Categories
SELANGOR

Kes bunuh Jong-nam: Mahkamah Tinggi Shah Alam jadi tumpuan media

SHAH ALAM 2 OKT: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa bagi memberikan liputan kepada kes dua wanita warga asing yang dituduh membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Lebih 100 petugas media  tempatan termasuk media asing mula memenuhi kawasan luar Kompleks Mahkamah Shah Alam seawal jam 5 pagi bagi mengikuti perbicaraan bermula hari ini.

Tertuduh, warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28 tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini, dengan kawalan ketat polis kira-kira jam 8 pagi tadi.

Kawalan keselamatan di Kompleks Mahkamah Shah Alam turut diperketatkan dengan hanya kenderaan orang awam yang mempunyai pelekat khas mahkamah dibenarkan masuk.

suspekkoreaNamun hanya 20 wakil media tempatan dan antarabangsa diberi kebenaran memasuki kamar mahkamah untuk membuat liputan prosiding.

Pihak pendakwaan bakal memanggil 30 hingga 40 saksi, antara lain 10 saksi pakar termasuk pakar agen saraf VX serta beberapa saksi warga asing.

Pada 28 Julai, Hakim Azmi menetapkan 23 hari bermula 2 Oktober hingga 30 November bagi perbicaraan iaitu 11 hari pada Oktober dan 12 hari pada November.

Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad, akan mengetuai pasukan pendakwa raya, manakala peguam Gooi Soon Seng mewakili Siti Aisyah, dan peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Naran Singh mewakili Doan.

Kedua-dua tertuduh pertama kali dihadapkan bagi pertuduhan membunuh pada 1 Mac di Mahkamah Majistret Sepang.

KLIA2Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana hukuman mati terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Mei.

Jong-nam dilaporkan berada di klia2 pada 13 Februari untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita menghampirinya dan tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair bertoksik yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam, yang melakukan penerbangan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Beliau datang ke Malaysia pada 6 Februari.

=EZY=