Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian: Semakin ramai lelaki kemurungan, pandemik Covid-19 jejas emosi

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kira-kira 63 peratus golongan lelaki atau ketua keluarga mengalami kemurungan, menurut kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Hasil kajian dilakukan pada Mac lalu itu juga mendedahkan 20.4 peratus lelaki sukar untuk mengawal kemarahan, lapor Berita Harian.

Situasi itu menunjukkan pandemik Covid-19 mempengaruhi ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang untuk berubah daripada kebiasaan kepada luar biasa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata tidak dinafikan lelaki yang menjadi ketua keluarga turut berdepan kesukaran dalam tempoh ini.

Katanya, kehidupan normal dahulu, berubah dalam sekelip mata, ada hilang pekerjaan, perniagaan ditutup dan paling terkesan kematian insan tersayang.

“Lelaki ketua keluarga, tetapi dalam saat yang kritikal ini, peranan isteri dan anak perlu saling bekerjasama, beri sokongan untuk elak tekanan.

“Wujudkan suasana sejahtera dan laksanakan perkara jarang dapat dilakukan antaranya solat berjemaah, makan bersama-sama dan pastikan masa dapat diberikan kepada anak daripada terabai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Eksekutif sempena sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2021, baru-baru ini.

Siti Zailah berkata pengurusan kehidupan itu penting antaranya dengan cara penyediaan jadual supaya setiap ahli keluarga tahu apa yang perlu mereka laksanakan.

“Itu cara diplomasi terbaik dalam keadaan tekanan yang wujud dan pada masa sama melambangkan isteri yang bijak kerana mampu melahirkan komunikasi sekali gus menjadi kekuatan kepada suami,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis terima laporan lelaki bunuh tiga ekor kucing dalam mesin basuh

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Tidak berperikemanusian dan kejam. Itulah perilaku seorang lelaki yang membunuh tiga ekor kucing dengan cara melemaskannya di dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 9.30 pagi semalam melalui seorang wanita berusia 39 tahun.

“Wanita itu memaklumkan kejadian berkenaan berlaku semasa dia datang ke dobi untuk membasuh baju namun menjumpai tiga ekor kucing yang sudah mati di dalam tiga mesin basuh berasingan.

“Wanita berkenaan kemudiannya menghubungi serta melaporkan kejadian itu kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Arifai berkata siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kegiatan itu dilakukan seorang lelaki yang bertindak memasukkan tiga ekor kucing berkenaan di dalam mesin basuh pada 5.30 pagi.

Beliau berkata siasatan lanjut dirujuk kepada Pejabat Veterinar Shah Alam untuk tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

-BERNAMA