Categories
NASIONAL

MOF buka kaunter pertanyaan SST

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 OKT: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dengan kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) akan membuka kaunter pertanyaan berkaitan Cukai Servis dan Barangan (SST) di Kompleks Kastam Persekutuan, Kelana Jaya, mulai esok.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, ia akan membabitkan pihak berkepentingan dari pelbagai sektor perdagangan dan industri yang boleh memberi sebarang maklum balas mahupun aduan terhadap pelaksanaan SST.

“MOF juga turut melantik dua pegawai dari Pejabat Menteri Kewangan untuk menangani sebarang aduan, pandangan dan pertanyaan sepanjang kaunter itu dibuka.

“Mereka adalah akauntan bertauliah (chartered accountant), Dato’ Ooi Kok Seng dan juga bekas Ketua Pegawai Kewangan (chief finance officer) syarikat antarabangsa, Toh Yen Kee yang akan bersama-sama menghadiri kaunter pertanyaan membantu orang awam sehingga bilangan aduan berkurangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kaunter pertanyaan tersebut dibuka mulai esok (2 Oktober 2018) sehingga Jumaat dari jam 9 pagi sehingga 1 petang setiap minggu membabitkan 10 kiosk dan 12 kaunter akan beroperasi sepanjang waktu itu.

Setakat ini, 18 sesi taklimat soal jawab SST sudah diadakan di seluruh Malaysia yang dihadiri oleh lebih 15,000 peserta.

Terdahulu, Guan Eng berkata, selepas menerima maklum balas daripada orang awam, MOF bersama JKDM memutuskan untuk menurunkan kadar cukai SST daripada 10 peratus kepada 5 peratus untuk tayar pneumatik dan motosikal elektrik.

Categories
NASIONAL

MoF: Program pembaharuan fiskal sedang dilaksana

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 MEI: Program pembaharuan fiskal kerajaan sedang dalam pelaksanaan, kata Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).

MoF menerusi kenyataan berkata, pengurangan hasil daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar mulai 1 Jun 2018 akan ditampung oleh langkah khusus hasil dan perbelanjaan yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula.

“Pengurangan perbelanjaan akan dimulakan dengan langkah rasionalisasi dan efisiensi serta mengurangkan ketirisan.

“Selain itu harga minyak mentah dunia meningkat ketara berbanding anggaran Bajet 2018 iaitu US$52 setong. Ini akan menyediakan ruang fiskal dalam tempoh terdekat.

“Tanggungjawab fiskal, ketelusan dan tadbir urus akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan program pembaharuan fiskal,” katanya.