Categories
AGENSI SELANGOR

STFC: Jangkitan terkawal, masyarakat digesa kekal waspada

SHAH ALAM, 15 OGOS: Kes jangkitan Covid-19 di Selangor terkawal untuk tujuh hari terakhir kerana majoriti kes disumbang oleh penularan luar negara.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) bagaimanapun mengingatkan masyarakat tidak menarik nafas lega kerana virus itu masih ada dan berpotensi meletus sekali lagi jika mengabaikan langkah pencegahan.

“Kekalkan kestabilan Selangor ini dengan berdisiplin serta guna Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) di premis untuk daftar pengunjung,” katanya menerusi Twitter.

Mengikut data minggu kedua antara 8 hingga 14 Ogos, negeri ini hanya mencatatkan 12 kes baharu dan angka tertinggi direkodkan pada 10 Ogos dengan empat kes.

Untuk kali ke-13 sejak 10 Jun lalu Selangor mencatatkan sifar kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 2,144 kes.

Sebanyak 26 kes baharu direkodkan seluruh negara hari ini dengan 23 kes membabitkan penularan tempatan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: tiga kes import, 23 penularan tempatan

SHAH ALAM, 15 OGOS: Sebanyak 26 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini membabitkan tiga kes import dan 23 penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penularan tempatan membabitkan warganegara dan warga asing direkodkan di enam negeri iaitu Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Perlis dan Negeri Sembilan.

“Tiga kes import jangkitan daripada luar negara itu membabitkan dua warganegara dan satu bukan warganegara dari Austria, Amerika Syarikat serta Vietnam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, Kedah merekodkan 14 kes baharu iaitu 10 dari kluster Tawar, satu kluster Muda dan kluster baharu yang dinamakan kluster Sala dengan tiga kes.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan dua kes baharu masing-masing satu hasil saringan tempat kerja dan saringan kontak rapat kes positif ke-8,688.

“Dua kes baharu di Pulau Pinang pula saringan kluster Tawar iaitu kontak rapat kes positif ke-9,113 manakala di Johor dan Perlis masing-masing satu kes membabitkan saringan prapembedahan,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

STFC: Tiada penularan tempatan minggu ini, hanya empat kes import

SHAH ALAM, 9 OGOS: Tiada kes penularan tempatan Covid-19 dilaporkan di Selangor sepanjang minggu ini sejak Isnin lalu.

Bilik Gerakan Covid-19 memaklumkan hanya empat kes import membabitkan dua dari Jepun dan satu kes masing-masing jangkitan Turki dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tiga kes juga disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital dalam tempoh sama.

“Hari ini kali ke-38 Selangor tidak mencatat kes penularan tempatan sejak 18 Mac lalu,” katanya melalui laporan harian.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata satu kes import dari Jepun membabitkan warga asing dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 2,134 kes.

“Esok mula bekerja, jangan lupa pakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman. Daftarkan pejabat anda menggunakan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) untuk merekod individu keluar masuk premis. Lindungi tempat kerja, lindungi nyawa anda,” katanya di Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

13 kes baharu Covid-19, sembilan kes import

SHAH ALAM, 9 OGOS: Sebanyak 13 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan sembilan kes import membabitkan lima warganegara dan empat warga asing, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kes mendapat jangkitan dari China, India dan Jepun manakala satu kes masing-masing direkodkan daripada individu dari Ireland, Indonesia dan Yaman.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi terdapat juga empat kes penularan tempatan yang semuanya melibatkan warganegara.

“Tiga kes di Pulau Pinang, dua berkait kluster PUI Sivagangga dan satu kluster baharu, kluster Kurau. Satu kes membabitkan kluster baharu turut dikesan di Putrajaya iaitu kluster Meranti. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,083 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 174 kes adalah aktif dengan kebolehjangkitan namun sudah disaring dan diberi rawatan.

“Hanya seorang pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) namun tidak memerlukan bantuan pernafasan. Tiada kematian baharu. Kes kumulatif kekal 125 iaitu 1.38 peratus.

“Hari ini sembilan kes disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah sembuh 8,784 kes iaitu 96.7 peratus,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM catat lima kes import Covid-19, 16 tempatan

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) merekod 21 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 8,861 orang.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan tiga warganegara Malaysia dan dua warga asing.

“Lima kes ini adalah dari Singapura, Australia, Filipina, Pakistan dan Qatar yang masuk ke Malaysia atas urusan kerja dan berkahwin dengan rakyat tempatan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau berkata terdapat 16 kes penularan dalam negara membabitkan 13 rakyat tempatan dan tiga bukan warga negara iaitu dua kes di Kuala Lumpur; Selangor (satu); Johor (satu); Pahang (satu); Sarawak (lapan).

“Sehingga kini, tiga orang pulih dan dibenarkan keluar hospital manakala lima kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi serta dua memerlukan bantuan pernafasan. Tiada kes kematian menjadikan jumlah kekal 123 kes,” katanya.