Categories
SELANGOR

MPS: Kereta kabel tidak sesuai dibina di Batu Caves

SHAH ALAM 14 JAN : Kemudahan kereta kabel yang sepatutnya siap dibina di Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves pada bulan ini, didapati tidak sesuai dibina di kawasan tersebut.

Ini adalah penemuan dalam laporan awal daripada perunding yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS ) untuk menjalankan kajian kestabilan tanah di sekitar kuil itu.

mpsYang Dipertua MPS, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata laporan awal yang dibentangkan pada Khamis lepas semasa suatu mesyuarat yang dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor ( MTEN ) dan wakil-wakil MPS, mendapati kawasan tertentu di sekitar kuil itu tidak stabil.

“Projek kereta kabel itu terdiri daripada dua stesen iaitu stesen bawah berhampiran kaki tangga kuil itu dan stesen atas berhampiran puncak bukit yang menempatkan kuil Sri Subramaniar.

“Laporan awal mendapati stesen bawah itu adalah stabil manakala stesen atas tidak stabil. Sekiranya kereta kabel itu dibina di atas tanah yang tidak stabil, ia mungkin akan menjejaskan keselamatan awam,” katanya di petik Astro AWANI.

Mohd Azizi berkata MPS kini masih sedang menunggu pembentangan laporan penuh kajian kestabilan tanah sebelum mengemukakan cadangan pembinaan kepada kontraktor kuil tersebut.

MPS menghentikan kerja pembinaan projek kereta kabel itu pada 6 Jun kerana beberapa struktur pembinaan di sekitar Batu Caves dikatakan dibina tanpa kelulusan kebenaran merancang.

batu cavesMohd Azizi mengesahkan bahawa MPS telah menerima pelan pembangunan daripada pengurusan kuil tersebut, tetapi MPS tidak boleh mengambil apa-apa tindakan susulan sehingga laporan penuh kajian kestabilan tanah dibentangkan.

“MPS tidak pernah berniat untuk menghentikan projek kereta kabel ini. Ini bukan soal kemudahan yang dinafikan kepada rakyat. Ini adalah soal keselamatan awam, ” kata Mohd Azizi.

Kereta kabel itu dijadualkan untuk disiap pada bulan ini, sempena perayaan Thaipusam yang jatuh pada 17 Jan.

Projek yang bernilai RM10 juta, telah dikontrakkan kepada syarikat yang berpangkalan di Calcutta, Damodar Ropeways.