Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes jenayah turun 23 peratus dalam tempoh pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Dakwaan kes jenayah di Malaysia meningkat kerana ramai yang kehilangan pekerjaan akibat kesan daripada pandemik Covid-19 tidak berasas kerana statistik menunjukkan penurunan kes sebanyak 23 peratus bagi tempoh 1 Januari sehingga 15 November tahun ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan hari ini melaporkan penurunan kes jenayah sebanyak 16,719 kes, berbanding 72,836 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata ini sekali gus menafikan dakwaan kes jenayah di Malaysia menunjukkan peningkatan disebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata PDRM mengambil maklum tentang wujudnya kerisauan dalam kalangan masyarakat mengenai kemungkinan berlakunya peningkatan kes jenayah kerana kesan daripada pandemik ini dengan ramai kehilangan pekerjaan.

Datuk Huzir Mohamed ketika sidang media harian Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman pada 30 Oktober 2019. Foto BERNAMA

Masyarakat menjadi gusar apabila wujud berita mengenai trend jenayah ragut di negara ini yang turut tular di media sosial.

“Bagi jenayah ragut, sebanyak 1,160 kes dilaporkan dalam tempoh 1 Januari hingga 15 November tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun 2019 iaitu 2,216 kes dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,056 kes atau 47.7 (nte: 47.65) peratus.

“Seramai 893 suspek telah berjaya ditangkap kerana terlibat dalam jenayah ragut sepanjang tempoh 1 Jan sehingga 15 November tahun lepas berbanding 527 suspek dalam tempoh sama tahun ini,” jelasnya.

Huzir berkata walaupun statistik menunjukkan penurunan kes, PDRM akan sentiasa memastikan trend jenayah terus menurun dengan mengambil tindakan yang lebih komprehensif demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat, berkongsi atau menularkan sebarang berita atau gambaran salah dan tidak tepat berkenaan trend jenayah atau kes-kes jenayah yang tidak disokong dengan fakta yang sahih daripada pihak berkuasa.

Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh membangkitkan kegusaran masyarakat malah mampu menimbulkan persepsi yang salah terhadap badan penguat kuasa khususnya PDRM, katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis: Indeks jenayah turun 46.7 peratus sepanjang 84 hari

SHAH ALAM, 11 JUN: Indeks jenayah sepanjang 84 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat turun sebanyak 46.7 peratus, kata pengarah jabatan siasatan jenayah Bukit Aman.

Datuk Huzir Mohamed berkata sebanyak 10,134 kes pelbagai kesalahan jenayah dilaporkan mulai 18 Mac berbanding 19,014 kes dalam tempoh 84 hari sebelum PKP, lapor Astro Awani.

“Kes jenayah terbahagi kepada dua iaitu jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol dan samun serta jenayah harta benda melibatkan curi kenderaan dan pecah rumah.

“Maknanya dalam tempoh PKP dikuat kuasa keadaan negara amat selamat dengan indeks kes kurang sebanyak 8,880 kes,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Dalam pada itu Huzir berkata premis hiburan seperti kelab malam dan pub masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan PKP Pemulihan.

“Polis sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan tiada premis dalam kategori tersebut berdegil dan beroperasi secara rahsia,” katanya.

Ahad lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan banyak kelonggaran diberikan dalam tempoh pelaksanaan PKP Pemulihan tetapi beberapa sektor seperti kelab malam, pub, taman tema serta pusat hiburan, karaoke dan refleksologi dilarang beroperasi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

Indeks jenayah di Selangor turun 18.3 peratus

SHAH ALAM, 20 APRIL: Indeks jenayah di Selangor menurun 18.31 peratus atau 1,048 kes dalam tempoh 1 Januari hingga semalam hingga semalam, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jurucakap Ops Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata indeks jenayah di negeri ini bagi tempoh berkenaan ialah 5,723 kes, berbanding 4,675 kes tahun ini.

Bagi tempoh sama, katanya, jenayah kekerasan menurun 22.99 peratus atau 297 kes, jenayah harta benda turun 16.95 peratus iaitu bersamaan 751 kes, manakala jenayah jalanan berkurang 28.18 peratus atau 244 kes.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan penurunan statistik jenayah di negeri ini antara lain disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Dengan adanya PKP, masyarakat kurang keluar, jadi potensi untuk jadi mangsa (jenayah) kurang, itu salah satu sebab kadar jenayah menurun, tetapi kita akan buat kajian lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Sementara itu, Muhammad Yazid yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor berkata pihaknya menerima 2,771 laporan polis kerana ingkar PKP sejak 18 Mac lalu.

Katanya, berdasarkan kumulatif laporan polis kes Covid-19 sehingga tengah malam tadi, sebanyak 1,573 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu polis membuat 3,431 tangkapan.

“Semalam sahaja polis menahan 214 individu, daripada jumlah itu 82 adalah warga asing, menjadikan seramai 1,400 warga asing ditahan sepanjang Ops Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, polis terus mengetatkan kawalan melalui sekatan jalan raya dan pemeriksaan mengejut, seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar dengan pendakwaan di mahkamah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Indeks jenayah negara turun 7.5 peratus – KPN

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Jenayah indeks di seluruh negara turun 7.5 peratus sepanjang tahun lepas dan itu antara kejayaan Polis Diraja Malaysia dalam usaha menurunkan kadar jenayah dan menjadikan Malaysia sebuah negara selamat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata pada tahun lepas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya mengurangkan kadar jenayah indeks sebanyak 249 kes berbanding sasaran 269 kes, bagi setiap 100,000 penduduk.

Katanya turut menunjukkan prestasi yang membanggakan adalah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang berjaya menyelesaikan 21,016 kertas siasatan daripada 26,465 kertas siasatan yang dikendalikan jabatan itu.

“Sebanyak 17,582 operasi telah dilaksanakan oleh JSJK dan sebanyak 15,876 orang ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah komersial,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berdasarkan statistik itu, sebanyak 79 peratus kadar penyelesaian kes telah dicapai oleh JSJK.

Dalam usaha mentransformasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pula agar kekal relevan bagi membanteras dan memerangi dadah, beliau berkata sembilan jenis operasi khusus dijalankan, di samping pelbagai program iaitu ‘Program Naziran By Night’ dan ‘Program Nurture For Betterment’.

Abdul Hamid berkata anggota dan pegawai polis juga tidak terlepas jika didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan menerusi Op Blue Devil, sebanyak 268 pegawai dan anggota ditangkap sepanjang tahun lepas.

“Bagi tempoh 1 Jan sehingga 17 Jan tahun ini, sebanyak sembilan warga PDRM ditangkap kerana ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah …diharapkan isu dadah dapat dicantas secara habis-habisan dalam kalangan warga PDRM demi maruah institusi keramat ini,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman pula telah menjalankan 1,665 operasi melalui op bersepadu berbanding 961 operasi pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 73.3 peratus.

“Daripada keseluruhan 101,404 operasi yang dibuat, sebanyak 3,086 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan trafik dan 296 orang atas kesalahan-kesalahan lain,” katanya.

Abdul Hamid berkata JSPT juga telah berjaya menyelesaikan dan membawa ke mahkamah kes-kes di jalan raya yang ditularkan oleh orang ramai, antaranya kejadian langgar lari, buli jalan raya, ‘road rage’, pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah.

-BERNAMA