Categories
AGENDA AKTIVITI DAN IKLAN NASIONAL

92 Tapir Malaya mati akibat kemalangan jalan raya sepanjang 2015-2020

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Trend peningkatan kematian Tapir Malaya akibat kemalangan jalan raya di negara ini semakin membimbangkan dengan 92 ekor spesies itu dilaporkan mati sepanjang tempoh 2015 hingga 2020.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata untuk tahun lepas sahaja, 24 ekor Tapir Malaya dilaporkan mati akibat kemalangan jalan raya.

“Sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, sebanyak 92 ekor Tapir Malaya telah menjadi mangsa kemalangan jalan raya di Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Terengganu.

“Sungguh menyedihkan kerana populasi Tapir Malaya kini kian terancam kerana kehilangan habitat, fragmentasi hutan serta menjadi mangsa jerat dan kemalangan jalan raya,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Tapir Sedunia hari ini (27 April).

Tapir Malaya, satu daripada lima spesies utama terbesar di dunia, merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Di peringkat antarabangsa, Tapir Malaya merupakan spesies yang terancam dalam senarai International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List of Threatened Species dan Red list of Mammals for Peninsular Malaysia 2017.

Bagi meningkatkan populasi Tapir Malaya di Semenanjung Malaysia, Shamsul Anuar berkata antara usaha yang telah dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) adalah program pembiakan dalam kurungan di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun, Selangor untuk dilepaskan ke habitat semula jadi.

Menurutnya, ketika ini terdapat 11 ekor Tapir Malaya di PKHL Sungai Dusun dengan purata kelahiran seekor anak setahun.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga komited mempergiatkan konservasi Tapir Malaya secara in-situ dan ex-situ bagi memastikan kelangsungan spesies unik itu, antara lain menerusi usaha Perhilitan yang mengadakan kerjasama strategik konservasi Tapir Malaya dengan Nagasaki Biopark, Jepun.

– BERNAMA

Grafik: Facebook Perhilitan
Categories
AGENDA NASIONAL

Ikatan Komuniti Selamat lancar inisiatif bantu mangsa kemalangan jalan raya

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Ikatan Komuniti Selamat melancarkan inisiatif untuk mangsa kemalangan jalan raya dikenali sebagai IkatanCare for Road Traffic Victims, bersempena sambutan Hari Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia hari ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata di Malaysia, lebih setengah juta kemalangan jalan raya dilaporkan menyaksikan 6,000 mangsa terkorban, dengan purata 17 kematian setiap hari.

Beliau berkata walaupun tidak banyak yang dapat dilakukan kepada mangsa yang terkorban dalam nahas jalan raya, namun keluarga yang ditinggalkan memerlukan bantuan bagi menangani kesan psikologi akibat kehilangan orang tersayang.

Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan juga memerlukan bantuan dan sokongan kerana trauma dihadapi menjejaskan harapan mangsa kembali ke dalam masyarakat.

“Mangsa boleh kembali ke dalam masyarakat dengan bantuan rawatan yang betul, pemulihan, prostesis dan majikan.

“Diseru pihak berkepentingan untuk tampil bekerjasama dengan kami dan menyediakan bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya. Jangka pendek, melalui IkatanCare for Road Traffic Victims adalah inisiatif yang menyediakan sokongan profesional dalam membimbing mangsa kembali ke dalam masyarakat,” katanya.

Sempena dengan pelancaran IkatanCare for Road Traffic Victims, Lee berkata Ikatan Komuniti Selamat mengumumkan satu sesi webinar akan diadakan pada Januari 2021, menyaksikan sekumpulan pakar berbincang dan berkongsi pandangan secara maya dalam menangani cabaran mangsa kemalangan jalan raya.

Katanya, mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar di laman web www.safecommunity.org.my.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

250 maut nahas jalan raya sepanjang PKPP

SHAH ALAM, 3 JULAI: Sebanyak 240 kemalangan maut membabitkan kematian 250 individu dicatatkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata dalam tempoh sama bermula 10 Jun hingga semalam, sebanyak 25,958 kemalangan turut direkodkan seluruh negara, lapor Berita Harian.

“Trend kemalangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan PKPP tidak boleh dibandingkan kerana membabitkan tempoh berbeza,” kata Datuk Azisman Alias.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi undang-undang bagi mengelakkan perkara tidak diingin berlaku.