Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan salahkan rakyat jika slogan MO1 merata tempat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 OGOS: Pihak berkuasa mahupun Kerajaan Persekutuan tidak boleh menyalahkan pembangkang, mahasiswa dan orang ramai sekiranya slogan Malaysia Official 1(MO1) timbul di merata-rata tempat.

Ketua Penerangan KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata ia kerana pihak berkenaan hanya melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara yang prihatin terhadap wang rakyat yang dirompak.

Katanya, mereka bukannya menuntut untuk diberikan habuan sejuta daripada berbilion wang diselewengkan, namun hanya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini.

“Satu dunia sudah tahu siapa MO1. Yang anehnya ada penyokong tegar PM melancarkan hashtag #weareallmalaysianofficial1, tanpa sedar MO1 yang dipetik dalam laporan DoJ antara yang didakwa sama-sama seleweng dana 1MDB untuk beli jet peribadi, hartanah mewah, lukisan mewah dan bayar hutang judi kasino.

Syed Ibrahim Syed Noh“Oleh kerana belum kelihatan tindakan seriuspihak berkuasa malah berlakunya penafian Perdana Menteri sendiri tentang penglibatannya maka berlanjutanlah teka-teki yang paling mudah diselesaikan.

“Sebab itu jangan salahkan orang ramai, pembangkang atau mahasiswa jika slogan “Siapa MO1?”, “#TangkapMO1”, “Saya Bukan MO1” atau “PokeMO1 Go” timbul merata-rata dan himpunan aman #TangkapMO1 mahu diadakan pada Sabtu 27 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan.

Syed Ibrahim berkata rakyat hanya menuntut janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang menyatakan bahawa Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB akan diumumkan malah beliau turut memberi jaminan bahawa individu atau pihak terlibat dalam penyelewengan tersebut akan dibawa ke muka pengadilan.

Namun begitu, laporan berkenaan bukan sahaja tidak diumumkan malah turut diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

“Justeru siapakah yang berdolak-dalik, berbohong dan mungkir janji?

“Adakah orang yang mendedahkan salah laku 1MDB atau orang yang merompak wang negara menerusi transaksi 1MDB dan kemudian menutup kesalahan mereka daripada diketahui oleh rakyat?”soalnya.

Sehubungan itu, Syed Ibrahim memaklumkan bahawa semua pihak wajib memberi desakan supaya identiti MO1 dapat didedahkan demi agama, negara dan rakyat.

-nR-