Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa tingkat kelajuan internet, harga lebih rendah

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Kerajaan perlu memberi tumpuan untuk mempertingkatkan kelajuan capaian internet dengan caj lebih rendah susulan peningkatan penggunaan perkhidmatan itu dalam kalangan rakyat.

Presiden Persatuan Animasi Malaysia Amir Hamzah Hashim berkata budaya kerja baharu ketika ini memperlihatkan pelbagai urusan dibuat secara dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Sebagai contoh, dalam bidang animasi sendiri apabila kita terlibat dengan PKP, kita ada kekangan untuk bekerja di studio dan terpaksa bekerja dari rumah dengan masa yang lebih panjang kerana situasinya berbeza serta banyak hantaran pekerjaan perlu dibuat secara dalam talian.

“Jadi, jika kelajuan capaian internet dapat ditingkatkan dengan bayaran yang lebih rendah, ia dapat menstabilkan kos operasi syarikat,” katanya kepada Bernama semasa menyatakan harapan industri animasi terhadap Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

Amir Hamzah turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan lebih banyak slot siaran animasi tempatan di stesen televisyen bagi mempergiatkan penerbitan animasi dan kelestarian studio animasi sedia ada.

“Apabila banyak stesen televisyen membeli produk animasi tempatan, ia akan mewujudkan lebih banyak ruang pekerjaan terutama buat siswazah baharu.

“Bagi menggalakkannya, kerajaan dicadang memberi insentif khas kepada stesen penyiar dalam bentuk potongan cukai supaya mereka membeli produk animasi ini,” katanya.

Turut senada, Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia Mohd Azrul Mohd Nor yang mencadangkan agar kerajaan meningkatkan lagi fungsi kerajaan digital dengan memberi keutamaan dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata keadaan itu akan mempercepatkan peralihan kepada pendigitalan operasi perniagaan terutama buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Harapan kita adalah untuk mengurangkan kekangan perniagaan yang dihadapi PKS dan usahawan akibat pandemik. Justeru, platform digital dilihat menjadi keperluan penting untuk membolehkan mereka mengadaptasinya dalam urusan perniagaan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Azrul turut menyarankan agar kerajaan memperbanyakkan lagi pelbagai kursus, latihan dan program berkaitan pendigitalan perniagaan kepada PKS dan usahawan yang berminat untuk mengembangkan atau menukar konsep perniagaan kepada platform e-dagang.

“Kita harapkan agar setiap perniagaan PKS ini didigitalkan, bukan sahaja dari segi jualan dan pemasaran tetapi juga dari segi pengurusan syarikat, pentadbiran, perkhidmatan dan sebagainya,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Makin ramai guna internet ketika PKP, kelajuan menurun

SHAH ALAM, 10 APRIL: Aliran trafik internet di Malaysia meningkat ketara sejak kerajaan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, sekali gus memberi kesan kepada kelajuan internet.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan memaklumkan aliran trafik internet seluruh negara meningkat 23.5 peratus pada minggu pertama PKP, manakala 8.6 peratus pada minggu kedua.

Katanya, peningkatan penggunaan data itu menyebabkan kesesakan dalam aliran trafik internet menyebabkan penurunan kadar kelajuan muat turun.

“Menurut laporan ‘Mobile Experience during the Covid-19 pandemic: 4G Download Speed’ yang dikeluarkan Opensignal, kelajuan muat turun 4G Malaysia secara purata menurun daripada 13.4 Megabit sesaat (Mbps) pada awal Februari kepada 8.8Mbps minggu lalu (23 Mac hingga 29 Mac).

“Ini memberi kesan kepada pengalaman pengguna kerana tempoh lebih panjang diperlukan untuk memuat turun sesuatu kandungan terutamanya perkhidmatan memerlukan lebar jalur tinggi seperti perkhidmatan penstriman video berdefinisi tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, SKMM berkata, perkara itu turut dirasai di seluruh dunia berikutan peralihan perilaku pengguna yang rata-rata terpaksa berada di rumah susulan penularan Covid-19.

Katanya, penyedia perkhidmatan internet dan telekomunikasi ketika ini berhadapan dengan situasi peningkatan penggunaan lebar jalur tinggi, yang tidak pernah dialami sebelum ini.

“Pihak pemberi perkhidmatan internet dan telekomunikasi sedang bertungkus-lumus menambah kapasiti lebar jalur bagi memastikan penyampaian perkhidmatan penting berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

“Industri telekomunikasi sedang memperkukuh prestasi rangkaian melalui pelaburan tambahan bernilai RM400 juta seperti diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), baru-baru ini,” katanya.