Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

NUTP cadang buka sekolah rendah hujung September

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mencadangkan pembukaan sekolah rendah di seluruh negara dibuat seawal-awalnya pada hujung September atau Oktober.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata bagaimanapun ia tertakluk kepada keadaan semasa Covid-19 negara serta keputusan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bila Covid-19 sudah reda, kita harap sebelum berakhirnya bulan September atau Oktober, sekolah rendah juga dibuka bagi membolehkan para guru dan pelajar kembali ke sekolah bagi meneruskan sekolah seperti biasa,” katanya dalam temu bual khas Bernama 745 di Bernama TV, semalam.

Beliau berkata walaupun sekolah tidak dibuka, guru-guru tetap bertugas menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ingin saya nyatakan bahawa guru-guru sentiasa bersedia dipanggil bertugas untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memberikan ilmu kepada para pelajar.

“Ada guru yang telah membuat rakaman subjek mata pelajaran sukatan tertentu bagi membolehkan mereka memberikannya kepada pelajar setelah sekolah dibuka. Ada juga guru yang didapati menyediakan modul-modul tertentu bagi memastikan pemerolehan ilmu dalam kalangan pelajar dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata NUTP yakin, guru-guru akan melipatgandakan usaha bagi memastikan ilmu yang diterima sama tarafnya walaupun sekolah ditutup selama tiga bulan.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mencadangkan penambahbaikan aspek pedagogi dan tatacara operasi piawai (SOP) sistem pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah iaitu hanya empat mata pelajaran teras yang diajar manakala selebihnya diajar secara maya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan waktu persekolahan bagi sesi pagi dimulakan pada pukul 8.00 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi petang bermula 1.00 petang hingga 5.00 petang.

“NUTP yakin dengan kepelbagaian kemudahan dan kemahiran guru sekarang ini, guru mampu untuk merealisasikan impian itu,” katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan semua sekolah di seluruh negara dibuka mulai 24 Jun ini, melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warden sepenuh masa: Cadangan NUTP perlu diperhalusi

NILAI, 2 OKT: Cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya warden sekolah dilantik daripada kalangan bukan guru perlu diperhalusi, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau bagaimana pun berkata, pihaknya terbuka dan akan meminta Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) untuk melakukan perbincangan dengan kesatuan itu.

“Mungkin mereka mempunyai beberapa cadangan ke arah tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) 2019 di Institut Aminuddin Baki, kampus Enstek, di sini.

Semalam, Presiden NUTP Aminuddin Awang mendakwa masih terdapat guru ‘dipaksa rela’ menjadi warden sekolah berasrama penuh oleh pengetua.

Beliau berkata, ia menambah bebanan tugas hakiki seorang guru dan turut menyarankan kerajaan agar diwujudkan warden bukan kalangan guru.

Mengenai persidangan itu, Maszlee berkata, ia adalah selari dengan visi kementerian dalam memastikan sistem pendidikan dilaksanakan dengan baik selain para guru gembira gembira mengajar di sekolah.

“Sehubungan itu, saya bergantung sepenuhnya kepada sokongan PPD yang jadi antara agen perubahan yang kita harapkan. Kita juga yakin melalui program yang dianjurkan ini, para PPD akan mendapat input yang baik dan yang mereka perlukan dalam usaha mereka melakukan perubahan dalam pendidikan kita.

“Kita harap PPD dalam memainkan peranan mereka sebagai pembimbing juga sebagai satu keluarga kepada guru besar dan guru-guru yang ada dalam memastikan perubahan pendidikan yang kita inginkan itu akan berjaya dicapai,” katanya.

Persidangan berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula semalam membabitkan seramai 330 peserta daripada 145 PPD seluruh negara.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kaji punca kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris murid

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak berkepentingan sektor pendidikan perlu​​​​​​ membuat kajian komprehensif untuk mengetahui punca sebenar kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan murid berbanding menuding jari terhadap tahap penguasaan BI oleh para guru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, mereka harus mengenal pasti punca yang mempengaruhi tahap penguasaan murid yang lemah dalam subjek itu berbanding memberi arahan supaya guru opsyen BI menduduki Malaysian University English Test (MUET).

“Pada tanggapan kami, selain kekurangan guru opsyen BI mungkin ada faktor lain seperti persekitaran, motivasi murid-murid seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mewajibkan untuk lulus subjek BI dan sebagainya, maka kita kena duduk semeja untuk tahu apakah faktor-faktornya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pendidikan Bahasa Inggeris NUTP, di sini hari ini.

Pada 14 April lepas, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dalam satu pekeliling mengarahkan supaya guru yang mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan MUET, bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris yang selari dengan keperluan termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menurut arahan pekeliling itu, semua guru opsyen bahasa Inggeris perlu berada pada tahap penguasaan minimum C1 dalam kelayakan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

Arahan pekeliling itu memaklumkan seramai 20,634 guru belum mengambil sebarang ujian profisiensi dan diminta untuk menjalani peperiksaan MUET.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata, berdasarkan Pelan Pembaharuan Pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia: The Roadmap 2015-2025 tidak menyatakan mengenai keperluan menduduki peperiksaan MUET selain CEFR.

Aminuddin mengulangi pendirian pihaknya yang tidak setuju dengan arahan tersebut dan menyifatkan MUET hanya diambil oleh pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat universiti manakala para guru telah mengikuti pelbagai latihan intensif termasuk ‘Cambridge Placement Test’ dan ‘APTIS-Assess English Skills’ yang dikelolakan British Council.

Beliau turut mahu KPM menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai keperluan guru yang perlu menduduki peperiksaan MUET.

“Kami ingin mendapatkan pengesahan siapakah yang wajib menduduki MUET? Adakah guru opsyen BI atau bukan opsyen BI kerana beberapa kenyataan yang bercanggah telah dikeluarkan oleh pihak KPM,” katanya.

Tambahnya, NUTP juga mahu tahu nasib guru yang bakal menduduki ujian MUET pada November ini sekiranya tidak mencapai tahap yang ditetapkan selain akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bagi membincangkan isu ini. – BERNAMA