Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selenggara aset bekalan air untuk pastikan sistem berfungsi baik

SHAH ALAM, 10 OKT: Penyelenggaraan aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 pada Rabu ini melibatkan penggantian beberapa alatan bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan baik.

Sekiranya peralatan tidak diganti, kebocoran boleh berlaku pada bila-bila masa sekali gus mengakibatkan henti tugas loji tidak berjadual, kata ketua wilayah utara jabatan pengeluaran Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Jelas Zulkifli Abdul Hamid kejadian seumpama itu memerlukan masa lama untuk proses pembaikan hingga mengakibatkan pengguna tidak sempat menyimpan bekalan selain pemain industri berdepan kesukaran untuk merancang rapi operasi dan perniagaan mereka.

“Penyelenggaraan melibatkan gantian tiga batang paip air tapisan bersaiz 1,200 milimeter (mm) diameter setiap satu selain injap kupu-kupu dan suis di pam air terawat bersaiz 1,450 mm dan 1,350 mm.

“Ia turut melibatkan kerja penebukan kolam air terawat dan kolam imbangan, mencuci kolam serta membaiki kebocoran paip terawat bersaiz 2,100 mm diameter,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook Air Selangor.

Jelas Zuklifli kerja penyelenggaraan juga penting untuk pastikan fungsi loji terbesar negeri dengan kapasiti 950 juta liter air sehari itu efisen serta memberi kelestarian bekalan air terawat kepada pengguna.

“Kerja ini sudah tertangguh dua kali iaitu pada 23 Julai 2019 dan 14 April 2020 disebabkan insiden pencemaran sumber air Sungai Selangor. Ketika itu gangguan air berskala besar berlaku,” katanya.

Sepanjang 13 hingga 16 Oktober, kerja penyelenggaraan melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sebanyak 105 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Kerajaan Selangor juga menggerakkan sukarelawan di peringkat DUN, Team Selangor, Selangor Volunteer (Serve), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan ketua kampung bagi membantu pengguna terlibat.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jalan Kuching ditutup hingga 14 Mei untuk kerja selenggara

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Jalan Kuching berhampiran Bulatan Segambut yang ditutup di kedua-dua hala sejak 19 April hingga 14 Mei ini mulai 11 malam hingga 5 pagi setiap malam akan menyebabkan gangguan aliran trafik.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan penutupan jalan itu adalah bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan perparitan di lokasi berkenaan dilaksanakan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi semua isyarat papan tanda sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan serta sebarang kesulitan yang timbul,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Kerja selenggara paip Air Selangor dijangka selesai lebih awal

PETALING JAYA, 28 MAC: Kerja penyenggaraan paip yang menyebabkan gangguan air berjadual bermula Selasa ini dijangka dapat diselesaikan lebih awal, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia berikutan usaha dilakukan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) sebelum ini yang dapat menyiapkan kerja itu lebih cepat dari tarikh ditetapkan.

“Untuk kemudahan awam, kita akan percepatkan kerja penyenggaraan ini. Sekiranya bermula awal, maka kerja baik pulih akan dapat selesai lebih awal. Sekali gus membolehkan bekalan air terus dapat diagihkan kepada penduduk.

“Ini kerana pengalaman sebelum ini, jika tiada aral melintang, kita akan bermula awal dan dapat selesaikan lebih cepat baik pulih berkenaan,” katanya pada Majlis Jasamu Dikenang, Budimu Disanjung di Sunway Hotel Spa, malam tadi.

Amirudin menjelaskan kerja baik pulih yang menyebabkan ketiadaan bekalan di beberapa kawasan di Lembah Klang merupakan gangguan air berjadual.

“Saya yakin orang ramai sudah ambil maklum perkara ini lebih awal, namun masyarakat perlu tahu kerja penyenggaraan ini diambil kerana kita mahu memastikan selepas ini tidak berlaku gangguan bekalan air lebih lama.

“Pelaksanaannya juga bagi memastikan keselesaan rakyat,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan sebanyak 89 kawasan di wilayah Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam akan mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam bermula 30 Mac dan 6 April depan.

Ia berikutan kerja penyelenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset utama Air Selangor tahun ini.