Categories
AGENSI SELANGOR

KEADILAN Selangor bersedia jika PRU mengejut

SHAH ALAM, 2 JULAI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor bersedia sekiranya pilihan raya umum (PRU) dilakukan dalam masa terdekat.

Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata politik adalah faktor penting semua parti dan pihaknya bersiap dengan sebarang kemungkinan.

“Dua minggu lalu, KEADILAN sudah maklum semua jentera bersedia sekiranya diperlukan atau keadaan memanggil. Pakatan Harapan (Pakatan) juga pada bulan lalu sudah bermesyuarat untuk minta semua peka dan bersedia,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Selangor Maritime Gateaway Water You Doing? Show Us Your Art! anjuran Landasan Lumayan Sdn Bhd di Bangunan SUK.

Bulan lalu, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu menggesa parti komponen Pakatan mempersiapkan jentera susulan kemungkinan PRU berlangsung dalam tempoh terdekat.

Categories
SELANGOR

Tegas heret dalang video

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: KEADILAN Selangor menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap dalang yang menyebar video ‘palsu’ didakwa berkait seorang menteri kanan.

“Pihak berwajib juga perlu menyekat penularan video dan memberi amaran keras kepada pihak yang terus-menerus mensensasikan fitnah ini kepada khalayak awam,” kata Pengerusinya, Amirudin Shari.

Beliau mengulas penyebaran beberapa siri video sejak dua minggu lalu, termasuk klip yang dikaitkan dengan pemimpin terbabit di laman lucah.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor, menyifatkan penyebaran itu “jelek dan keji” yang semakin “melampau dan memualkan”.

“Kini, politik menjadi medan fitnah bukannya sebagai wasilah kepada kemaslahatan awam,” katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.

Beliau menyarankan perlawanan politik seharusnya berlaku secara sihat dengan menawarkan idea yang mengangkat martabat rakyat dan negara.

“Komplot politik jahat yang mengheret rakyat ini seharusnya tidak berlaku lagi di era Malaysia Baharu ini,” katanya.

Amirudin berkata, ketika rakyat dan seluruh negara mengharapkan politik yang memberi harapan untuk perubahan dan pembangunan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Amalan politik sedemikian mencemarkan kesucian agama, tradisi dan budaya serta kemaslahatan rakyat khususnya umat Islam di negara ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Rakyat Selangor penduduk paling bertuah

KELANA JAYA 9 DIS: Rakyat Selangor merupakan penduduk paling bertuah berbanding dengan negeri lain di Malaysia kerana mempunyai banyak kemudahan berbanding negeri lain.

Ketua Srikandi KEADILAN Selangor, Nurainie haziqah Shafii berkata di Selangor terdapat lebih 46 Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) disediakan kepada rakyat yang tiada di negeri lain.

“Cuba tanya, di negeri lain ada ke kad peduli sihat? faedah pada rakyat mereka macam anak-anak muda yang baru berkahwin diberi insentif RM500? tiada kan?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ceramah Peduli Rakyat Parlimen Kelana Jaya.

Sementara itu, beliau menambah bahawa Wanita Umno tidak seberani Wanita KEADILAN apabila rakyat boleh bersemuka dan menanyakan apa jua persoalan.

“Kita turun padang ke negeri-negeri buat gelanggang politik di mana rakyat bebas tanya apa sahaja soalan dan pemimpin akan jawab.

“Wanita Umno tidak akan berani buat macam tu,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN Selangor desak siasat segera skandal RM9.5 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JUN: KEADILAN Selangor menggesa siasatan segera dibuat berhubung dakwaan bayaran RM 9.5 juta daripada akaun peribadi Perdana Menteri ke akaun peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafiei berkata, Perdana Menteri juga perlu menjelaskan hubungan istimewa antara beliau dan peguam itu sehingga menyebabkan penyaluran wang berkenaan, jika berlaku seperti dilaporkan.

“Situasi ini menimbulkan keraguan dan konflik kepentingan tatkala waktu penyaluran wang itu berlaku sekitar kes pembunuhan Pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi dan pendakwaan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti didakwa Sarawak Report.

“Saya menegaskan siasatan bebas dan adil dijalankan segera bagi memastikan isu membabitkan dakwaan terhadap salah laku Perdana Menteri dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau bersama sembilan yang lain membuat laporan polis bagi menggesa siasatan berhubung dakwaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.

Shuhaimi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) boleh menyiasat kes itu berdasarkan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

IMG_5840“Ia mungkin membabitkan situasi pecah amanah termasuk berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.

“Siasatan juga boleh dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana penyalahgunakan dana awam jika aliran kewangan seperti didakwa berkaitan dengan 1MDB,” katanya.

Pada 31 Mei lalu, Sarawak Report mendakwa RM4.3 juta didepositkan daripada akaun Ambank milik Datuk Seri Najib Razak, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB ke akaun peribadi Shafee.

Pada 1 Jun lalu, media sama turut mendakwa wang itu dimasukkan selepas sebulan setengah Hussein Ahmad mati dibunuh, pada 28 Julai 2013.

Pembayaran kedua berjumlah RM5.2 juta pula didakwa dilakukan menerusi akaun sama, pada 17 Februari 2014 iaitu dua minggu sebelum keputusan rayuan kes liwat Anwar.

Kes rayuan itu menyaksikan Shafee bertindak sebagai Pendakwaraya mewakili Jabatan Peguam Negara.