Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian: Semakin ramai lelaki kemurungan, pandemik Covid-19 jejas emosi

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kira-kira 63 peratus golongan lelaki atau ketua keluarga mengalami kemurungan, menurut kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Hasil kajian dilakukan pada Mac lalu itu juga mendedahkan 20.4 peratus lelaki sukar untuk mengawal kemarahan, lapor Berita Harian.

Situasi itu menunjukkan pandemik Covid-19 mempengaruhi ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang untuk berubah daripada kebiasaan kepada luar biasa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata tidak dinafikan lelaki yang menjadi ketua keluarga turut berdepan kesukaran dalam tempoh ini.

Katanya, kehidupan normal dahulu, berubah dalam sekelip mata, ada hilang pekerjaan, perniagaan ditutup dan paling terkesan kematian insan tersayang.

“Lelaki ketua keluarga, tetapi dalam saat yang kritikal ini, peranan isteri dan anak perlu saling bekerjasama, beri sokongan untuk elak tekanan.

“Wujudkan suasana sejahtera dan laksanakan perkara jarang dapat dilakukan antaranya solat berjemaah, makan bersama-sama dan pastikan masa dapat diberikan kepada anak daripada terabai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Eksekutif sempena sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2021, baru-baru ini.

Siti Zailah berkata pengurusan kehidupan itu penting antaranya dengan cara penyediaan jadual supaya setiap ahli keluarga tahu apa yang perlu mereka laksanakan.

“Itu cara diplomasi terbaik dalam keadaan tekanan yang wujud dan pada masa sama melambangkan isteri yang bijak kerana mampu melahirkan komunikasi sekali gus menjadi kekuatan kepada suami,” katanya.