Categories
SELANGOR

MBPJ, JMB Desa Mentari perlu sebulu tangani sampah

Oleh: SYASYA SUFIAN

PETALING, 27 FEB: Tindakan dua hala antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) perlu dilakukan bagi mengatasi masalah sampah di Pangsapuri Desa Mentari.

Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah, berkata ia susulan pengurusan sampah di kawasan itu tidak begitu efisyen.

IMG_5244“Apa yang berlaku sekarang isu pengurusan tidak kemas daripada segi JMB dan MBPJ, sementara antara masalah dikenal pasti adalah terdapat longgokan sampah haram dan penggunakan kebuk sampah tidak sesuai.

“Selain itu, ia juga termasuk kereta buruk tidak bertuan yang bertahun lamanya ditinggalkan,” katanya kepada SelangorKini selepas mengadakan lawatan tapak sampah longgok dan kereta buruk di Desa Mentari, semalam.

Lawatan anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dan Pejabat Dun Seri Setia itu turut disertai Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pada masa sama, Fahmi turut menyarankan MBPJ supaya menambah tong roro di kawasan itu selain meningkatkan kekerapan kutipan sampah lebih dua kali seminggu.

Katanya, Kerajaan Negeri turut akan menyemak dan membuat penstrukturan semula daripada segi kutipan dan pembersihan sampah di seluruh Selangor bagi mengatasi masalah berkenaan.

IMG_5362“Kita lihat isu itu berlaku disebabkan tong sampah besar cepat penuh dalam tempoh sehari, tetapi dimaklumkan kutipan hanya dilaksanakan dua kali seminggu.

“Mungkin pengurusan kutipan dua kali seminggu itu sejak bertahun lalu, tetapi penduduk kini semakin bertambah dan pembanggunan semakin pesat jadi sistem baru lebih efisyen perlu dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBPJ, Halimey Abu Bakar, berkata pihaknya akan mempertimbangkan penambahan tong roro dan kekerapan kutipan sampah di kawasan itu.

Namun, katanya penduduk sendiri perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan kawasan perumahan mereka.

“Sikap tidak bertanggungjawab penduduk itu sendiri perlu diubah. Kalau ada tambahan tong pun tetapi tidak dibuang dan hanya campak dari tingkat atas juga tidak berguna,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Agensi kerajaan perlu bekerjasama jadikan Selangor negeri idaman

Oleh : Siraj Mohd Zaini

PETALING JAYA 9 DIS :Semua agensi kerajaan perlu memainkan peranan yang diberikan dalam usaha menjadikan Selangor sebuah negeri idaman rakyat.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata masyarakat di Selangor mengharapkan semua agensi kerajaan bekerjasama antara satu sama lain dalam menangani masalah sosial di negeri itu.

Halimah Ali Majlis Pengistiharan Keputusan SM  Agama 2012 01Katanya, kerajaan negeri berhasrat menjadikan Selangor negeri maju, sejahtera dan berkebajikan pada tahun 2025 dan ia tidak akan tercapai tanpa kerjasama menyeluruh daripada semua pihak.

“Kerajaan negeri melalui jawatankuasa induk menangani gejala sosial Selangor atau dikenali sebagai GEMS, ingin memastikan rakyat di negeri ini mempunyai kualiti hidup terbaik dan bebas daripada masalah sosial,” katanya.

Dr Halimah berkata demikian ketika merasmikan Program Masyarakat Bersama Jabatan dan Agensi Kerajaan di Padang Awam Blok 4, 5, 6 Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya, di sini, semalam.

DSC_0260aTurut hadir, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, wakil agensi kerajaan dan lebih 400 penduduk setempat.

Program berkenaan menyediakan tapak pameran yang disertai kira-kira 20 agensi kerajaan antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Lembaga Zakat Selangor(LZS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut menyertai pameran adalah kaunter skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), Skim Kesihatan Wanita (MAMMOGRAM) dan Skim Wakaf Selangor.

DSC_0218aSehubungan itu, Dr Halimah berkata, kerjasama antara agensi kerajaan tidak memberi makna jika penduduk serta masyarakat tidak menghargai pelbagai bantuan yang diberikan.

“Jabatan dan agensi kerajaan boleh bantu, tetapi bukan semua. Jika ingin menjadikan Desa Mentari idaman penduduka,semua harus ke depan, selain berkeinginan dan bertekad menjadikan tempat kediaman ini sebagai idaman.

“Segala bantuan dan peruntukan seperti membaiki lif perlu dijaga bersama dan penduduk perlu berusaha menangani masalah sosial di kalangan masyarakat,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Penduduk Desa Mentari Lega Kerajaan Negeri Baiki Lif Rosak

desa mentari petaling jaya

SHAH ALAM, 26 JULAI: Penduduk Desa Mentari mampu menarik nafas lega apabila Kerajaan Selangor, mengambil keputusan untuk membaiki sekurang-kurangnya satu lif di setiap bangunan 11 tingkat pangsapuri itu.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad bekata kerosakan lif di pangsapuri terbabit menyebabkan tiada jaminan keselamatan dan kesukaran kepada penduduk di situ terutama ketika umat Islam sedang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan.

“Blok 6 langsung tidak mempunyai lif yang beroperasi sejak sebulan yang lepas.

?Lif di blok 4, 5 dan 8 pula disita pada 19 Julai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) selepas mereka memantau keadaan lif sejak beberapa bulan lalu dan mendapatinya tidak selamat.

“Maka ketiga-tiga blok tersebut pula langsung tidak mempunyai lif dan ini mendatangkan kesusahan kepada penduduk, apatah lagi di bulan puasa memandangkan kesemua blok-blok ini merupakan blok-blok yang tinggi sehingga mencapai 11 tingkat.

“Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada YB Iskandar Abdul Samad Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor yang telah membuat keputusan untuk membantu  menyelesaikan masalah ini,” kata Nik Nazmi.

Keputusan membaiki lif di pangsapuri tersebut diumumkan Iskandar pada Julai 24 lalu.

Nik Nazmi juga menyeru agar penduduk di situ dapat membayar kutipan yuran penyelenggaraan bagi membiayai penyelengaraan bangunan termasuk membaiki kerosakan lif.

“Menurut pihak pengurusan, masalah terbesar yang mereka hadapi ialah kadar kutipan yang masih rendah sehingga akaun berada di dalam keadaan defisit,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bonus Raya : Selangor Dahului Persekutuan – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Persekutuan digesa melantik satu badan bebas dan mengkaji semula kadar tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikatakan tinggi dan membebankan pengguna.

2. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pembayaran bonus Hari Raya sebanyak sebulan gaji kepada kakitangan awamnya.

3. Penghuni empat blok Pangsapuri Desa Mentari boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan RM100,000 bagi membaiki lif yang rosak.

4. Kerajaan Negeri akan mengkaji keperluan penggunaan senjata api di kalangan anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan.

5. Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan akan menyeragamkan beberapa gerak kerja dan operasi di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha mempastikan keberkesanan diperingkat pelaksanaannya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

RM100,000 Baiki Lif Rosak di Pangsapuri Desa Mentari

Iskandar Samad

SHAH ALAM, 24 JULAI : Penghuni empat blok Pangsapuri Desa Mentari boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan RM100,000 bagi membaiki lif yang rosak.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad, kerja-kerja menyelenggara dan membaikpulih kesemua lif itu akan menggunakan peruntukan Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria).

Katanya, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk membantu penduduk di situ ekoran maklumbalas daripada pihak pemaju yang mengatakan pungutan penyelenggaraan pangsapuri berkenaan adalah tidak mencukupi.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap nasib penduduk yang terpaksa menggunakan tangga sebanyak 18 tingkat dalam bulan Ramadan ini.

“Kita mengambil keputusan untuk mempercepatkan proses menggunakan Skim Ceria tanpa mengikut prosedur biasa kerana ia perlu dibaikpulih dengan kadar segera,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco, di sini.

Dalam sidang media sama, Iskandar turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau, membaikpulih serta menyelesaikan masalah kersoakan lif di kawasan pangsapuri kos rendah seluruh Selangor.

Jelasnya, pasukan ini akan bertindak untuk memantau keadaan lif di pangsapuri supaya sebarang masalah atau kerosakan dapat dikesan lebih awal.

“Kerajaan Negeri memandang serius tentang kerosakan lif di seluruh Selangor, justeru penubuhan pasukan khas ini dapat mengesan sebarang kerosakan sebelum ia berlaku lebih serius,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Mentari : Bantu Selangor Lahir Generasi Muda Aktif Sukan

Projek Mentari2

SUBANG JAYA, 6 JAN : Dalam usaha melahirkan generasi muda yang aktif dan positif, Pangsapuri Desa Mentari mengambil inisiatif menyediakan pelbagai program menarik berunsurkan pendidikan dan hiburan.

Program yang dikenali sebagai Projek Mentari itu bermula seawal tahun 2007 dengan mensasarkan pelajar peringkat rendah dan menengah, berusia antara 7 hingga 17 tahun dan menetap di pangsapuri itu.

Projek Mentari 3

Pengurusnya, Nur Yasmin Osman berkata, Projek Mentari merupakan projek sukarelawan yang menawarkan kelas tuisyen secara percuma kepada semua peringkat pelajar bagi membina keyakinan diri.

Menurutnya, bagi memastikan pelajar tidak hanya terikat dengan pembelajaran semata-mata, pihak pengurusan Projek Mentari mengambil langkah dengan menganjurkan aktiviti “Play Your Game”, khusus untuk mengasah bakat pelajar dalam acara sukan.

“Kita sedar bahawa golongan muda ini terutamanya lelaki mudah bosan dengan akademik. Ada di kalangan mereka yang pernah berdepan masalah sosial sebaik sahaja keluar daripada projek ini dan seolah-olah hilang hala tuju.

“Justeru, kita mengambil keputusan untuk mengajurkan aktiviti ini sebulan lalu supaya kita dapat membina persahabatan di kalangan mereka di samping memberi tunjuk ajar agar mereka kembali ke landasan yang betul dan melakukan perkara yang bermanfaat,” katanya semasa sesi latihan bola “Play Your Game” di Padang Awam USJ 2, di sini.

Beliau berkata, penganjuran program itu berjaya membentuk sahsiah yang baik di kalangan pelajar, selain menerima sambutan menggalakkan sejak ia mula dianjurkan.

Jelasnya, melalui aktiviti “Play Your Game”, pelajar yang terlibat akan menjalani latihan secara berkala iaitu seminggu sekali sebelum menyertai perlawanan persahabatan.

Projek Mentari1

Sementara itu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap supaya program ini akan diteruskan bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang berdedikasi serta menanam azam untuk lebih berjaya.

Beliau berkata, program ini telah mendapat pengiktirafan daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Respons daripada ibu bapa mendapati pelajar yang menyertai projek ini semakin positif, malah pembelajaran juga bertambah baik. Saya ucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang menyertai program ini dan berharap orang ramai sama ada pihak persendirian mahupun korporat untuk menyumbang tenaga dan kewangan bagi menjayakannya,” katanya.

Pada acara itu, Nik Nazmi turut menyerahkan sumbangan sejumlah RM6,000 kepada badan itu untuk membeli peralatan bola sepak bagi kegunaan pelajar.

Dalam pada itu, Mohd Hanif Hasan, 16, yang menyertai program itu melahirkan keseronokannya apabila terpilih sebagai salah seorang peserta untuk menyertai program itu.

“Memang seronok kerana dapat beriadah bersama rakan-rakan. Harap-harap ia akan diteruskan kerana aktiviti begini dapat mengasah bakat belia untuk bermain bola,” katanya.