Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Enam wanita teraju desa, pikul tugas setara pencapaian lelaki

SHAH ALAM, 12 JUN: Seramai 16 wanita berperanan sebagai ketua kampung di Selangor, jawatan yang lazimnya didominasi golongan lelaki.

Pelantikan mereka selaras ke arah menjayakan dasar Kerajaan Negeri yang menetapkan 30 peratus pentadbiran semua peringkat kepada wanita.

Sekalipun berdepan pelbagai cabaran, keupayaan mereka dalam memikul tanggungjawab setara dengan pencapaian golongan lelaki.

Wartawan Nazli Ibrahim meringkaskan sebahagian pencapaian dan perancangan enam ketua kampung wanita. Mereka antara 79 individu yang menerima watikah pelantikan daripada EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah sebagai ketua kampung di Sabak Bernam pada 7 Mei.

Nur Farehan Nieza Othman

  • Berusia 28 tahun, beliau ketua kampung paling muda di Selangor
  • Ibu kepada dua anak memulakan tugas pada 1 Oktober 2019. Beliau juga pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit 16 Binjai Patah di Sabak Bernam
  • Menyifatkan peringkat awal pelantikan fasa paling mencabar atas faktor usia tetapi menggunakannya untuk menarik minat generasi muda menyertai program
  • Menyelesaikan masalah penduduk antaranya menukar bumbung rumah uzur, bantuan wakaf untuk surau dan meningkatkan kesedaran untuk mendaftar inisiatif Kerajaan Selangor
  • Menambah baik prasarana antaranya membina pondok bas baharu dan menyelesaikan masalah lampu jalan tidak berfungsi

Mas Lina Husein

  • Berusia 40 tahun. Ibu kepada lima anak dilantik sebagai Ketua Kampung Parit 5/6 Gambut pada 1 Mac 2021
  • Pernah memegang beberapa jawatan antaranya Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Wanita Berdaya, pengerusi Pertubuhan Semarak Progresif, sebuah badan bukan kerajaan dan Ketua Kebajikan Angkatan Wanita Amanah Sungai Besar
  • Menyelesaikan isu bantuan zakat untuk ibu tunggal, mengatasi isu haiwan liar perosak tanaman, menyediakan kelengkapan menguruskan jenazah dan menggantikan peralatan surau
  • Berusaha mendapatkan dana bagi membeli mesin penjana elektrik untuk kegunaan kecemasan lain, membaiki lampu dan pagar jalan
  • Menyasar untuk menyelesaikan isu reban ayam komersial yang berlarutan sejak 2008 hingga mengakibatkan bau busuk

Azizah Samin

  • Berusia 57 tahun. Ibu lima anak dilantik sebagai Ketua Kampung Baharu pada 1 Mac 2020
  • Menggalas tanggungjawab sebagai AJK MPKK Kampung Batu 40 pada 2008 hingga 2010 dan 2018 hingga 2020
  • Pernah menyandang jawatan penyelia Pusat Wanita Berdaya bagi Dewan Undangan Negeri Sabak selama empat tahun sejak ditubuh pada 2014
  • Diberi kepercayaan sebagai AJK Koperasi Muslimah Sabak Bernam, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Koperasi selama lapan tahun dan AJK Masjid Jamek Sultan Salehuddin pada 2008 kira-kira tiga tahun. Turut berperanan sebagai AJK dalam badan bukan kerajaan, Wanita Prihatin Sabak

Mariani Hassim

  • Berusia 42 tahun. Ibu kepada empat anak dilantik sebagai Ketua Kampung Parit 8 Sungai Leman pada 1 Oktober 2020. Beliau menetap di kampung itu selama 25 tahun
  • Pernah menjadi setiausaha Pusat Wanita Berdaya DUN Sekinchan pada 2019 sebelum meletak jawatan pada 2020 apabila dilantik sebagai ketua kampung

Norsuhana Jaafar

  • Berusia 44 tahun. Ibu kepada enam cahaya mata dilantik Ketua Kampung Parit 11/12 Gambut pada 1 Mac 2021
  • Anak jati kampung itu pernah dilantik sebagai setiausaha Penggerak Belia Tempatan pada 2012 sebelum dilantik sebagai pengerusi tahun berikutnya
  • Tekad menjadikan Kampung Parit 11/12 Gambut setanding kampung lain, antaranya memiliki tempat riadah untuk golongan belia menghabiskan masa lapang dengan bermanfaat
  • Mahu menghidupkan semula balai raya yang sebelumnya ‘mati’ melalui program menjana ekonomi penduduk dan mengerat silaturahim
  • Mahu menggerakkan kegiatan riadah untuk masyarakat termasuk golongan ibu selepas PKP berakhir

Salasiah Sahat

  • Berusia 45 tahun. Ibu kepada enam anak dilantik Kampung Parit 16 Binjai Jaya pada Oktober 2019. Beliau menetap di situ sejak berusia lima tahun
  • Aktif dalam pelbagai kegiatan antaranya sebagai AJK Penerangan Parti Keadilan Rakyat Cabang Sungai Besar, AJK surau dan AJK Persatuan Desa Kasih Merbau Berdarah Parit 16 Binjai Jaya sejak 2013 hingga sekarang
  • Berusaha mengatasi masalah lambakan bertan-tan buah pisang yang tidak dapat dipasar membabitkan hampir 20 penduduk dengan bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Ketua kampung wanita tunjuk prestasi baik, tolak cabaran emosi

SHAH ALAM, 28 JUN: Lima ketua kampung wanita di negeri ini berjaya menunjukkan prestasi cemerlang di sebalik cabaran kawalan emosi dan penafian hak.

EXCO pembangunan luar bandar berkata kejayaan diukur melalui penilaian bintang dan kerjasama dengan ahli jawatankuasa di kawasan masing-masing.

“Cabaran wanita sebagai pemimpin di kampung berbeza dengan bidang korporat, justeru elemen ini perlu diberi perhatian kerana ia menentukan kelancaran urus tadbir.

“Setakat ini, semua ketua kampung baik lelaki mahupun wanita menjalankan tugas dengan baik,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Seramai 371 ketua kampung dilantik di seluruh negeri bagi sesi 2018/2020 yang berkhidmat mulai 1 Oktober 2018 hingga 31 Disember 2020.

Selangor muncul negeri pertama melantik ketua kampung wanita selaras hasrat memberdaya golongan itu sebagai pembuat keputusan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lima wanita kemudi kampung, Selangor tepis isu gender

SHAH ALAM, 28 JUN: Pelantikan lebih ramai ketua kampung wanita dilaksanakan di negeri ini bagi menyokong inisiatif keseimbangan gender.

EXCO pembangunan luar bandar berkata lima daripada 371 kampung tradisi diketuai golongan itu sejak dua tahun lalu dan pentadbiran berjalan lancar.

“Pendekatan ini diterima ramai kerana kita lebih mengutamakan kecekapan berbanding gender selari dasar CAT iaitu cekap, akauntabiliti dan telus,” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini hari ini.

Jelasnya pelantikan berdasarkan Garis Panduan Ketua Kampung Tradisi Selangor 2019 iaitu warganegara, permastautin kampung, berusia antara 30 hingga 65 tahun dan bebas rekod jenayah serta tidak muflis.

“Tidak timbul isu gender dalam syarat menjadi ketua kampung. Lelaki atau wanita boleh memohon asalkan memenuhi ketetapan dan cekap mentadbir,” kata Rodziah lagi.

Selangor muncul negeri pertama melaksanakan pengarusperdanaan gender untuk mempromosi hak dan menangani diskriminasi terhadap wanita.

Usaha tersebut digerakkan Rodziah, EXCO Pemberdayaan Wanita Dr Siti Mariah Mahmud, EXCO Perumahan Haniza Talha dan EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Lebih ramai wanita akan dilantik ketua kampung

SHAH ALAM, 8 JUN: Kerajaan Negeri akan melantik lebih ramai wanita sebagai ketua kampung pada pemilihan baharu nanti, kata EXCO pembangunan luar bandar.

Rodziah Ismail berkata setakat ini terdapat lima ketua kampung wanita daripada 371 kampung tradisi di Selangor dan jumlah penglibatan golongan tersebut antara tertinggi di negara ini.

“Selain itu ramai wanita turut diberi kepercayaan menyandang pelbagai jawatan di peringkat kampung antaranya sebagai setiausaha atau AJK biro Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Kita mahu meningkatkan penglibatan wanita dan sasaran 30 peratus wanita memegang jawatan ketua kampung akan dapat dicapai sedikit masa lagi,” katanya pada sesi temu bual bersama Media Selangor.

Seramai 371 ketua kampung didaftarkan seluruh Selangor buat masa ini bagi sesi 2018/2020 dan mula berkhidmat pada 1 Oktober 2018 sehingga 31 Disember 2020

Dalam perkembangan lain Rodziah berkata seramai 496 ketua kampung termasuk komuniti India menerima Skim Insurans Berkelompok bermula bulan ini.

“Skim meliputi perlindungan takaful sehingga RM15,000 serta insurans hayat membabitkan bayaran khairat kematian.

Pada November 2019, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelaksanaan skim berkenaan bagi menghargai komitmen dan jasa ketua kampung.