SHAH ALAM, 3 JAN: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) menawarkan khidmat nasihat dan pemeriksaan kenderaan secara percuma kepada mangsa banjir, kata ketua eksekutifnya.
Mohd Asyraf Amin memaklumkan inisiatif kelolaan Ketua Program Automotif Faizal Azmi bertujuan membantu pemilik kereta dan motosikal mendapat gambaran jelas tahap kerosakan kenderaan.
“Pemeriksaan meliputi tiga skop utama iaitu ruang enjin, ruang penumpang dan chassis membabitkan kondisi kenderaan, minyak pelincir, kotak gear, cecair, brek, steering serta unit kawalan elektronik (ECU).
“Bantuan asas servis juga diberikan tetapi barang perlu disediakan oleh pemilik kenderaan,” katanya kepada Selangorkini.
Beliau berkata sebagai satu-satunya institusi pendidikan kemahiran bawah Kerajaan Selangor yang menumpukan bidang teknikal (TVET), pihaknya sentiasa bersedia menghulurkan bantuan tenaga dan kepakaran bagi meringankan beban mangsa.
“Kita juga mengalu-alukan pelajar untuk mendalami ilmu kemahiran ini seiring kemajuan bidang TVET,” katanya.