Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Kematian akibat denggi turun lebih 90 peratus tahun ini

SHAH ALAM, 18 JUN: Jumlah kes dan kematian akibat demam denggi di Selangor sehingga 5 Jun tahun ini mencatatkan penurunan, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata sebanyak 75.1 peratus penurunan kes direkodkan dengan jumlah kumulatif 11,629 berbanding 46,713 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Kes kematian demam denggi turut menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 92.7 peratus dengan merekod enam kes berbanding 82 kes tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta untuk memerangi Aedes termasuk pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi yang disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Justeru, selaras dengan tema “10 Minit Hapuskan Aedes” dan sempena Hari Denggi Asean peringkat kebangsaan 2021, Dr Siti Mariah menyeru seluruh rakyat bersama memerangi Aedes.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bilangan kes denggi di Selangor turun 36 peratus – JKNS

SHAH ALAM, 8 DIS: Kes denggi di Selangor menurun kepada 43,215 setakat minggu ke-49 tahun ini berbanding 67,600 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah kesihatan negeri berkata jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 36.1 peratus (24,385 kes) dengan 152 kawasan wabak dikesan.

“Lima daerah yang merekod kes denggi paling tinggi ialah Petaling dengan 15,040 kes, Hulu Langat (9,442 kes), Klang (6,814 kes), Gombak (6,390 kes) dan Sepang (2,353 kes).

“Sebanyak 37 kematian dilaporkan iaitu penurunan 31.5 peratus berbanding 54 kes dalam tempoh sama tahun lepas,” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman menerusi kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau menyarankan masyarakat mengamal langkah pencegahan dengan membersih sekitar premis dan kediaman bagi mengelak pembiakan nyamuk Aedes.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan selain menutup takungan air kekal atau meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kes denggi di Selangor meningkat 798, satu kematian

SHAH ALAM, 29 MEI: Sebanyak 798 kes denggi dicatatkan di Selangor dengan satu kematian bagi minggu epidemik ke-21 iaitu pada 17 hingga 23 Mei, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah mingguan itu meningkat 23.9 peratus berbanding minggu epidemik ke-20 hanya 644 kes.

Dr Siti Mariah Mahmud berucap ketika Majlis Apresiasi Sedekad Pusat Wanita Berdaya di Shah Alam Convention Centre pada 7 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Terdapat satu kematian dilaporkan pada minggu epidemik ke-21/2020 menjadikan kumulatif kematian sebanyak 28 kes, peningkatan 3.7 peratus berbanding pada minggu epidemik sama tahun lalu 27 kes,” kata beliau di Facebook.

Siti Mariah memberitahu, demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah yang boleh membawa maut.

“Demam denggi berdarah mempunyai tanda seperti demam denggi biasa tetapi mempunyai kesan lebam, pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi serta ia boleh diikuti dengan pendarahan di seluruh badan yang akhirnya boleh membawa maut,” jelas beliau.

Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala demam denggi perlu mendapatkan rawatan segera.

Siti Mariah turut mengingatkan penduduk Selangor, dalam usaha mencegah Covid-19, mereka juga harus mengamalkan langkah pencegahan denggi seperti memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk, membuang bekas takungan air dan menggunakan semburan.