Categories
NASIONAL

Tian Chua: Charles beritahu terima panggilan Kevin dalam tertekan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 NOV: Mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Anthony Morais sebelum kematiannya pernah menghubungi adiknya, Charles Suresh Morais dengan keadaan tertekan ekoran tugas beratnya berhubung kes berprofil tinggi melibatkan individu berkuasa negara ini.

Perkara itu diakui Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bahawa dirinya pernah diberitahu oleh Charles  selepas selesai upacara pengkebumian mendiang abangnya di sebuah Gereja di Sentul.

Tian Chua berkata, Charles juga memberitahu, beliau ada mencadangkan kepada Kevin supaya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan berhijrah ke Amerika bersamanya.

tian“Semasa kami bertemu, Charles pernah kemukakan kesangsiannya kerana dia pernah terima panggilan Kevin dalam keadaan yang sangat terdesak, tertekan.

“Memang mereka ada mengesyaki sesuatu dan apa disebut dalam akuan bersumpah itu pun dah disebut kepada saya sebelum ini,” kata Tian Chua kepada Selangor Kini, hari ini.

Katanya, beliau juga dimaklumkan keluarga mendiang Kevin tidak berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan pihak berkuasa.

“Kematian Kevin ini penuh misteri dan keluarga dia juga ada beritahu mereka tak puas hati dengan siasatan yang dijalankan di mana rupa-rupanya ada bukti mengesyaki kematian ini ada kaitan siasatan terhadap pemimpin tertinggi negara ini,” kata Tian Chua lagi.

Tian Chua juga menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi terhadap dakwaan yang dibuat ahli keluarga Kevin Morais.

Charles Suresh MoraisTerdahulu, Charles yang merupakan ahli perniagaan berpengkalan di Amerika dalam satu akuan bersumpahnya mendakwa beliau memiliki pen drive yang diberi mendiang abangnya yang kini disimpan oleh individu lain di Amerika.

Dakwanya lagi, kandungan pen drive itu dengan jelas mendedahkan bahawa Kevin sebelum kematiannya diarahkan untuk melakukan sesuatu yang dikaitkan dengan seseorang personaliti yang berkuasa di Malaysia.

-nR-