Categories
AGENDA NASIONAL

Jadual baharu peperiksaan SPM 2021 dikeluarkan dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengeluarkan jadual baharu bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dalam masa terdekat, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Facebook Dr Radzi Jidin hari ini berkata KPM menerima banyak pandangan daripada ibu bapa dan calon SPM 2021 berkaitan jadual SPM 2021, yang telah dikeluarkan oleh KPM.

“Kami (KPM) mengambil kira semua pandangan yang diberikan dan saya telah duduk berbincang bersama Lembaga Peperiksaan dan pengurusan tertinggi KPM untuk melihat, mengambil tindakan sewajarnya, dan menganalisis satu persatu pandangan.

“Insya-Allah kita (KPM) akan keluarkan satu jadual baharu berkaitan SPM 2021 dalam masa yang terdekat,” katanya dalam video berdurasi lebih satu minit itu.

Video yang turut dikongsi di akaun Facebook KPM itu mendapat komen positif daripada netizen yang menzahirkan terima kasih dan rasa syukur.

Radzi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa dan calon SPM 2021 yang telah memberi pandangan mereka berkaitan jadual peperiksaan SPM 2021 yang diumumkan sebelum ini.

KPM menerusi satu kenyataan pada 17 Nov lepas memaklumkan bahawa jadual waktu peperiksaan bagi SPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) 2021 telah disediakan, dan boleh dimuat turun dari laman web rasmi Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my bermula tarikh tersebut.

Pengumuman jadual itu menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan pelajar. Media turut melaporkan terdapat pihak yang meminta jadual SPM 2021 yang akan berlangsung pada 3 hingga 20 Mac 2022 dikaji semula, terutama kertas peperiksaan yang diadakan pada hari Jumaat dan Ahad.

Ini memandangkan Jumaat merupakan hari umat Islam melaksanakan solat Jumaat, manakala Ahad ialah hari penganut Kristian ke gereja.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN minta KPM tidak ‘pukul rata’ buka sekolah, cadang beri kuasa autonomi

SHAH ALAM, 20 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta tidak membuat keputusan ‘pukul rata’ terhadap pembukaan sekolah memandangkan masih terdapat kawasan dalam kategori zon merah.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata KPM juga disaran memberi kuasa autonomi kepada pengurusan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta lembaga sekolah sekiranya tidak membuka sekolah ekoran peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Kami sedar kelemahan dan kekangan sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah. Susulan itu pembukaan sekolah harus mengambil kira status seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Ramai ibu bapa serta guru mempersoalkan alasan sekolah dibuka ketika pandemik belum surut dan menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu terdiri dari Ahli Parlimen Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Setiawanga, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching serta Ahli Parlimen Tampin, Dr Hasan Baharom.

Semalam Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan secara berperingkat mulai 1 Mac ini dengan kumpulan pertama membabitkan pelajar prasekolah, tahun satu dan tahun dua.

Diikuti 8 Mac untuk pelajar tahun tiga hingga enam manakala sekolah menengah bermula pada 4 dan 5 April.

Jadual berkenaan terpakai kepada sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, swasta dan institusi berdaftar dengan kementerian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Petaling zon merah, semua 298 sekolah ditutup mulai esok

SHAH ALAM, 11 OKT: Sebanyak 298 sekolah seluruh Petaling ditutup mulai esok hingga 25 Oktober ini selepas daerah itu menjadi zon merah berikutan peningkatan kes Covid-19.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan berkata bilangan itu merangkumi sekolah rendah, menengah serta swasta yang berdaftar dengan pihaknya.

“Sekolah berasrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup. Pelajar yang mahu kekal di asrama atau menunggu ibu bapa membawa pulang berada bawah pantauan warden selain makanan disediakan.

“Sepanjang tempoh ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru bersama pelajar melaksanakan pengajaran serta pembelajaran di rumah,” kata kementerian itu.

Menurutnya lagi, sekolah yang terbabit peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini perlu menjadualkan semula tarikh baharu yang sesuai.

“KPM sentiasa memantau situasi seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada 6 Oktober lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan hanya sekolah di kawasan zon merah akan ditutup.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KPM gesa tangguh acara perhimpunan ramai

SHAH ALAM, 13 MAC: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggesa semua perhimpunan termasuk acara sukan dan aktiviti kokurikulum pada bulan ini ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19.

KPM berkata semua warga kementerian juga diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengawalan penularan jangkitan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Warga kementerian juga dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke luar negara terutama wilayah atau bandar sedang mengalami wabak Covid-19,” katanya.

Mengambil cakna penularan wabak itu, KPM menasihatkan orang ramai supaya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kebangsaan sekiranya mengalami gejala.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM pantau jerebu, pelajar ikuti pembelajaran melalui dalam talian

PUTRAJAYA, 20 SEPT: Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan diteruskan secara dalam talian sekiranya penutupan sekolah berlarutan ekoran masalah jerebu, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan memantau rapi situasi jerebu di negara ini terutamanya menjelang ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dijadualkan bermula 30 September ini.

“Sekiranya ini (jerebu) berlanjutan, kita akan ambil tindakan yang sama seperti insiden yang berlaku di Pasir Gudang (Johor) iaitu meminta guru terlibat untuk meneruskan sesi PdP melalui dalam talian,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hadiah bagi Pertandingan Menulis Esei ‘DKLS Linguistic Ambassador Award’, di sini hari ini.

Malah, katanya guru-guru dinasihatkan untuk memberi tugasan kepada pelajar yang sedang bercuti sekarang melalui Google Classroom kerana sekolah ditutup, sebagai opsyen pelantar pembelajaran alternatif.

Sekolah-sekolah di beberapa negeri ditutup beberapa hari setelah bacaan Indeks Pencemaran Udara melebih 200.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Mengenai ‘DKLS Linguistic Ambassador Award’, Teo berkata pertandingan yang memasuki tahun keempat itu telah menarik penyertaan seramai 20,582 orang pada tahun ini berbanding 8,529 orang pada 2016.

Pertandingan itu bertujuan meningkatkan kecemerlangan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tingkatan 4 dan 5 serta mengukuhkan penguasaan dan kemahiran penulisan kreatif peserta dalam bahasa itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jerebu: Semua IPT dinasihat tangguh sesi kuliah

SHAH ALAM, 19 SEPT: Semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh negeri yang mengalami jerebu pada paras tidak sihat dinasihatkan supaya menangguhkan sesi kuliah.

Jabatan Pendidikan Tinggi dalam kenyataan memaklumkan, ia berikutan keadaan jerebu yang berisiko memudaratkan kesihatan pelajar, pensyarah dan warga IPT.

“Jabatan Pendidikan Tinggi mengambil cakna berkenaan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin meningkat ke paras sangat tidak sihat dengan bacaan melebihi 200 di beberapa negeri.

“Justeru, adalah dinasihatkan supaya semua Institusi Pendidikan Tinggi di negeri yang terbabit menangguhkan sesi kuliah,” kata kenyataan itu.

Berdasarkan rekod bacaan IPU di kebanyakan tempat di Semenanjung berkurangan pagi ini termasuk di Johan Setia, Klang yang berada pada paras tidak sihat (169) setakat 11 pagi ini berbanding sangat tidak sihat (231), tengah malam tadi.

Bagaimanapun, bacaan IPU di Kuching dan Samarahan di Sarawak masing-masing meningkat daripada 243 kepada 272 dan 213 kepada 226 bagi tempoh yang sama iaitu kekal dalam kategori sangat tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Categories
NASIONAL

Kaji punca kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris murid

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak berkepentingan sektor pendidikan perlu​​​​​​ membuat kajian komprehensif untuk mengetahui punca sebenar kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan murid berbanding menuding jari terhadap tahap penguasaan BI oleh para guru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, mereka harus mengenal pasti punca yang mempengaruhi tahap penguasaan murid yang lemah dalam subjek itu berbanding memberi arahan supaya guru opsyen BI menduduki Malaysian University English Test (MUET).

“Pada tanggapan kami, selain kekurangan guru opsyen BI mungkin ada faktor lain seperti persekitaran, motivasi murid-murid seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mewajibkan untuk lulus subjek BI dan sebagainya, maka kita kena duduk semeja untuk tahu apakah faktor-faktornya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pendidikan Bahasa Inggeris NUTP, di sini hari ini.

Pada 14 April lepas, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dalam satu pekeliling mengarahkan supaya guru yang mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan MUET, bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris yang selari dengan keperluan termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menurut arahan pekeliling itu, semua guru opsyen bahasa Inggeris perlu berada pada tahap penguasaan minimum C1 dalam kelayakan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

Arahan pekeliling itu memaklumkan seramai 20,634 guru belum mengambil sebarang ujian profisiensi dan diminta untuk menjalani peperiksaan MUET.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata, berdasarkan Pelan Pembaharuan Pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia: The Roadmap 2015-2025 tidak menyatakan mengenai keperluan menduduki peperiksaan MUET selain CEFR.

Aminuddin mengulangi pendirian pihaknya yang tidak setuju dengan arahan tersebut dan menyifatkan MUET hanya diambil oleh pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat universiti manakala para guru telah mengikuti pelbagai latihan intensif termasuk ‘Cambridge Placement Test’ dan ‘APTIS-Assess English Skills’ yang dikelolakan British Council.

Beliau turut mahu KPM menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai keperluan guru yang perlu menduduki peperiksaan MUET.

“Kami ingin mendapatkan pengesahan siapakah yang wajib menduduki MUET? Adakah guru opsyen BI atau bukan opsyen BI kerana beberapa kenyataan yang bercanggah telah dikeluarkan oleh pihak KPM,” katanya.

Tambahnya, NUTP juga mahu tahu nasib guru yang bakal menduduki ujian MUET pada November ini sekiranya tidak mencapai tahap yang ditetapkan selain akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bagi membincangkan isu ini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Setahun kerajaan PAKATAN: sembilan teras pencapaian KPM

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 MEI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggariskan sembilan teras pencapaiannya di bawah pentadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menerusi muat naik di halaman rasmi facebook Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pencapaian itu digariskan selepas setahun PAKATAN berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei tahun lalu.

Teras pertama adalah terangkum empat manfaat untuk pelajar di dalam kelompok 40 peratus berpendapatan rendah (B40).

Manfaat terbabit adalalah 60 peratus kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh di mana pada tahun ini seramai 4,888 pelajar ditawarkan dan seramai 2,630 menerima tawaran itu.

Manfaat kedua, memberi keutamaan untuk mengikuti program matrikulasi mulai 2019-2020 di mana KPM menetapkan sebanyak 60 peratus daripada jumlah enrolmen dikhaskan kepada B40.

KPM turut menyediakan laluan khas ke universiti awam dengan menyediakan 23,895 tempat disediakan bagi sesi pengajian 2018/2019.

Manakala manfaat keempat dalam teras pertama pula, kerajaan menawarkan biasiswa dan bantuan kewangan dengan peruntukan sebanyak RM68.1 juta di mana telah memberi manfaat keapda seramai 17,100 pelajar.

Bagi teras kedua, KPM menggariskan aspek beban tugas dan kebajikan serta imej guru menjadi keutamaannya.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata ianya merupakan salah satu tekad kerajaan untuk mereformasikan pendidikan termasuk menjadikan kebajikan guru sebagai fokus utama.

“Bagi menangani keresahan guru dalam hal berkaitan beban tugas ini, bermula pada tahun 2019, KPM telah merangka lima inisiatif dan sembilan intervensi khusus.

“Semua inisiatif dan intervensi ini dilaksanakan untuk mengatasi pertindihan tugas supaya guru-guru dapat memberikan fokus secara lebih besar kepada aspek pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

“Guru ialah obor hemah, tunjang terpenting dalam mendukung sistem pendidikan negara. Kegembiraan guru dalam melaksanakan tugas akan memastikan manfaat besar kepada murid,” katanya.

Teras ketiga adalah menjadikan murid sebagai tonggak utama dalam sistem pendidikan dengan memberi tumpuan kepada enam perkara.

Antara perkara dalam teras kedua ini termasuk langkah memansuhkan peperiksaan Tahap 1 yang melibatkan lebih 450,000 murid dan menyelesaikan isu pendidikan anak tanpa dokumen.

Sehingga kini seramai 2,6355 kanak-kanak tanpa dokumen ini berjaya masuk ke sekolah sejak teras ini dilaksanakan.

Teras lain yang digariskan adalah, komitmen tangani isu sekolah daif, perhatian penuh kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), kewibawaan Institusi Pendidikan Tinggi, peningkatan kerjasama dalam pendidikan tinggi, pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera.

Categories
NASIONAL

Isu matrikulasi: Serah pada KPM cari mekanisma terbaik

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU KELANG, 30 APR: Mekanisma penyelesaian terhadap isu matrikulasi perlu diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, secara prinsipnya semua anak-anak yang cemerlang harus mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Secara prinsipnya bagi saya mana-mana anak yang mendapat keputusan cemerlang, harus mendapat tempat dalam universiti. Mereka adalah aset negara yang perlu dijaga dan diberi akses pendidikan yang berkualiti.

“Bagaimanapun, mekanisma dan kaedahnya kita serah pada kementerian untuk melihatnya. Kini kementerian sedang berkerja keras ke arah usaha itu,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditanya mengenai isu kuota matrikulasi untuk bukan Bumiputera di Pangsapuri Taman Permai, di sini, semalam.

Minggu lalu, kerajaan bersetuju meningkatkan tempat bagi kemasukan ke matrikulasi kepada 40,000 tempat dan mengekalkan kuota kemasukan iaitu 90 peratus Bumiputera serta 10 peratus bukan Bumiputera.

Dalam perkembangan sama, Biro Hal Ehwal Universiti Pemuda DAP pula menyifatkan peningkatan pengambilan program matrikulasi terbabit akan mendatangkan lebih banyak masalah kerana bakal menghalang lepasan STPM memasuki universiti awam.

Categories
NASIONAL

Pendaftaran lewat calon persendirian SPM 2019 dibuka

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 11 APR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Lembaga Peperiksaan (LP) memaklumkan pihaknya membuka semula pendaftaran calon persendirian bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.

KPM dalam kenyataannya memaklumkan, pendaftaran itu dibuka bermula 15 sehingga 30 April ini.

Katanya, pendaftaran bagi SPM 2019 ditutup pada 31 Mac lalu, namun LP menerima banyak pemohonan supaya pendaftaran SPM 2019 dibuka semula.

“Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari laman sesawang LP di http://sppat.moe.gov.my.

“Urusan pengesahan pendaftaran dan pembayaran hendaklah dibuat melalui Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon menduduki peperiksaan dalam tempoh tujuh hari selepas mengisi borang pendaftaran,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, pihaknya berkata, selain yuran peperiksaan, calon juga perlu membuat bayaran tambahan iaitu Bayaran Calon Lewat Daftar sebanyak RM30.

 

 

 

Categories
SELANGOR

Kementerian Pendidikan digesa semak semula indeks IPU

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 SEP: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa menyemak semula had Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang membolehkan sesebuah sekolah ditutup.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata kadar semasa IPU 200 yang ditetapkan KPM tidak lagi relevan.

Katanya, kadar berkenaan perlu diturunkan sekurang-kurangnya sehingga IPU 160 kerana keadaan itu sudah dianggap sebagai tidak sihat.

MB Azmin lawat tapak banjir di depan Stadium (9)“Kadar IPU seperti 177 sudah dilabel sebagai tidak sihat dan boleh menjejaskan kesihatan.

“Jadi, saya syorkan agar kadar itu diturunkan supaya sekolah ditutup dan anak-anak berada di dalam rumah dan bangunan tanpa perlu keluar ke mana-mana,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Peletakan Batu Asas Hospital Wanita dan Kanak-kanak DEMC (Darul Ehsan Medical Centre) di sini, pagi tadi.

Setakat jam 11 pagi tadi, laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan lima kawasan di Selangor mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

JEREBUBanting mencatatkan IPU tertinggi dengan 175, diikuti Pelabuhan Klang (165), Shah Alam (147), Kuala Selangor (146) dan Petaling Jaya (143).

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri akan mengedarkan topeng muka secara percuma di beberapa kawasan.

“Semalam saya sudah mengeluarkan arahan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membeli topeng muka dan kita akan mengedarkan secepat mungkin di kawasan tumpuan,” katanya.

-NR-