Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

USIM pandang serius larangan pelajar Kerajaan Oman

SHAH ALAM 3 OKT: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memandang serius arahan Kementerian Pendidikan Tinggi Oman melarang rakyatnya melanjutkan pengajian di empat universiti di Malaysia termasuk institusi pengajian tinggi awam itu.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM, Profesor Datuk Dr. Zulkiple Abdul Ghani berkata, pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi perkara itu sama ada daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Oman mahu pun pejabat Kedutaan Oman di sini.

“Perkara ini hanya diketahui universiti melalui penyiaran berita Times of Oman.com sahaja. Melalui semakan dibuat di peringkat dalaman, pada masa kini kita tidak mempunyai maklumat sahih dan lanjut mengenai larangan dilaporkan dan isu bersangkutan secara langsung dengan USIM.

“Sebagai sebuah universiti awam, kita sentiasa membuka pintu kepada pelajar antarabangsa termasuk dari Oman untuk melanjutkan pengajian di universiti ini kerana terdapat 126 pelajar Oman berstatus aktif melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam pelbagai bidang di universiti ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

OMAN TIMESSebelum ini, Times of Oman.com melaporkan, Kerajaan Oman melarang rakyatnya daripada melanjutkan pengajian di empat universiti di negara ini termasuk USIM berikutan aduan diterima daripada pelajarnya berhubung pelbagai isu.

Antaranya termasuk isu pentadbiran, pengurusan akademik, pematuhan syarat biasiswa serta kebenaran menyambung pengajian menggunakan visa pelancong di negara ini.

Zulkiple berkata, segala isu berkaitan pelajar antarabangsa sentiasa diberi perhatian pihaknya kerana mereka adalah pemegang kepentingan USIM.

“Ini termasuklah soal kebajikan, kewangan dan akademik. Justeru, pertemuan segera diatur USIM bersama Kedutaan Oman untuk memperhalusi isu berbangkit.

“Pihak universiti mempunyai hubungan baik dengan Kedutaan Oman selama ini dan berhasrat terus mengekalkan hubungan baik sedia terjalin ini.

“Kita sentiasa bersedia membuat penambahbaikan kepada kekurangan yang ada tanpa berkompromi mengenai kualiti pendidikan tinggi yang USIM tawarkan,” katanya.

=EZY=