Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Nafi siar iklan tawar jawatan kosong guru Tabika

PUTRAJAYA, 17 OKT: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini menafikan telah menyiarkan iklan menawarkan peluang mengisi ratusan kekosongan jawatan guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) seperti yang tular menerusi media sosial baru-baru ini.

KPN memaklumkan iklan yang disiarkan dalam status Facebook bertajuk Semakan Dan Permohonan Online itu menggunakan logo Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan gambar Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Meskipun agensi Kemas bukan di bawah KPN, gambar wajah dan nama Menteri Perpaduan Negara dijadikan sebagai hiasan utama poster bagi memberi nilai komersial kepada iklan tersebut,” menurut KPN dalam kenyataan hari ini.

KPN memaklumkan iklan itu mencetuskan tanda tanya kerana mencatatkan syarat kelayakan mengisi kekosongan jawatan tersebut terlalu rendah iaitu sekadar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Menurut KPN, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memaklumkan iklan khas mereka yang sebenarnya telah disiarkan pada 11 Okt lepas bagi mengisi enam kekosongan jawatan Guru Tabika Perpaduan Gred S29.

Kelulusan akademik sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak merupakan syarat kelayakan utama bagi pengambilan Guru Tabika Perpaduan JPNIN.

Turut dimaklumkan dalam iklan tersebut ialah peluang mengisi jawatan Pembantu Operasi (Penolong Guru) Gred N11 yang menawarkan empat kekosongan.

Menurut KPN, dalam siaran iklan melalui Facebook @Rakan Perpaduan Pahang itu dengan jelas dinyatakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi iaitu calon lepasan Diploma dalam bidang berkaitan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Institusi Pendidikan Tinggi tempatan.

“Iklan ratusan kekosongan jawatan guru Tabika itu tular sejak Jumaat lepas dan poster mengelirukan tersebut telah mencatat hampir 1,000 perkongsian menerusi laman sosial,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna media sosial diingatkan jaga ‘Kesopanan dan Kesusilaan’

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Kementerian Perpaduan Negara mengingatkan pengguna media sosial agar sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara, khususnya yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ dalam interaksi menerusi dunia maya bagi memelihara perpaduan masyarakat dan keharmonian negara.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata sikap segelintir pengguna media sosial yang tidak menjaga perkataan dan adab ketika memuat naik status dilihat membimbangkan dan boleh mengganggu-gugat keamanan negara.

“Kuasa media sosial sangat hebat dan berpengaruh, banyak pengguna yang berselindung di sebalik akaun identiti palsu dan mengeluarkan komen tidak sopan, menyinggung dan sebagainya.

“Kita perlu menambah baik amalan dan budaya media sosial, perlu ada semak dan imbang,” katanya kepada pemberita pada program Perbincangan Meja Bulat Rukun Negara – Sambutan Ulang Tahun Ke-50 di sini hari ini.

Bagaimanapun Ti sekali lagi menegaskan bahawa tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini memandangkan undang-undang sedia ada memadai.

Sebaliknya, kata beliau perkara yang perlu difokuskan ialah penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang terbabit termasuk kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya lebih percaya kepada penyelesaian menerusi pendidikan dan memberi kesedaran, namun formula membentuk perpaduan ini bukanlah satu perkara yang boleh dibuat dan dilihat hasilnya dalam masa singkat,” jelasnya.

Ti juga menyeru orang ramai menjadi ‘mata-mata’ pihak berkuasa dengan mengenal pasti dan melaporkan individu atau pihak yang mencetuskan provokasi atau melakukan perkara yang menggugat perpaduan masyarakat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: 10,000 orang disasar terlibat sesi maklum balas rakyat

PUTRAJAYA, 22 OGOS: Sesi Maklum Balas Rakyat berhubung Draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 dari Ogos sehingga September ini menyasarkan penglibatan 10,000 rakyat di seluruh negara, menurut Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Ia untuk memastikan pandangan rakyat Malaysia, pemegang taruh berkaitan termasuk ahli rukun tetangga, pemimpin tempatan di peringkat daerah dan negeri, pihak kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan, ahli akademik serta pihak berkepentingan lain diambil kira dalam penggubalan PTPN 2021-2025 yang akan menyokong pelaksanaan Dasar Perpaduan Negara mulai 2021.

“Seluruh rakyat Malaysia dialu-alukan untuk terlibat dalam pembangunan PTPN 2021-2025 dengan menyertai sesi maklum balas di negeri dan daerah masing-masing dengan mengemukakan pandangan dan cadangan melalui soalan dalam talian di laman web Sesi Maklum Balas Rakyat https://www.research.net/r/mklmblsonline,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut KPN, laman web itu telah dibangunkan kementerian bersama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Selain itu, sesi maklum balas juga boleh disertai melalui laman web KPN di www.perpaduan.gov.my, media sosial Instagram @perpaduannegara, Facebook PerpaduanNegara dan Twitter @PerpaduanNegara, dan pandangan serta cadangan juga boleh dihantar kepada [email protected].

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Operasi rumah ibadat bukan Islam dibenar dengan SOP baharu

PUTRAJAYA, 16 JUN: Pelaksanaan aktiviti keagamaan di rumah ibadat bukan Islam adalah dibenarkan kecuali di kawasan zon merah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dengan syarat semua tatacara operasi piawai (SOP) baharu dipatuhi dan ia tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berkata SOP baharu bagi aktiviti keagamaan di rumah ibadat bukan Islam itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, semalam.

“SOP ini adalah mengikut garis panduan yang telah disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata KPN dalam satu kenyataan, semalam.

KPN berkata rumah ibadat dibenarkan beroperasi dengan had kapasiti satu per tiga daripada bilangan penganut bagi dewan atau ruang beribadat dengan amalan penjarakan sosial.

“Waktu beroperasi kembali seperti biasa dengan amalan kawalan kendiri dan kebiasaan baharu,” kata KPN, sambil menambah aktiviti di rumah ibadat berkenaan juga tertakluk kepada peraturan KKM Akta 342.

KPN berkata aktiviti yang dilarang ialah seperti perarakan keagamaan, kenduri serta perhimpunan yang ramai dan sukar dikawal.

“Ahli jawatankuasa rumah ibadat, ketua agama dan penganut dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebiasaan baharu dan disiplin kendiri seperti amalan jarakan sosial, memakai pelitup muka dan kerap membersihkan tangan dengan sabun dan air atau cecair pembasmi kuman,” katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media semalam berkata Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bersetuju memberi kebenaran kepada 5,230 rumah ibadat beroperasi di seluruh negara.

“SOP yang ditetapkan (dalam mesyuarat semalam) termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera atau memberi maklumat secara manual,” katanya.

– BERNAMA