Categories
AGENDA NASIONAL

Jawatan kosong diiklan dalam talian meningkat suku kedua 2021

SHAH ALAM, 25 OKT: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan kekosongan jawatan diiklan secara dalam talian meningkat mendadak pada suku kedua 2021 iaitu sebanyak 90,502 berbanding 19,169 bagi tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan jumlah itu diperoleh hasil Analisis Data Raya Job Market Insights dan My Job Profile: Lanskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia yang dilancarkan DOSM.

Ketua perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu melangkaui jumlah kekosongan jawatan diiklankan pada suku keempat 2019 iaitu 90,437 sebelum bermulanya pandemik Covid-19, lapor Berita Harian.

Katanya sebilangan besar majikan memerlukan pekerja dalam kategori profesional (50.8 peratus), diikuti juruteknik dan profesional bersekutu (19.2 peratus) serta pengurus (18.4 peratus).

“Lima pekerjaan paling popular diiklankan adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan dan ketua eksekutif, akauntan dan juruaudit serta pembangun perisian,” katanya dalam kenyataan, semalam

Beliau berkata Kuala Lumpur mencatatkan jumlah penawaran pekerjaan tertinggi iaitu 46.6 peratus, diikuti Selangor (19.6 peratus), Johor (7.1 peratus), Pulau Pinang (6.2 peratus) dan Perak (1.4 peratus)

“Peningkatan kekosongan jawatan diiklankan memberi gambaran ekonomi negara berada di landasan yang betul ke arah pemulihan pada suku tahun akan datang,” katanya.

Tambah beliau dari perspektif sektor ekonomi pula, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal menjadi sektor utama menyumbang kepada penawaran pekerjaan iaitu 18.5 peratus.

“Empat lagi sektor termasuk dalam senarai lima sektor dengan penawaran pekerjaan tertinggi adalah sektor pembuatan (18.1 peratus), perdagangan borong dan runcit pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal (17.9 peratus).

“Aktiviti kewangan dan insurans/takaful (8 peratus) serta aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman (3.5 peratus),” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Nafi siar iklan tawar jawatan kosong guru Tabika

PUTRAJAYA, 17 OKT: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini menafikan telah menyiarkan iklan menawarkan peluang mengisi ratusan kekosongan jawatan guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) seperti yang tular menerusi media sosial baru-baru ini.

KPN memaklumkan iklan yang disiarkan dalam status Facebook bertajuk Semakan Dan Permohonan Online itu menggunakan logo Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan gambar Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Meskipun agensi Kemas bukan di bawah KPN, gambar wajah dan nama Menteri Perpaduan Negara dijadikan sebagai hiasan utama poster bagi memberi nilai komersial kepada iklan tersebut,” menurut KPN dalam kenyataan hari ini.

KPN memaklumkan iklan itu mencetuskan tanda tanya kerana mencatatkan syarat kelayakan mengisi kekosongan jawatan tersebut terlalu rendah iaitu sekadar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Menurut KPN, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memaklumkan iklan khas mereka yang sebenarnya telah disiarkan pada 11 Okt lepas bagi mengisi enam kekosongan jawatan Guru Tabika Perpaduan Gred S29.

Kelulusan akademik sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak merupakan syarat kelayakan utama bagi pengambilan Guru Tabika Perpaduan JPNIN.

Turut dimaklumkan dalam iklan tersebut ialah peluang mengisi jawatan Pembantu Operasi (Penolong Guru) Gred N11 yang menawarkan empat kekosongan.

Menurut KPN, dalam siaran iklan melalui Facebook @Rakan Perpaduan Pahang itu dengan jelas dinyatakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi iaitu calon lepasan Diploma dalam bidang berkaitan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Institusi Pendidikan Tinggi tempatan.

“Iklan ratusan kekosongan jawatan guru Tabika itu tular sejak Jumaat lepas dan poster mengelirukan tersebut telah mencatat hampir 1,000 perkongsian menerusi laman sosial,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Karnival Kerjaya Subang Jaya tawar lebih 1,300 peluang kerja

SHAH ALAM, 17 DIS: Karnival Kerjaya Subang Jaya (KKSJ) secara virtual yang berlangsung 8 hingga 10 Disember lalu menawarkan 1,383 peluang kerja.

Penyelaras program, Saliza Abdullah berkata sehingga 15 Disember seramai 800 individu mendaftar bagi mengisi kekosongan jawatan.

“KKSJ ini melibatkan 61 majikan dari pelbagai sektor. Lima syarikat juga membuka tawaran kerja kepada golongan kurang upaya (OKU).

“Kita menyeru orang ramai untuk merebut peluang yang dibuka sehingga Sabtu ini. Mereka boleh mendaftar menerusi pautan Google Form https://rb.gy/j9otkm,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Saliza menambah maklumat berhubung kerja kosong serta majikan masih dipaparkan di Facebook Page BG Capital Holdings Sdn Bhd yang merupakan penaja utama.

“Pencari kerja boleh menonton rakaman KKSJ bila-bila masa atau terus menghubungi majikan. Permohonan juga boleh dibuat menerusi portal MyFutureJobs di bawah Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial),” katanya.

KKSJ merupakan inisiatif Dewan Undangan Negeri Subang Jaya dengan kerjasama beberapa pihak bagi mengatasi masalah pengangguran serta membantu individu hilang kerja mempunyai sumber pendapatan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 5,000 jawatan menanti pencari kerja di Shah Alam hujung minggu ini

SHAH ALAM, 4 DIS: Sebanyak 5,143 jawatan menanti pencari kerja sempena penutup siri Jelajah Selangor Bekerja 2020 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak SUK, Seksyen 6 di sini pada 5 dan 6 Disember.

EXCO pembangunan generasi muda berkata kekosongan jawatan meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan, profesional dan pendidikan yang ditawar berdasarkan kelayakan.

“Kerajaan Negeri berharap pemohon membuat persediaan rapi untuk menghadiri sesi temu duga seperti datang awal, berpakaian kemas dan membawa dokumen secukupnya.

“Pemohon disaran mencuba peluang lain yang ditawarkan dalam program berlangsung selama dua hari ini,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata sebanyak 34 majikan mengendalikan proses temu duga secara fizikal dan maya dengan hanya 9,696 pemohon yang berdaftar di portal JobsMalaysia dijemput menghadiri siri jelajah itu.

“Kerajaan Negeri juga merancang untuk mengadakan karnival kerjaya secara besar-besaran sebaik sahaja situasi Covid-19 pulih,” katanya.

Jelajah Selangor Bekerja anjuran Kerajaan Negeri diadakan di lima lokasi bermula di Kuala Selangor pada 15 November, Gombak (21 November), Sungai Buloh (22 November), Hulu Langat (29 November) serta Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara peluang pekerjaan ditawarkan ialah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter, operator panggilan, pemandu traktor terminal, penyelia dan penjaga stor.

Categories
SELANGOR

Jawatan kosong wartawan Selangor Kini

SHAH ALAM 2O DIS: Mereka yang berminat dan sedia menempuh cabaran dalam bidang kewartawanan boleh menyertai Selangor Kini sebagai kerjaya.

Ia berikutan wujud kekosongan jawatan bagi edisi bahasa Malaysia dan Mandarin bagi memantapkan operasi pemberitaan di medium ini yang kian mendapat sambutan rakyat.

Kelayakan utama ialah minat mendalam dan memiliki pengetahuan meluas dalam pelbagai isu semasa, bermakna memiliki ijazah dalam bidang komunikasi, tidak semestinya suatu kelebihan.

skiniSelangor Kini adalah akhbar cetak milik kerajaan Selangor melalui anak syarikat, CCSB Sdn Bhd yang turut menerbitkan berita melalui selangorku.com sebagai versi dalam talian.

Kirimkan resume lengkap termasuk maklumat peribadi dan kirimkan kepada emel [email protected].

Proses pengambilan dijalankan mengikut prosedur standard yang ditetapkan atas dasar siapa cepat, dia dapat.