Categories
AGENDA NASIONAL

Segelintir kedai pajak gadai tindas pelanggan – Fomca

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menerima aduan terdapat beberapa syarikat pajak gadai menekan rakyat yang tidak begitu arif tentang moratorium dengan mengenakan caj walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru, Ketua Pegawai Operasi Fomca, Saravanan Thambirajah menggesa agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memantau beberapa syarikat pajak gadai yang mengenakan caj kepada pengguna.

Beliau berkata sebelum ini Persatuan Pajak Gadai Malaysia memaklumkan bahawa caj tidak dikenakan terhadap gadaian selama tiga bulan iaitu bermula dari 18 Mac hingga 12 Mei.

“Fomca menerima aduan daripada pengguna yang menggadaikan barang kemas mereka dan dimaklumkan perlu membayar sehingga sembilan bulan. Oleh itu, pihak KPKT perlu turun padang dan memantau di setiap premis pajak gadai ini.

“KPKT perlu mengambil inisiatif membantu pengguna yang tertindas. Fomca berharap pihak terlibat mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi hak pengguna supaya tidak dibuli hanya kerana mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Saravanan berkata KPKT juga memberi peluang kepada pengguna untuk mengadu nasib melalui media sosial atau menggunakan WhatsApp bagi memudahkan mereka yang tertindas menghantar gambar dan maklumat pemegang pajak gadai terbabit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai pajak gadai sesak bukti rakyat hidup susah

SHAH ALAM, 5 MEI: Kebanjiran orang ramai di kedai pajak gadai pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam menunjukkan ekonomi negara pada tahap buruk, kata presiden KEADILAN.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sehubungan itu kerajaan diminta memberi tumpuan merombak sistem ekonomi yang menekan rakyat pada masa kini selepas berakhir pandemik Covid-19.

“Baru sahaja sebulan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana sudah berderet orang serbu kedai pajak gadai, bukan sahaja golongan B40 tetapi M40 juga beratur di beberapa tempat.

“Kita lihat keadaan ini begitu menekan kehidupan rakyat. Justeru, cara kita tadbir negara dan urus ekonomi perlu dirombak,” katanya ketika bersiaran langsung di Facebook hari ini.

Sejak semalam, gambar kedai pajak gadai menjadi tumpuan orang ramai selepas hari pertama PKPB dilaksanakan tular di media sosial.