Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada darurat, keselamatan negara terkawal – KPN

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan dan ketenteraman awam negara adalah terkawal meskipun negara tidak diisytiharkan sebagai darurat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ini kerana PDRM tetap dan sentiasa fokus kepada tugasan hakiki iaitu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam selain melaksanakan penguatkuasaan tatacare operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Arahan dan peringatan terus diberikan kepada petugas PDRM di lapangan untuk meningkatkan penguatkuasaan SOP bagi meringankan beban Kementerian Kesihatan.

“Orang ramai pula bebas melakukan aktiviti harian masing-masing tanpa perlu bimbang tentang keadaan keselamatan (akan) tetapi tertakluk kepada SOP PKPP di kawasan masing-masing,” katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Hamid berkata tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab yang didapati menimbulkan kegusaran dan kekacauan selain memberi peringatan bahawa PDRM sentiasa memantau aktiviti di seluruh negara.

“Adalah diingatkan sekali lagi bahawa PDRM sentiasa memantau aktiviti di seluruh negara dan akan segera bertindak ke atas sesiapa sahaja yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan apa jua medium untuk menimbulkan kegusaran dan kekacauan, tiada kompromi,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata ATM sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga walaupun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan darurat diisytiharkan di negara ini.

Berikutan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis selesai siasat kes guna Jata Negara pada pelapik kasut

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyiapkan siasatan, berhubung kes penggunaan Jata Negara pada pelapik kasut sebuah syarikat pengeluar kasut jenama, di sini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, hasil siasatan berkenaan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara hari ini, untuk tindakan lanjut.

“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, kerana kesalahan mengguna lambang, nama dan rupaan gambar, dengan tidak wajar.

“Selain itu, ia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya kepada Bernama selepas majlis serah terima tugas jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Pada 18 Julai lepas, polis memulakan siasatan ke atas satu paparan yang tular di media sosial, berkaitan penggunaan Jata Negara pada pelapik kasut keluaran syarikat itu di negara ini.

Sehubungan itu, Abdul Hamid berkata, syarikat pengeluar kasut jenama berkenaan telah membuat permohonan maaf secara terbuka, selain memaklumkan pihaknya telah memberhentikan pengeluaran produk tersebut serta-merta.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance dan Hope In New Malaysia’, yang memaparkan imej Jata Negara diubahsuai di bahagian muka depannya kepada Pejabat Peguam Negara dan sedang menunggu arahan lanjut.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan polis telah menyerahkan kertas siasatan kes berhubung sebuah dokumentari video berjudul ‘Locked Up In Malaysia’s Lockdown 101 East’ oleh stesen penyiaran Al Jazeera.

“Kertas siasatan telah dihantar untuk kajian lebih lanjut sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya.

Sebelum ini Al Jazeera menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat, yang didakwa berniat memburuk-burukkan negara dengan mengecam layanan Malaysia terhadap pendatang tanpa izin, ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Indeks jenayah negara turun 7.5 peratus – KPN

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Jenayah indeks di seluruh negara turun 7.5 peratus sepanjang tahun lepas dan itu antara kejayaan Polis Diraja Malaysia dalam usaha menurunkan kadar jenayah dan menjadikan Malaysia sebuah negara selamat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata pada tahun lepas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya mengurangkan kadar jenayah indeks sebanyak 249 kes berbanding sasaran 269 kes, bagi setiap 100,000 penduduk.

Katanya turut menunjukkan prestasi yang membanggakan adalah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang berjaya menyelesaikan 21,016 kertas siasatan daripada 26,465 kertas siasatan yang dikendalikan jabatan itu.

“Sebanyak 17,582 operasi telah dilaksanakan oleh JSJK dan sebanyak 15,876 orang ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah komersial,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berdasarkan statistik itu, sebanyak 79 peratus kadar penyelesaian kes telah dicapai oleh JSJK.

Dalam usaha mentransformasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pula agar kekal relevan bagi membanteras dan memerangi dadah, beliau berkata sembilan jenis operasi khusus dijalankan, di samping pelbagai program iaitu ‘Program Naziran By Night’ dan ‘Program Nurture For Betterment’.

Abdul Hamid berkata anggota dan pegawai polis juga tidak terlepas jika didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan menerusi Op Blue Devil, sebanyak 268 pegawai dan anggota ditangkap sepanjang tahun lepas.

“Bagi tempoh 1 Jan sehingga 17 Jan tahun ini, sebanyak sembilan warga PDRM ditangkap kerana ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah …diharapkan isu dadah dapat dicantas secara habis-habisan dalam kalangan warga PDRM demi maruah institusi keramat ini,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman pula telah menjalankan 1,665 operasi melalui op bersepadu berbanding 961 operasi pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 73.3 peratus.

“Daripada keseluruhan 101,404 operasi yang dibuat, sebanyak 3,086 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan trafik dan 296 orang atas kesalahan-kesalahan lain,” katanya.

Abdul Hamid berkata JSPT juga telah berjaya menyelesaikan dan membawa ke mahkamah kes-kes di jalan raya yang ditularkan oleh orang ramai, antaranya kejadian langgar lari, buli jalan raya, ‘road rage’, pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada lagi amaran, terus tangkap penyebar fitnah – KPN

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Polis akan mengambil tindakan tegas dengan terus menahan mereka yang tidak bertanggungjawab menyebar dan menularkan artikel mengenai kejadian tembakan di Selangor dan amuk di Pulau Pinang yang dianggap boleh menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kes di Pulau Pinang yang menyebabkan seorang lelaki mati ditembak polis dan seorang wanita cedera ditetak adalah kes terpencil dan tidak melibatkan kumpulan atau individu.

Mengenai dakwaan terdapat wanita dalam kes penjenayah ditembak mati di Batu Arang, Selangor pula, Abdul Hamid berkata, penularan video mengenai perkara itu adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Polis sentiasa memerhatikan perkara ini dengan serius dan akan terus ambil tindakan… jangan terpengaruh dengan perkara ini.

“Jangan buat keputusan sendiri buat komen tambahan… perbuatan berkongsi artikel ini seterusnya buat komen tambahan akan ditangkap… tiada amaran lagi,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Rampasan terbesar, dadah RM2.4 bilion dalam arang batu

GEORGE TOWN, 20 SEPT: Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila merampas 12 tan kokain dicampur dengan arang batu bernilai RM2.4 bilion dalam tiga kontena di Terminal Kargo Utara Butterworth, 10 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata, sindiket membawa dadah dalam 60 guni arang batu dari Amerika Selatan itu berjaya ditumpaskan menerusi Op Eagle yang dijalankan di sekitar Butterworth dan Bayan Baru, dekat sini, serta Padang Serai, Kedah.

“Ini merupakan rampasan dadah terbesar di negara ini,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bayan Baru, Bayan Lepas, di sini, hari ini.

Beliau berkata sindiket itu menggunakan taktik terbaru untuk mengaburi pihak berkuasa dengan mencampurkan dadah bersama 60 tan arang batu yang sukar dikesan sehingga polis terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Kimia.

Menurutnya, anjing pengesan K9 juga gagal mengesan dadah tersebut.

Beliau berkata ketiga-tiga kontena tersebut tiba di sini pada 16 Ogos lalu dan sindiket itu menggunakan Malaysia sebagai transit sebelum dadah berkenaan dihantar ke negara ketiga.

Abdul Hamid berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang terbabit dalam pengurusan kontena berkenaan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, lelaki yang turut positif methamphetamine itu direman sehingga Isnin ini dan kes disiasat menurut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan wajar mempertingkatkan penggunaan teknologi terkini jabatan-jabatan berkaitan berikutan sindiket antarabangsa kini menggunakan pelbagai kaedah canggih bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Sementara itu, Abdul Hamid menyifatkan jumlah tangkapan dan rampasan dadah di negara ini dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini amat membimbangkan.

Beliau berkata dari 1 Januari hingga 12 September lalu, seramai 130,928 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan iaitu membekal dadah seramai 19,948 orang, memiliki dadah (48,468 orang) dan positif ujian air kencing (62,891 orang) membabitkan lebih lima tan dadah pelbagai jenis bernilai RM285.92 juta.

-BERNAMA

TERAS: Kenyataan KPN Tidak Matang

saman trafikSHAH ALAM 22 OGOS : Kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) untuk membatalkan lesen memandu 1.7 juta individu yang gagal menjelaskan tunggakan saman trafik merupakan satu keputusan yang tidak matang dan tergesa-gesa, tegas Azmi Abdul Hamid.

Presiden Teras Keupayaan Melayu (TERAS) itu berkata, kenyataan Tan Sri Khalid Abu Bakar ternyata dibuat secara melulu, tidak tepat serta tidak berasas terutamanya dalam konteks sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Ia adalah satu pemikiran yang simplistik di mana dengan mudah beliau mengeluarkan kenyataan tanpa penelitian dan kajian yang menyeluruh sehingga menimbulkan satu tindakan yang ‘mismatch’.

“Ibaratnya, penyakit lain, tetapi ubat lain pula yang hendak diberi. Ini tidak betul dan amat dikesali,” kata Azmi ketika dihubungi TVSelangor.

Dalam kenyataannya semalam, KPN berkata tindakan membatalkan saman itu akan dilaksanakan ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan statistik kemalangan Ops Selamat III ketika musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Ops Selamat III yang bermula pada 1 Ogos hingga 18 Ogos lepas, secara keseluruhannya mencatatkan 17,831 kes kemalangan yang menunjukkan penurunan sebanyak 106 kemalangan berbanding Ops Selamat II.

Bagaimanapun kadar kemalangan maut telah meningkat sebanyak 32 kes atau 14.2 peratus iaitu daripada 226 kes kepada 258 kes, dengan jumlah kematian turut meningkat sebanyak 49 kes atau 20.2 peratus iaitu daripada 243 kes kepada 292.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, sebenarnya terdapat banyak faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan soal pesalah trafik gagal membayar saman.

Antaranya keadaan jalan raya yang tidak elok, kualiti pemanduan yang kurang, kenderaan persendirian yang semakin banyak serta penggunaan pengangkutan awam yang masih lagi rendah di kalangan pengguna.

Justeru, beliau menggesa agar kerajaan mengkaji dahulu secara terperinci sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang akhirnya hanya akan mengundang reaksi negatif pelbagai pihak.

“Jadilah lebih bijak, berhati-hati, matang dan lebih bertanggungjawab selepas ini. Jangan terlalu ambil mudah isu-isu yang berkaitan dengan rakyat,” katanya.- MZA