Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bersalin dekat kuil Batu Caves terharu dibantu peserta Thaipusam

SHAH ALAM, 22 JAN: Seorang ibu yang melahirkan bayi di dalam kereta berhampiran Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves ketika Thaipusam berterima kasih kepada peserta perayaan tersebut.

Lidawati Zakaria, 39, berkata beliau akan mengenang budi baik Marie Puspan dan anaknya, Naroshini Annaselam yang menyambut kelahiran bayi perempuannya dalam kejadian Selasa lalu, lapor FMT.

“Saya terharu… ramai yang tolong. Saya terkejut sebab mereka sanggup tanggalkan kain walaupun ia untuk perayaan mereka? Lagi pun ada darah kan? Tapi mereka masih (tolong) tutup aurat saya,” katanya.

Wanita dari Meru, Klang itu berkata sampai sekarang beliau masih menyimpan kain (vesthi) tersebut.

Menceritakan kembali detik kelahiran anak kelimanya, Lidawati berkata beliau dan suami dalam perjalanan ke hospital di Gombak selepas ‘turun tanda’ namun tersangkut dalam kesesakan lalu lintas berhampiran kuil tersebut.

Katanya, ketika itu Marie, Naroshini dan beberapa peserta Thaipusam lain datang membantu bagi memastikan beliau melahirkan anaknya tanpa apa-apa komplikasi.

“Ketika itu, ada mak cik (Marie) dan kakak (Naroshini) ketuk pintu dan bertanya adakah saya ‘okay’. Saya cakap saya melahirkan bayi. Mereka suruh saya buka pintu kereta. Saya kata tak apa sebab tak mahu ganggu perayaan mereka.

“Tapi mereka suruh saya buka pintu dan mereka tolong sambut bayi saya. Saya terharu sebab mereka buka kain sari dan tolong tutup keadaan saya. Kain sari mereka habis kotor kena darah saya,” katanya.

Selasa lalu, seorang wartawan akhbar Tamil menarik perhatian pengguna media sosial kerana sifat prihatin beliau membantu wanita bersalin di dalam kereta berhampiran kuil Batu Caves.

LK Savantharaja memberitahu ketika kejadian beliau ke kuil itu untuk menghadiri upacara Thaipusam sebelum ternampak wanita sedang menahan sakit menjerit meminta tolong.

“Saya dan beberapa pengunjung lain terus tutup tingkap kereta dengan kain (vesthi). Masa bayi selamat dilahirkan, saya bagitau ‘Kakak you and your baby are blessed, rasa gembira dia selamat lahirkan bayi perempuan,” katanya.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Tarikan Thaipusam di Batu Caves, terima jutaan pengunjung saban tahun

Batu Caves adalah bukit batu kapur yang cukup masyhur sehingga menjadi tumpuan pelancong luar negara.

Kemeriahan Hari Thaipusam pada setiap awal tahun yang disambut di gua-gua Batu Caves telah menaikkan status kawasan berkenaan sebagai lokasi upacara keagamaan Hindu terbesar di Asia Tenggara.

Wartawan FARIDZWAN ABDUL GHAFAR menyusun fakta mengenai Batu Caves yang dilawati lebih sejuta pengunjung setiap tahun semasa perayaan Thaipusam sebelum pandemik Covid-19.

– 326 meter dari aras laut
– 13 kilometer utara Kuala Lumpur
– Seluas 1.56 km persegi
– Dinamakan sempena Sungai Batu

Ada 20 gua, yang terkenal antaranya:
– Gua Kuil
– Gua Gelap
– Gua Villa
– Gua Ramayana

272 anak tangga dibina dan dicat pelbagai warna
Terdapat 269 spesies tumbuhan sekitarnya

Ditemui pencinta alam sekitar William Temple Hornaday pada 1878
Diperkenal sebagai tempat ibadat oleh pedagang India K Thamboosamy Pillai
Kuil pertama dibina dalam gua pada 1891
Patung Dewa Murugan setinggi 42.7 meter didirikan pada 2006

Thaipusam di Batu Caves
Mula disambut pada 1892
Diraikan penganut Hindu pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil
Sebelum pandemik, lebih sejuta penganut Hindu berkumpul di situ

Upacara membabitkan ritual di kuil
– mencukur rambut
– membawa kavadi
– upacara mandi
– membawa bekas susu
– perarakan pedati berhala

Susulan wabak Covid-19, tatacara operasi piawai (SOP) sambutan diperketatkan

Penganut-penganut Hindu menjunjung belanga berisi susu ketika berarak ke Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves sempena perayaan Thaipusam yang disambut pada 18 Januari 2022. Foto BERNAMA
Categories
AGENDA NASIONAL

Batu Caves mula dikunjungi ramai sempena Thaipusam

KUALA LUMPUR , 16 JAN: Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini yang menjadi lokasi tumpuan utama setiap kali Thaipusam, mula dipenuhi penganut Hindu yang hadir menunaikan nazar dan sembahyang hari ini menjelang perayaan itu Selasa ini.

Kebanyakan mereka dilihat membawa ‘Paal Koodam’ atau belanga susu untuk dituangkan ke atas patung Dewa Murugan di puncak kuil berkenaan, sebagai antara upacara keagamaan.

Malah, tinjauan Bernama seawal 8 pagi mendapati pengunjung berbilang bangsa juga tidak melepaskan peluang melihat sendiri suasana sambutan, dengan masing-masing dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Tidak seperti sebelum ini, hanya beberapa gerai menjual bunga untuk upacara sembahyang dan gerai makanan dibuka, di perkarangan kuil.

Pegawai Informasi Pejabat Batu Caves K Tamilvaani berkata pihaknya menerima pengunjung seawal 12 tengah malam semalam, bagi melaksanakan upacara sembahyang.

Wanita berusia 31 tahun itu berkata seperti mana ditetapkan kerajaan, pihaknya menyediakan Kod QR Mysejahtera, pengimbas suhu badan serta tag, bagi pengunjung yang membawa ‘Paal Koodam’.

Katanya bagi menjaga kesesakan dan penjarakan sosial, hanya 500 orang dibenarkan memasuki ke kawasan kuil pada satu-satu masa.

“Pihak kami juga akan sentiasa membuat pengumuman dari semasa ke semasa, untuk orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga jarak, serta kerja-kerja sanitasi akan dilakukan bagi setiap sesi sembahyang yang diadakan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dalam satu sidang media, hari ini sebelum meninjau sambutan berkenaan berkata situasi semasa di sekitar kawasan kuil masih dalam keadaan terkawal dan berjalan lancar.

“Secara keseluruhan seramai 1,500 kekuatan anggota polis terlibat dan kami juga dibantu agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Daerah Selayang dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Pada masa sama, kebanyakkan pengunjung yang hadir meluahkan rasa gembira dapat menunaikan upacara sembahyang, dalam keadaan selesa dan teratur.

Salah seorang pengunjung N Lokizhwaran, 25, berkata beliau lebih selesa walaupun dalam keadaan SOP yang ketat.

“Kalau dahulu, saya mengambil masa empat jam untuk sampai ke kuil di puncak kerana kepadatan pengunjung, manakala hari ini saya selesai upacara ibadat dalam masa 30 minit sahaja,” katanya.

Turut berkongsi rasa yang sama, D Dashieny, 26, berkata kemeriahan itu masih dirasai kerana masih ada laungan ‘Vel Vel’, walaupun tiada iringan musik dan sebagainya.

“Bagi saya suasana pada kali ini lebih tenang dan lebih bersifat ketuhanan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Thaipusam: 1,000 sukarelawan pantau pengunjung kuil, bendung penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor akan menggerakkan lebih 1,000 sukarelawan bagi membantu penganut Hindu menyambut Thaipusam pada 18 Jan ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Bercakap kepada Bernama, Setiausaha Kehormat jawatankuasa kuil tersebut C. Sethupathy berkata setakat ini lebih 500 sukarelawan daripada orang awam telah mendaftar dan selebihnya adalah ahli jawatankuasa dan pengikut kuil itu sendiri.

“Sukarelawan ini akan membantu dari segi memastikan penjarakan sosial oleh penganut atau pengunjung, mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki kuil dan SOP yang lain,” katanya.

Beliau juga berkata kuil yang terkenal dengan patung Dewa Murugan terbesar di dunia dengan ketinggian 42.7 meter (m) itu, sedang melakukan persiapan akhir dengan meningkatkan SOP ketat bagi memastikan pengunjung mematuhinya dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Sethupathy juga berkata pihaknya kini sedang menguruskan pendaftaran dalam talian bagi penganut yang akan menjunjung ‘paal koodam’ atau belanga susu, supaya mereka diberikan tag bagi melancarkan proses perjalanan sambutan tanpa sebarang kegagalan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Pada perayaan tersebut, penganut Hindu akan menunaikan nazar dengan menjunjung ‘paal koodam’ yang dianggap paling suci dan ‘kavadi’ yang dihiasi cantik dengan menaiki ratusan anak tangga Batu Caves menuju kuil di dalam gua itu.

Sethupathy juga memaklumkan sambutan Thaipusam akan bermula pada 16 Jan ini dengan perarakan ‘Pedati Perak’, iaitu perarakan arca membawa Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli dan Devi Theivanai dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S Lee di sini ke Batu Caves pada pukul 10 malam dan dijangka tiba di kuil Batu Caves pada 10 pagi hari berikutnya.

Menurutnya perarakan pulang dari Batu Caves akan bermula pada 4 petang 19 Jan dan dijangka tiba di Kuil Sri Maha Mariamman pada tengah malam hari yang sama dan kedua-dua perarakan itu hanya akan melibatkan 70 ahli pengurusan kuil berkenaan, manakala orang ramai tidak dibenarkan hadir.

Semalam, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan upacara ‘paal koodam’, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam kali ini.

SOP yang ditetapkan bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves termasuk jumlah pengunjung tidak melebihi 6,000 orang setiap hari, pengunjung untuk ‘paal koodam’  pula dihadkan tidak melebihi 100 orang dan setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi.

Thaipusam turut disambut di Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit di Pulau Pinang dan Kuil Arul Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheruh, Ipoh, Perak.

— BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ajak umat Islam berdoa Covid-19 berakhir, mudahkan urusan ibadat

SHAH ALAM, 17 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengajak jemaah Masjid Kampung Nakhoda, Batu Caves hari ini bersama-sama memohon doa supaya pandemik Covid-19 segera berakhir.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menzahirkan rasa syukur atas peluang menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di masjid berkenaan.

“Alhamdulillah berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama para jemaah dan kariah di Masjid Kampung Nakhoda, Batu Caves.

“Saya turut mengajak para jemaah untuk kita sama-sama berdoa agar wabak Covid-19 ini segera diangkat dan kita dapat melaksanakan ibadah dengan sejahtera,” katanya menerusi Facebook.

Pada 3 September, Kerajaan Selangor yang masih dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika itu membenarkan 100 jemaah yang lengkap dos vaksin menunaikan solat Jumaat di masjid manakala 50 orang bagi solat berjemaah termasuk di surau.

Kelonggaran itu perlu dibuat secara bergilir sama ada untuk solat Jumaat atau berjemaah sementara kegiatan lain seperti ceramah hanya dalam talian.

Selangor bersama Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN berkuat kuasa 10 September lalu dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang mendapat suntikan dua dos vaksin.

Categories
SELANGOR

Puspakom Selangor beroperasi semula esok kecuali di Batu Caves

SHAH ALAM, 18 JULAI: Perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Selangor beroperasi semula esok kecuali Puspakom Batu Caves yang akan memulakan operasi pada 21 Julai ini.

Menurut kenyataan hari ini, pengoperasian pusat itu termasuk perkhidmatan bergerak Puspakom di kawasan Lembah Klang melibatkan semua jenis pemeriksaan kenderaan.

“Pelanggan yang ingin menjalani pemeriksaan kenderaan wajib membuat janji temu secara dalam talian sebelum hadir ke Puspakom atau mengguna perkhidmatan bergerak. Pemeriksaan secara jumpa terus tidak dibenarkan.

“Pelanggan yang hadir pemeriksaan disarankan untuk sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dan memastikan MySejahtera diimbas sebelum masuk ke premis,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Pesakit kronik antara 100 penerima bantuan asas di Batu Caves

SHAH ALAM, 17 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerahkan bantuan kepada 100 keluarga di empat perumahan di Batu Caves, semalam.

Sumbangan disampaikan membabitkan Flat Taman Bidara, Taman Selayang Jaya, Selayang Utama dan Taman Seri Melati.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata sumbangan disampaikan Ahli Majlis Zon 12, U Chin Ong dan Pemangku Yang Dipertua MPS, Ir Cheremi Tarman.

Menurutnya, seorang pesakit kronik di Taman Selayang Jaya, Batu Caves antara penerima sumbangan.

“Penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan asas ini adalah inisiatif Ahli Majlis Zon 12 sendiri bagi meringankan beban masyarakat terkesan terutama ketika pandemik Covid-19,” katanya di Facebook hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan individu dipanggil polis langgar SOP raya di Batu Caves

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Polis mengambil keterangan daripada lapan individu termasuk lima wanita berhubung pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) ketika meraikan Aidilfitri di sebuah kediaman di Kampung Baru, Batu Caves, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata siasatan dijalankan susulan pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 16 saat berhubung kejadian itu yang dimuat naik seorang pemilik akaun Instagram pada 3.45 petang semalam.

“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 13 Mei lepas kira-kira 3 petang dan perakam yang merupakan menantu kepada pemilik rumah yang merakam keadaan tetamu di dalam dan luar rumah.

“Semakan juga mendapati kesemua tetamu yang berada di dalam rumah itu adalah ahli keluarga suami perakam,” katanya dalam kenyataan.

Arifai berkata siasatan turut mendapati ahli keluarga suami perakam itu tinggal di sebuah rumah berasingan yang jaraknya lebih kurang 20 meter dari rumah berkenaan.

Katanya, lapan individu berusia 18 hingga 55 tahun dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan dan kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdahulu, tular di laman sosial satu video memaparkan suasana sambutan Hari Raya pertama dengan sekumpulan individu menikmati juadah di meja makan dan perkongsian tersebut mendapat kecaman warganet.

Dalam kenyataan berasingan, Arifai berkata cubaan seorang tahanan lelaki yang merupakan suspek kes rogol untuk melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Selayang petang semalam gagal berikutan tindakan pantas anggota polis yang mengawalnya.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, tahanan berusia 39 tahun itu bertindak melompat dari katil dan berlari ke arah luar hospital dalam keadaan tangan kiri masih bergari.

Menurutnya, dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh yang ditugaskan untuk menjaga suspek mengejar dan menahannya kira-kira 120 meter dari lokasi kejadian.

“Semasa proses tangkapan, berlaku pergelutan dan seorang daripada anggota mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Arifai berkata suspek sebelum itu dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan kerana mengalami penyakit sawan pada Ahad lepas dan ditahan reman tujuh hari di IPD Sungai Buloh, bagi membantu siasatan kes rogol.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Thaipusam: Perarakan pedati ke Batu Caves lulus dengan syarat

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meluluskan perarakan pedati yang membawa arca Dewa Murugan sempena perayaan Thaipusam.

Beliau berkata perarakan pedati membawa arca Dewa Murugan dari kuil Jalan Bandar ke Batu Caves adalah pada 27 Jan dan akan kembali dari Batu Caves ke kuil Jalan Bandar pada 29 Januari, namun perlu mengikut syarat dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Syaratnya, ‘Chariot’ (pedati) tidak boleh berhenti di mana-mana, pengikut tidak lebih daripada 10 orang, tiada muzik dan lain-lain,” katanya dalam hantaran Twitter rasmi beliau semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Halang tugas anggota Imigresen, seorang lagi ditahan

PETALING JAYA, 17 FEB: Seorang lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan insiden anggota penguat kuasa Imigresen dihalang daripada melakukan operasi di Batu Caves dekat sini, Jumaat lepas, menjadikan jumlah tangkapan setakat ini tiga orang.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata suspek berumur 38 tahun itu ditahan di sekitar Batu Caves pukul 9 malam tadi.

“Polis sedang mengesan beberapa lagi orang yang ada dalam rakaman video yang tular untuk membantu siasatan insiden itu,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih menyiasat sama ada ketiga-tiga lelaki yang telah ditahan itu terlibat dengan mana-mana kumpulan kongsi gelap.

“Polis akan jalankan siasatan daripada semua sudut berhubung perkara ini,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 506 Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata polis menahan dua lelaki berusia 47 dan 56 tahun bagi membantu siasatan insiden anggota penguat kuasa Imigresen yang dihalang daripada melakukan operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves dekat sini.

Jumaat lepas, tular di media sosial yang memaparkan kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar sekumpulan individu dari kawasan peniaga haram dipercayai dikendalikan warga asing dari India dan Pakistan di Batu Caves.

Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keselamatan negara, malah mengganggu peniaga tempatan menjalankan aktiviti harian mereka.

Pada majlis itu, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang baharu menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din.

Mohd Zani telah dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Judi/Maksiat/Gangsterism, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Halang tugas anggota Imigresen, dua lelaki ditahan

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan insiden anggota penguat kuasa Imigresen yang dihalang daripada melakukan operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata seorang individu berusia 47 tahun ditahan pada 7 malam semalam (Sabtu) manakala seorang lagi, yang berumur 56 tahun, diberkas kira-kira 12.30 tengah malam di sekitar Batu Caves.

“Kedua-dua mereka direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, tular di media sosial yang memaparkan kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar sekumpulan individu dari kawasan peniaga haram dipercayai dikendalikan warga asing di Batu Caves.

Arifai berkata pihaknya telah menerima dua laporan daripada pihak Imigresen serta satu laporan daripada individu yang dipercayai terlibat dalam insiden itu.

Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keselamatan negara, malah mengganggu peniaga tempatan menjalankan aktiviti harian mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Provokasi terhadap anggota Imigresen beri impak buruk kepada negara

IPOH, 15 FEB: Provokasi terhadap anggota penguat kuasa Imigresen Selangor semasa melakukan operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves, Selangor baru-baru ini memberi kesan buruk kepada negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keselamatan negara malah mengganggu peniaga tempatan menjalankan aktiviti harian mereka.

“Dalam hal ini, bila pegawai dapat maklumat mereka hendak jalankan tugas tapi telah dihalang untuk elak timbul pergaduhan dan kecederaan pegawai telah hentikan operasi.

“Pegawai bertindak bijaksana tidak ambil tindakan tapi timbul masalah lain sedangkan pihak terlibat bertindak secara luar batas iaitu menghalang pegawai dan penjawat awam menjalankan tugas, yang merupakan satu kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun ke-48 Rela Peringkat Kebangsaan 2020 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Muhyiddin berkata berdasarkan maklumat terdapat ramai peniaga dari India di lokasi itu dengan disokong oleh warga tempatan yang jelas bercanggah dengan undang-undang.

Semalam, tular di media sosial bahawa kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar dari kawasan peniaga haram dari India dan Pakistan oleh Ahli Jawatankuasa Kuil Batu Caves.

Selain itu, mereka dicemuh dengan bahasa kesat.

Sementara itu, Muhyiddin meminta semua 3.1 juta ahli Rela di seluruh negara agar terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk memelihara keselamatan negara dan pada masa sama, berharap lebih ramai tampil menyertai unit beruniform tersebut.

– BERNAMA