Categories
NASIONAL

Polis kesan dua saksi bicara kes bunuh Kim Jong-Nam

SHAH ALAM, 1 SEPT: Polis sedang mengesan dua wanita warga Indonesia, yang diperlukan untuk hadir sebagai saksi perbicaraan kes bunuh Kim Jong-Nam di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata kedua-dua mereka dikenal pasti sebagai Raisa Rinda Salma, 24, pemegang passport No. B2421541 dan Dessy Meyrisinta, 33, pemegang passport No. B0464727.

Kedua-dua saksi ini yang beralamat terakhir di Hotel Flamingo, Ampang, tidak dapat dihubungi, katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai mereka untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP Wan Azirul Nizam daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada talian 017-655 6575, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Pada 16 Ogos lepas, mahkamah memerintahkan warga Indonesia Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Huong membela diri terhadap pertuduhan membunuh Jong-Nam atau Kim Chol yang jugs abang Presiden Korea Utara Kim Jong-un, tahun lepas.

Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap Siti Aisyah, 26, dan Doan, 29, pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 1, 5, 7, 8, 12, dan 13 Nov serta antara 12 dan 14 Dis sebagai tarikh untuk Siti Aisyah membela diri manakala 7 dan 10 Jan, 28 hingga 31 Jan serta antara 18 dan 20 Feb tahun depan untuk Doan membela diri.

Siti Aisyah dan Doan didakwa dengan empat individu yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb 2017.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Kes bunuh Kim Jong-Nam: Siti Aisyah, Doan diperintah bela diri

SHAH ALAM, 16 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan warga Indonesia Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Huong membela diri terhadap pertuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam pada tahun lepas.

Hakim Datuk Azmi Ariffin semasa menyampaikan keputusan itu berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap Siti Aisyah, 26, dan Doan, 29, pada akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Azmi berkata beliau telah mengambil langkah untuk meneliti semula keterangan secara objektif dan berpendapat kes pihak pendakwaan daripada semua sudut khususnya perilaku saksi pihak pendakwaan pada perbicaraan.

“Saya juga secara terperinci menimbangkan hujahan kukuh dibentangkan di hadapan saya oleh peguam yang bijaksana dan timbalan pendakwa raya yang bijaksana.

“Cukup untuk saya katakan pada akhir kes pihak pendakwaan, saya telah membuat penilaian maksimum keterangan yang diberikan dan saya mendapati seluruh keterangan dikemukakan oleh pihak pendakwaan pada peringkat ini adalah berwibawa untuk diterima dengan selamat oleh mahkamah.

“Atas alasan-alasan yang saya sebutkan itu, saya berpuas hati semua intipati dalam pertuduhan terhadap tertuduh yang perlu dibuktikan telah dibuktikan. Saya dengan ini mendapati pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. Saya dengan itu memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan masing-masing,” katanya yang menyampaikan penghakimannya selama dua setengah jam bermula 10 pagi.

Hakim Azmi berkata daripada keterangan dikemukakan di mahkamah, dapat dikatakan wujud konspirasi terancang antara kedua-dua wanita itu dan empat suspek warga Korea Utara yang masih bebas untuk membunuh Kim Chol.

“Saya tidak menolak kemungkinan ini adalah pembunuhan politik. Namun di sebalik itu saya masih tidak dapat mengesahkan fakta itu.

“Walaupun keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dalam bentuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan wujud perancangan rapi dilakukan empat warga Korea Utara itu,” katanya.

Di samping itu, hakim itu berkata kewujudan niat bersama turut dibuktikan dan dua wanita itu adalah pelakunya.

Siti Aisyah dan Doan didakwa dengan empat orang lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb, 2017.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kes bunuh Jong-nam: Mahkamah Tinggi Shah Alam jadi tumpuan media

SHAH ALAM 2 OKT: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa bagi memberikan liputan kepada kes dua wanita warga asing yang dituduh membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Lebih 100 petugas media  tempatan termasuk media asing mula memenuhi kawasan luar Kompleks Mahkamah Shah Alam seawal jam 5 pagi bagi mengikuti perbicaraan bermula hari ini.

Tertuduh, warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28 tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini, dengan kawalan ketat polis kira-kira jam 8 pagi tadi.

Kawalan keselamatan di Kompleks Mahkamah Shah Alam turut diperketatkan dengan hanya kenderaan orang awam yang mempunyai pelekat khas mahkamah dibenarkan masuk.

suspekkoreaNamun hanya 20 wakil media tempatan dan antarabangsa diberi kebenaran memasuki kamar mahkamah untuk membuat liputan prosiding.

Pihak pendakwaan bakal memanggil 30 hingga 40 saksi, antara lain 10 saksi pakar termasuk pakar agen saraf VX serta beberapa saksi warga asing.

Pada 28 Julai, Hakim Azmi menetapkan 23 hari bermula 2 Oktober hingga 30 November bagi perbicaraan iaitu 11 hari pada Oktober dan 12 hari pada November.

Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad, akan mengetuai pasukan pendakwa raya, manakala peguam Gooi Soon Seng mewakili Siti Aisyah, dan peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Naran Singh mewakili Doan.

Kedua-dua tertuduh pertama kali dihadapkan bagi pertuduhan membunuh pada 1 Mac di Mahkamah Majistret Sepang.

KLIA2Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana hukuman mati terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Mei.

Jong-nam dilaporkan berada di klia2 pada 13 Februari untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita menghampirinya dan tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair bertoksik yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam, yang melakukan penerbangan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Beliau datang ke Malaysia pada 6 Februari.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Perbicaraan kes pembunuhan Jong-nam bermula esok

SHAH ALAM 1 OKT: Perbicaraan dua wanita warga asing yang menghadapi pertuduhan membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, akan bermula esok di Mahkamah Tinggi di sini.

Perbicaraan akan didengar di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin. Mahkamah akan merekodkan pengakuan daripada kedua-dua tertuduh pada hari pertama perbicaraan.

Warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, dituduh bersama-sama empat yang lain yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Februari lalu.

Mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan akan memanggil 30 hingga 40 saksi, antara lain 10 saksi pakar termasuk pakar agen saraf VX serta beberapa saksi warga asing.

Jong namPada 28 Julai, Hakim Azmi menetapkan 23 hari bermula 2 Oktober hingga 30 November bagi perbicaraan iaitu 11 hari pada Oktober dan 12 hari pada November.

Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad, akan mengetuai pasukan pendakwa raya, manakala peguam Gooi Soon Seng mewakili Siti Aisyah, dan peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Naran Singh mewakili Doan.

Kedua-dua tertuduh pertama kali dihadapkan bagi pertuduhan membunuh pada 1 Mac di Mahkamah Majistret Sepang.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana hukuman mati terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

KLIA2Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Mei.

Jong-nam dilaporkan berada di klia2 pada 13 Februari untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita menghampirinya dan tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair bertoksik yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam, yang melakukan penerbangan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Beliau datang ke Malaysia pada 6 Februari.

SUMBER: BERNAMA.