Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad projek khas hoki wanita mula aksi antarabangsa April depan

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Skuad Projek Khas Wanita akan memulakan tugasan antarabangsa pertama mereka pada April 2021, selepas Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengumumkan Kejohanan Hoki Piala Remaja Wanita Asia 2021 di Kakamigahara, Jepun dijadualkan bermula pada 11 hingga 17 April 2021.

Kejohanan yang menawarkan tiga slot ke Piala Dunia Remaja Wanita 2021 itu, sepatutnya berlangsung dari 6 hingga 12 April lepas, namun terpaksa ditunda ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pengendali Skuad Projek Khas Wanita Nasihin Nubli Ibrahim berkata, pasukannya menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh AHF itu, pada Selasa.

Nasihin berkata beliau bersama pasukan sememangnya telah melakukan persediaan lebih awal, walaupun Malaysia kini masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Latihan yang dilakukan kini lebih tertumpu kepada spesifik teknik hoki serta ketahanan dan kecergasan pemain. Sementara bagi latihan hoki pula kami menumpukan kepada teknik permainan itu sendiri dan intensiti latihan juga ditingkatkan untuk mendedahkan pemain kepada situasi perlawanan sebenar.

“Pemain remaja kini masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan hoki yang tinggi, namun mereka telah menunjukkan tahap usaha yang cukup baik,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Nasihin berkata skuad bimbingannya meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan tersebut, sekali gus mahu mencipta sejarah tersendiri dengan melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja Wanita 2021, menerusi slot tiga pasukan terbaik kejohanan.

“Saya serta barisan jurulatih yang lain seperti Lailin Abu Hassan, Siti Rahmah dan Roslan Jamaluddin, akan sentiasa memastikan pemain mempunyai motivasi yang tinggi dalam setiap sesi latihan, selain kami juga sudah mula menerapkan semangat untuk menang di dalam diri mereka,” katanya.

Menurut laman web rasmi AHF, www.asiahockey.org, kejohanan edisi kali ini akan menampilkan aksi pasukan China, India, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Singapura, Thailand, dan Uzbekistan.

-BERNAMA