 orang pada 2017,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Yong Wui Chung yang ingin tahu jumlah kemasukan warganegara Hong Kong ke Malaysia sejak berlaku krisis di sana sehingga kini.

Menjawab soalan Yong mengenai jumlah permohonan serta kelulusan yang diberikan kepada warga Hong Kong melalui program Malaysia My Second Home (MM2H), Mohd Aziz berkata seramai 1,265 permohanan daripada rakyat negara itu mendapat kelulusan dari tahun 2002 hingga 31 Jun tahun ini.

“Menerusi rekod Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, bagi Januari hingga Jun tahun ini, hanya 44 permohonan diluluskan. Justeru, dakwaan kemasukan secara besaran-besaran melalui MM2H tidak benar memandangkan agensi berkaitan sentiasa memastikan kawalan ketat bagi kemasukan pelancong, tidak kira dari negara yang aman atau bergolak,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

138,901 pendatang asing mohon balik negara asal

PUTRAJAYA, 14 DIS: Seramai 138,901 pendatang asing tanpa izin menyertai program ‘Back For Good’ (B4G) untuk permohonan pulang ke negara asal, setakat Khamis lalu, sejak program itu dilancarkan Jabatan Imigresen Malaysia pada 1 Ogos.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata warga Indonesia merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 53,328 orang, diikuti Bangladesh (38,734), India (22,964), Myanmar (6,923) dan selebihnya dari negara lain.

“Kami menjangkakan jumlah ini semakin bertambah setiap hari sehingga ke hujung bulan.

“Jabatan imigresen juga melanjutkan tempoh operasi sehingga 10 malam dan pejabat kami di seluruh Malaysia juga dibuka pada Sabtu dan Ahad,” katanya kepada media selepas program ‘Immigration Fun Run’ di sini hari ini.

Menjelang tarikh akhir program B4G, Khairul Dzaimee berkata jumlah pendatang asing tanpa izin yang menyertai program ini dijangka meningkat dengan mendadak kerana ramai yang suka menunggu saat-saat akhir dan beranggapan bahawa program ini akan disambung.

“Keputusan telah dibuat oleh kerajaan bahawa tidak ada sambungan pada B4G dan akan berakhir pada 31 Disember ni. Selepas itu, jabatan akan melaksanakan operasi penahanan secara besar-besaran,” katanya.

Beliau turut menasihati pendatang asing tanpa izin yang berada di Lembah Klang untuk tidak bertumpu di Jabatan Imigresen di Putrajaya, sebaliknya mereka boleh juga pergi ke pejabat Imigresen yang kurang sibuk seperti di Terengganu, Pahang dan di utara Semenanjung.

Program B4G bertujuan memberi peluang kepada warga asing yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat yang ditetapkan.

Mereka hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing dan menyerahkan kepada pejabat Imigresen untuk diproses.

Selain itu, mereka perlu menyediakan bayaran kompaun sebanyak RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan itu.

Sementara itu, mengenai program hari ini, Khairul Dzaimee berkata seramai 2,300 peserta menyertai larian ini di mana 1,000 daripadanya adalah kakitangan Imigresen.

“Objektif utama Immigration Fun Run ialah mempromosikan kehidupan sihat dan merapatkan jabatan ini dengan masyarakat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kediaman warga China terlibat penipuan di Cyberjaya kosong

PUTRAJAYA, 9 DIS: Sebanyak 29 unit rumah di Cyberjaya yang disyaki menjadi tempat tinggal warga China yang terlibat dalam aktiviti dalam talian didapati sudah tidak berpenghuni, kata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pemeriksaan JIM terhadap premis kediaman terbabit pada 7 Disember lalu adalah tindakan susulan bagi memburu mereka yang melarikan diri semasa operasi penahanan 680 warga China di Cyberjaya pada 20 November lalu.

“JIM percaya mereka sudah melarikan diri kerana semua unit kediaman berkenaan ditinggalkan kosong dan dalam keadaan berselerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 November lalu, JIM menggempur sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya dan menahan 680 warga China manakala lebih 100 warga China melarikan diri ketika operasi itu.

Khairul Dzaimee berkata JIM akan terus melaksanakan operasi besar-besaran bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan pas oleh warga asing.

Katanya JIM Sabah pada 26 November berjaya menahan 104 warga China dan pada 29 November pula, JIM Sarawak berjaya menahan 52 warga China yang disyaki terlibat dalam aktiviti dalam talian.

“Semua warga China yang ditahan ini masih lagi dalam proses siasatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen tahan pendatang guna kad UNCHR, MyRC palsu

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Bayar RM200 kepada ejen untuk mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan kad identiti khas MyRC palsu.

Itu adalah antara pengakuan pendatang tanpa izin yang disoal siasat selepas ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia di sekitar kawasan pangsapuri di Klang pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sebanyak 149 rumah dan seramai 253 penghuni pangsapuri itu diperiksa dan hasilnya 177 pendatang tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, dalam serbuan itu.

Beliau berkata 75 daripada mereka adalah rakyat Bangladesh; 50 Indonesia; 28 Myanmar; 12 India; empat Pakistan; masing-masing tiga orang rakyat Nepal dan Kemboja; serta dua warga Sri Lanka yang kesemuanya berusia antara 20-an hingga 50-an.

Mereka ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.

Kesemua mereka dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Jabatan Imigresen memaklumkan sejumlah 14,582 operasi penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari sehingga kini membabitkan 170,808 individu diperiksa dengan 43,476 pendatang tanpa izin pelbagai kewarganegaraan ditahan atas pelbagai kesalahan.

Turut ditahan ialah 1,086 majikan.

Tangkapan paling tinggi adalah warga Indonesia seramai 14,629 orang diikuti oleh Bangladesh seramai 9,450 orang; Myanmar (4,559); Filipina (3,445) dan bakinya adalah dari negara lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guna kamera di badan penguat kuasa elak salah laku

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku pegawai termasuk rasuah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya syor penggunaan kamera badan itu dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas seperti memukul orang yang disiasat.

“Pegawai akan pasang kamera di badan dia dan apabila dia bercakap atau orang bercakap boleh rekod. Kita boleh lihat apa yang dilakukan oleh pegawai ke atas pelanggan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

“Sudah tentu pegawai itu akan menafikannya tetapi pelanggan akan menegaskan bahawa dia telah dipukul, jadi antara kedua-dua mereka kita ingin tahu siapa yang betul.

“Apabila kita mempunyai kamera kita akan tahu sama ada dakwaan terhadap pegawai berkenaan ada asas ataupun tidak,” kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata tarikh pelaksanaannya belum diputuskan memandangkan ia melibatkan kos kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, selain kamera badan, mesyuarat JKKMAR turut bersetuju supaya penggunaan teknologi dalam operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dipertingkatkan dengan mewujudkan pusat kawalan setempat, pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan menambah mesin pengimbas berteknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta Alat Bantuan Operasi (ABO).

Katanya ini berikutan negara mengalami kebocoran hasil di pintu keluar masuk antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun akibat masalah integriti pegawai dan kekurangan peralatan teknologi terkini.

Dr Mahathir berkata pemantauan dengan pemasangan CCTV turut akan dipertingkatkan di pintu-pintu masuk negara dan depot tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memantapkan pemeriksaan serta meningkatkan kecekapan jabatan itu dan integriti pegawainya.

Selaras dengan janji kerajaan untuk menjadikan Polis Difaja Malaysia (PDRM) pasukan yang dihormati dan disegani, katanya penyelenggaraan dan penggunaan CCTV dalam lokap-lokap PDRM akan dipertingkatkan bagi memastikan ketelusan, mencegah salah laku dan menangani masalah kematian dalam tahanan.

“Lokap perlu mempunyai kamera supaya kita tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Dr Mahathir berkata, terdapat permintaan daripada PDRM, JKDM dan JIM bagi menambah pegawai susulan penambahan bilangan pelancong dan pekerja asing ke negara ini.

Katanya walaupun ketika ini jumlah kakitangan awam terlalu ramai sehingga mencecah 1.7 juta orang, namun kerajaan perlu memikirkan kaedah yang sesuai bagi memastikan operasi ketiga-tiga jabatan itu tidak terjejas akibat kekurangan pegawai.

“Mungkin kita boleh tukarkan beberapa orang yang sudah bekerja untuk tugas yang lebih penting kerana kita tak boleh tambah terlalu banyak memandangkan kita tak mempunyai wang yang cukup,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata mesyuarat JKKMAR juga mengambil maklum bahawa satu arahan Perdana Menteri akan disediakan mengenai panduan dan tatacara pengeluaran penyataan sokongan dalam apa jua bentuk oleh anggota pentadbiran.

Katanya arahan itu turut terpakai kepada semua pegawai awam di peringkat persekutuan, dan juga dipanjangkan serta tertakluk kepada penerimaannya di peringkat negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Menjelang sesi ucapan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober, Dr Mahathir berkata kerajaan akan memastikan bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berintegriti tinggi dan pengurusan governans yang baik terus dilaksanakan melalui inisiatif-inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Imigresen tahan lebih 15,700 PATI sejak Januari

KUALA LUMPUR, 5 APR: Seramai 15,715 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga Rabu lepas (3 April), kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia seramai 5,173 orang, diikuti warga Bangladesh (3,430), Filipina (1,439), Myanmar (1,458) dan selebihnya dari negara lain.

“Dalam pada itu, kami turut menahan 348 majikan premis kedai antaranya kerana kesalahan menyewakan premis perniagaan kepada PATI secara haram di pasar borong.

“Masalah kebanjiran warga asing di pasar borong bukan isu baharu, namun ramai yang tidak menyedari golongan itu telah mula menguasai pasaran di pasar-pasar borong tempatan,” katanya dalam sidang akhbar susulan operasi bersepadu di Pasar Borong Selayang di sini.

Khairul Dzaimee berkata, dalam operasi itu, 150 PATI diperiksa dan 107 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, pemeriksaan semasa operasi juga mendapati 79 warga asing adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Jabatan Imigresen akan menjalankan operasi penguatkuasaan berterusan bersama Polis Diraja Malaysia bagi mengekang masalah kebanjiran PATI di negara ini,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan juga amat penting dalam mengesan pihak yang menyewakan premis atau lot perniagaan kepada PATI.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Najib, Rosmah dihalang ke luar negara

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MEI: Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor disenarai hitam untuk ke luar negara.

Perkara itu dimaklumkan imigresen menerusi laman rasmi facebooknya.

Najib dipercayai bercadang mahu bercuti ke luar negara untuk mengambil keputusan berkenaan kedudukannya dalam Barisan Nasional dan akan memberi jawapan sekembalinya ke tanah air, minggu depan.

Namun belum sempat berangkat, beliau dan isterinya disenarai hitamkan imigresen.

Sementara itu, Najib menerusi laman sosial menyatakan akur dengan arahan berkenaan.

“Saya dimaklumkan Jabatan Imigresen Malaysia tidak membenarkan saya dan keluarga ke luar negara.

“Saya menghormati arahan itu dan akan bersama keluarga dalam negara,” katanya.

Kebanyakan rakyat yang memberi maklum balas di ruang komen beliau melahirkan rasa marah dan menganggap tindakan Najib serta Rosmah cuba melarikan diri daripada terus disoal siasat atas segala skandal ketika beliau menjadi perdana menteri.

Categories
NASIONAL

Imigresen kumpul maklumat ‘White Party Bangkok’

SHAH ALAM, 24 SEPT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mendapatkan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi penguatkuasa lain berhubung pesta gay yang dirancang diadakan, di Kuala Lumpur hujung bulan ini.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ia bagi memastikan mereka yang berkenaan tidak masuk ke negara ini dan akan diberikan Notis Penolakan Masuk (NIL) di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1559/63.

“Kerajaan ambil satu ketetapan iaitu melarang pesta berkenaan dan JIM dipertanggungjawabkan menyekat mana-mana individu atau penganjur masuk ke Malaysia.

“Saya juga tidak faham dengan mereka yang mempertikaikan tindakan JIM melarang individu terbabit pesta itu masuk ke Malaysia kerana ia bukan budaya negara ini,” katanya lapor BERNAMA.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan sebarang acara atau parti gay yang dilaporkan dirancang, pada 30 September ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, walaupun sehingga ini penganjur acara itu belum membuat permohonan permit, beliau mengarahkan PDRM untuk tidak meluluskannya.

Dilaporkan pesta itu bagi mempromosikan acara perhimpunan gay tahunan terbesar di Asia iaitu ‘White Party Bangkok’ di Thailand yang dijadualkan berlangsung, pada 28 Disember ini.