Categories
SELANGOR

WHB: KPKT batal kontrak tanpa alasan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 SEPT: Worldwide Holdings Berhad (WHB) melaksanakan kerja pengoperasian di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal (SATS) di Seksyen 21 di sini, dengan baik sepanjang tempoh lima tahun sejak 2012.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria, berkata Kementerian Kesejahateraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mempertimbangkan melanjutkan kontrak WHB seleps tamat tempoh kerana dikatakan tidak mematuhi syarat ditetapkan.

“Kita telah memohon pertimbangan KPKT berhubung pembatalan kontrak itu.

IMG_20170828_110043“Pada Mac lalu, kita telah menerima maklum balas daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negera (JPSPN) menyatakan pembatalan kontrak kerana WHB gagal mematuhi klausa 7.2.1 iaitu perjanjian memperuntukkan antara lainnya tanggungjawab WHB bagi mematuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi pendengaran tertutup Jawatankuasa Pilihan Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT) berhubung status terkini SATS di Seksyen 21 dipengerusikan Dr Idris Ahmad, semalam.

Beliau berkata, WHB memperoleh kontrak pengoperasian dan pengendalian lima tahun dari 6 Januari 2012 hingga 21 Mei 2017 daripada KPKT dan kerja pelaksanaan dalam tempoh 21 tahun dari 2011 hingga 2032.

Pada Mac 2016, katanya, WHB memohon memperbaharui kontrak dengan KPKT untuk tempoh 2017 hingga 2022.

Bagaimanapun, pada Mei 2016 kelulusan diterima daripada KPKT hanya untuk tempoh dua tahun iaitu dari 22 Mei 2017 hingga 22 Mei 2019.

“Bagaimanapun selepas itu, KPKT telah membatalkan kontrak berkenaan tanpa sebarang alasan,” katanya.

Katanya, WHB hanya menerima maklum balas mengenai perkara itu selepas beberapa permohonan dikemukakan kepada KPKT.

Difahamkan, dalam tempoh operasi itu WHB tidak pernah menerima aduan negatif berhubung kerja pengendaliannya.