Categories
SELANGOR

Sekretariat pantau perkembangan anak syarikat MBI

Oleh : AFEEQA AFEERA

PORT DICKSON, 15 NOV : Perkembangan anak syarikat dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri pada 2016 akan dipantau badan sekretariat khas Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman, berkata badan itu dengan kerjasama agensi kerajaan akan memastikan laporan prestasi disemak setiap dua hingga tiga bulan.

Raja Shahreen“Kita akan membincangkan setiap isu atau idea yang dibentangkan semasa belanjawan untuk melihat apa perkembangan pelaksanaan dan masalah yang mungkin timbul.

“Ini bermakna jika berlaku kesulitan, kita boleh cari kaedah supaya usaha itu dipercepatkan dan memastikan ia sentiasa bergerak,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai program Rancangan Baikpulih Perniagaan kumpulan MBI di Hotel Avilion, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Raja Shahreen berkata, laporan prestasi itu kemudiannya akan dibentangkan kepada Dato’ Menteri Besar untuk melihat anak syarikat atau agensi yang tidak menepati sasaran.

Katanya, ia bagi memastikan anak syarikat menyumbang kepada Kerajaan Negeri dengan mematuhi sasaran dividen ditetapkan.

“Syarikat yang lesu akan melalui program transformasi supaya segala yang dirancangkan untuk tahun hadapan dapat dipenuhi sebaik mungkin.

“Kesan daripada belanjawan itu perlu dilihat mulai tahun hadapan dan terus berkembang sehingga tahun akan datang,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

MBI-anak syarikat bincang hala tuju, tolak budaya ‘sendiri-sendiri’

Oleh : AFEEQA AFEERA

PORT DICKSON, 15 NOV : Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) mengambil inisiatif mengadakan pertemuan bersama wakil anak syarikatnya untuk menentukan hala tuju.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman, berkata meskipun MBI ditubuhkan sejak sekian lama, namun pemerbadanan itu tidak pernah berkongsi pelan atau idea bersama anak syarikat.

Beliau berkata, melalui perbincangan itu semua anak syarikat dapat memahami peranan dan tugas masing-masing dalam setiap industri.

Raja Shahreen“Kita tidak pernah mengadakan pertemuan atau penyatuan bersama, tidak berbincang dan duduk semeja untuk berkongsi rancangan dan idea secara berkumpulan.

“Berbanding dahulu yang lebih ‘sendiri-sendiri’, kita dapat berbincang keupayaan serta kekuatan anak syarikat yang ada di samping perancangan masa hadapan mereka, “, katanya kepada Selangor Kini.

Raja Shahreen bersama wakil anak syarikat lain menyertai program Rancangan Baikpulih Perniagaan kumpulan MBI di Hotel Avilion, di sini semalam.

Mengulas Belanjawan Selangor 2016 yang diluluskan 13 November lalu, beliau berkata pihaknya yakin semua anak syarikat mampu menyokong Kerajaan Negeri mencapai hasrat dan sasaran ditetapkan.

Katanya, anak syarikat dapat mengenal pasti peluang dan sumber yang diperlukan untuk menjayakan rancangan Belanjawan 2016.

“Kita sedar dalam belanjawan itu kita perlu mencari sumber kewangan yang pelbagai ekoran kebergantungan kepada hartanah terlalu tinggi iaitu lebih kurang 78 peratus.

“Sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, anak syarikat dapat menyumbang dividen serta terus menyokong rancangan atau idea Kerajaan Negeri,” katanya.

-nR-