Categories
SELANGOR

MBPJ, JMB Desa Mentari perlu sebulu tangani sampah

Oleh: SYASYA SUFIAN

PETALING, 27 FEB: Tindakan dua hala antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) perlu dilakukan bagi mengatasi masalah sampah di Pangsapuri Desa Mentari.

Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah, berkata ia susulan pengurusan sampah di kawasan itu tidak begitu efisyen.

IMG_5244“Apa yang berlaku sekarang isu pengurusan tidak kemas daripada segi JMB dan MBPJ, sementara antara masalah dikenal pasti adalah terdapat longgokan sampah haram dan penggunakan kebuk sampah tidak sesuai.

“Selain itu, ia juga termasuk kereta buruk tidak bertuan yang bertahun lamanya ditinggalkan,” katanya kepada SelangorKini selepas mengadakan lawatan tapak sampah longgok dan kereta buruk di Desa Mentari, semalam.

Lawatan anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dan Pejabat Dun Seri Setia itu turut disertai Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pada masa sama, Fahmi turut menyarankan MBPJ supaya menambah tong roro di kawasan itu selain meningkatkan kekerapan kutipan sampah lebih dua kali seminggu.

Katanya, Kerajaan Negeri turut akan menyemak dan membuat penstrukturan semula daripada segi kutipan dan pembersihan sampah di seluruh Selangor bagi mengatasi masalah berkenaan.

IMG_5362“Kita lihat isu itu berlaku disebabkan tong sampah besar cepat penuh dalam tempoh sehari, tetapi dimaklumkan kutipan hanya dilaksanakan dua kali seminggu.

“Mungkin pengurusan kutipan dua kali seminggu itu sejak bertahun lalu, tetapi penduduk kini semakin bertambah dan pembanggunan semakin pesat jadi sistem baru lebih efisyen perlu dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBPJ, Halimey Abu Bakar, berkata pihaknya akan mempertimbangkan penambahan tong roro dan kekerapan kutipan sampah di kawasan itu.

Namun, katanya penduduk sendiri perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan kawasan perumahan mereka.

“Sikap tidak bertanggungjawab penduduk itu sendiri perlu diubah. Kalau ada tambahan tong pun tetapi tidak dibuang dan hanya campak dari tingkat atas juga tidak berguna,” katanya.

-AA-