Categories
NASIONAL

Segerakan perbincangan KL-Pyongyang demi keselamatan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Malaysia sepatutnya mengutamakan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara dengan mengadakan perbincangan segera antara Kuala Lumpur-Pyongyang bagi membolehkan mereka pulang.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, soal keselamatan itu adalah perkara keutamaan ketika ini sementara langkah menjernihkan hubungan dua hala kedua-dua negara boleh difikirkan kemudian.

“Kerajaan dilihat tidak sepakat dalam menangani kirisi ini dengan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman), Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak senada.

Tian-Chua“Sementara Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) lebih mengutamakan penyiasatan terhadap identiti terbunuh dan mengambil sikap agresif terhadap kerajaan Korea Utara. Ini tidak membantu dalam menyelesaikan ketegangan,” katanya.

Beliau berpendapat Malaysia memerlukan bantuan negara ketiga seperti China atau negara neutral untuk memainkan peranan selaku orang tengah bagi mencari penyelesaian supaya keadaan tidak berlarutan lebih lama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam dilaporkan berkata, rundingan rasmi antara Malaysia dan Korea Utara hanya akan dilakukan dalam masa terdekat.

Kerajaan Korea Utara pada 7 Mac lalu dilaporkan mengeluarkan larangan sementara ke atas 11 rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

Namun, dua rakyat Malaysia Stella Lim serta Nyanaprakash Muniandy dibenarkan meninggalkan Korea Utara selang dua hari kemudian dan kini dilaporkan berada di Beijing.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Parti baru: Zahid perlu ‘gentleman’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 OGOS: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa supaya bersikap ‘gentleman’ untuk meluluskan permohonan pendaftaran parti baru oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga harus menghormati hak mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah sebahagian hak setiap warganegara Malaysia, justeru Ahmad Zahid perlu ‘gentleman’ meluluskan parti baru pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memberi jaminan pendaftaran parti baru akan diberi kelulusan segera jika semua syarat dipenuhi.

tian-chua-pc-pkr-01Sementara itu, ketika mengulas kesan penubuhan parti berkenaan terhadap kesepakatan parti pembangkang, Tian Chua berharap parti baru itu mampu memberi nafas baru kepada pembangkang untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Saya harap dengan adanya parti paru ini, pembangkang kembali bersatu mengumpulkan kekuatan yang ada untuk menumbangkan Umno BN,” katanya.

Muhyiddin semalam mengesahkan akan mendaftarkan parti barunya dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), hari ini.

-AA-

Categories
NASIONAL

Berhenti lindungi ‘Malaysian Official 1’ dengan ulasan ‘pelik-pelik’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) dan pihak berwajib di Malaysia disaran tidak memberi pelbagai ulasan ‘pelik-pelik’ berhubung ‘Malaysian Official 1’ semata-mata mahu menzahirkan kesetiaan kepada individu tertentu.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata individu yang disebut dalam tuntutan mahkamah sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) difailkan semalam mirip kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Peguam Negara Amerika merujuk inidividu yang mirip Perdana Menteri Malaysia. Adalah wajib Najib jawab secara ikhlas apa peranan beliau dalam skandal 1MDB ini.

“Anak Datin Seri Rosmah Mansor (isteri Najib) iaitu Reza Aziz juga dinamakan secara terang terlibat dan istilah yang digunakan adalah dana milik negara Malaysia dicuri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Tian-ChuaTian Chua berkata, istilah ‘dana milik negara Malaysia sudah dicuri’ itu juga menguatkan lagi bahawa skandal terbabit melibatkan orang paling berkuasa dalam negara.

“Pendedahan ini amat memalukan imej negara kerana memiliki pemimpin yang begitu korup.

“Rakyat kesuluruhan menunggu penjelasan Najib. Jika Najib gagal menjelaskan perkara ini, rakyat tiada pilihan selain bangkit untuk mendesak beliau meletak jawatan,” katanya.

DOJ menyebut berulang-kali individu dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1’ dalam saman mereka menyebabkan banyak spekulasi mengenai identiti tokoh berkenaan.

Walaupun Najib tidak dinamakan dalam saman itu, tetapi terdapat banyak spekulasi bahawa ‘Malaysian Official 1’ merujuk kepadanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Jenayah senjata api meningkat, keselamatan negara membimbangkan

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 JUN: Keselamatan negara kini berada di tahap membimbangkan ekoran meningkatnya kejadian jenayah dengan menggunakan senjata api sejak kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata lebih memburukkan keadaan apabila beberapa isu keselamatan negara termasuk isu kelonggaran pengawalan di sempadan turut tidak mendapat respon memuaskan pihak Menteri Dalam Negeri.

Tian Chua“Kita tidak nampak pihak berkenaan memberi satu hujah atau memahami faktor menyebabkan peningkatan tahap keganasan itu. Sukar untuk penguatkuasa mengatasinya kalau kita tidak tahu apakah punca meningkatnya kejadian seumpama ini berleluasa.

“Saya tidak tahu adakah ada kaitan tetapi nampaknya kelonggaran itu bukan sahaja di sempadan tetapi di semua peringkat. Kelonggaran di segi pelaksanaan dasar bukan sehari dua berlaku tetapi telah berlarut sepanjang menteri berkenaan tidak mengambil berat isu ini,” kataya kepada SelangorKini.

Jelasnya, sebelum ini isu pengawalan di sempadan yang longgar hingga menyebabkan pendatang asing mudah masuk ke dalam negara kerap dilaporkan di media tetapi hingga kini masih tiada sebarang penjelasan konkrit mengenai kaedah mengatasi masalah ini oleh menteri berkaitan.

JENAYAHKatanya, kerajaan juga tidak boleh hanya mengeluarkan kenyataan retorik semata-mata melegakan perasaan rakyat tetapi perlu disusuli pelaksanaan pelan keselamatan yang konkrit untuk mengatasi isu ini.

Sebelum ini, beberapa kejadian melibatkan senjata api berlaku dalam negara termasuk kejadian di Batu Caves dan bekas calon KEADILAN bagi Pilihanraya Negeri Sarawak, Bill Kayong ditembak mati di Miri, pagi semalam.

-nR-

Categories
NASIONAL

“Mahkamah Tinggi buktikan Umno manipulasi kenyataan saya”

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 MAC: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua tetap bersyukur meskipun terpaksa mengambil masa hampir tiga tahun untuk membersihkan namanya daripada tuduhan membuat kenyataan berunsur hasutan.

Ia susulan beliau mengaitkan kerajaan berkenaan isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Beliau turut menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah bukti bahawa kenyataannya sengaja dimanipulasi Umno bagi merosakkan imejnya sebagai pemimpin pembangkang.

“Kes pertama adalah kes saman malu Umno dengan tuduhan saya mencemar nama baik parti itu dan satu lagi kes jenayah di bawah Akta Hasutan di mana semasa perbicaraan Umno menarik balik saman ke atas saya.

main_jz_2401_p14a“Kemudian dalam Mahkamah Sesyen juga saya menang kes tuduhan menghasut dan hari ini dalam Mahkamah Tinggi juga mengekalkan pembebasan saya daripada tuduhan ini.

“Ini bermaksud tuduhan ke atas saya adalah fitnah, berunsur jahat, merosakkan nama saya dan mengancam keselamatan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, tindakan manipulasi dilakukan Umno itu menyebabkan beliau berhadapan pelbagai tekanan termasuk ancaman terhadap keselamatan dirinya.

“Umno melancarkan kempen jahat berunsur ugutan mengancam keselamatan saya dan juga kita lihat tidak kurang 500 laporan polis dibuat ke atas saya di seluruh negara,” katanya.

Pada 2014, Mahkamah Sesyen membebaskan Chua daripada tuduhan membuat kenyataan berunsur hasutan berkenaan isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan selepas itu membawa kes ini ke peringkat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan mengekalkan keputusan sama.

-AA-

Categories
NASIONAL

Tian Chua bebas tuduhan menghasut kali kedua

SHAH ALAM, 2 MAC: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan membebaskan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua susulan kes kenyataan berunsur hasutan mengaitkan Umno terhadap pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Pembebasan itu adalah kali kedua buat Chua selepas mengaku tidak bersalah pada 2 September 2014, lapor Malaysia Kini.

tian chua pc pkr 01Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan menolak rayuan pihak pendakwa dengan alasan mereka gagal membuktikan bahawa Chua mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan.

Saksi utama pendakwaan, Siti Nooraishah Geoffrey, bekas wartawan Keadilan Daily, tidak mempunyai apa-apa untuk menyokong keterangannya.

Menurut hakim, nota tulisan Noor Aishah tidak mudah dibaca dan tidak ada dokumen lain yang dibentangkan untuk menyokong keterangannya.

Chua pada 2013 didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta sama dan membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi pesalah kali pertama.

Bagaimanapun Hakim Norsharidah Awang pada November 2014 menolak pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie yang terhadap Chua.

-AA-

 

Categories
NASIONAL

Akuan sumpah Charles: Respon tergesa-gesa AG tak bertanggungjawab

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 NOV: Reaksi pantas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menolak akuan bersumpah dibuat adik mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Anthony Morais sebagai tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata Mohamed Apandi sepatutnya tidak tergesa-gesa menafikan tanpa menjalankan siasatan mendalam terhadap semua dakwaan yang dibuat dalam akuan bersumpah Charles Suresh Morais itu.

tian“Pemerintah tidak boleh menjawab begitu pantas kerana sudah tentu ini memerlukan siasatan rapi terlebih dahulu.

“Sepatutnya perlu ada respon bertanggungjawab oleh Peguam Negara atau Ketua Polis Negara. Respon tergesa-gesa tanpa merujuk balik dan siasatan teliti akan dilihat hanya untuk menafikan kenyataan keluarganya dan penglibatan Kevin dalam siasatan 1MDB semata-mata. Ini tidak wajar,” kata Tian Chua kepada Selangor Kini, hari ini.

Tian Chua turut menggesa pihak bertanggungjawab memanggil semula semua anggota keluarga Morais bagi membolehkan siasatan terhadap akuan bersumpah itu dijalankan.

“Pihak berkuasa perlu siasat dakwaan ini walaupun ada terdapat percanggahan dakwaan sesama adik beradik Kevin yang lain,” kata Tian Chua lagi.

Katanya, pihak berkuasa juga wajar memanggil semula mereka terbabit dengan siasatan pembunuhan pengasas AmBank Hussein Ahmad Najadi supaya siasatan semula dapat dijalankan.

Lim Kit Siang white 01Terdahulu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang turut mengesa pihak polis membuka semula kes pembunuhan Hussein bagi memastikan kematian Hussein tiada kaitan dengan skandal 1MDB.

Beliau membuat gesaan itu selepas pasukan khas menyiasat dakwaan penyaluran wang 1MDB ke akaun Perdana Menteri dilapor membekukan enam akaun berkaitan siasatan itu.

-nR-

Categories
NASIONAL

Tian Chua: Charles beritahu terima panggilan Kevin dalam tertekan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 NOV: Mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Anthony Morais sebelum kematiannya pernah menghubungi adiknya, Charles Suresh Morais dengan keadaan tertekan ekoran tugas beratnya berhubung kes berprofil tinggi melibatkan individu berkuasa negara ini.

Perkara itu diakui Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bahawa dirinya pernah diberitahu oleh Charles  selepas selesai upacara pengkebumian mendiang abangnya di sebuah Gereja di Sentul.

Tian Chua berkata, Charles juga memberitahu, beliau ada mencadangkan kepada Kevin supaya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan berhijrah ke Amerika bersamanya.

tian“Semasa kami bertemu, Charles pernah kemukakan kesangsiannya kerana dia pernah terima panggilan Kevin dalam keadaan yang sangat terdesak, tertekan.

“Memang mereka ada mengesyaki sesuatu dan apa disebut dalam akuan bersumpah itu pun dah disebut kepada saya sebelum ini,” kata Tian Chua kepada Selangor Kini, hari ini.

Katanya, beliau juga dimaklumkan keluarga mendiang Kevin tidak berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan pihak berkuasa.

“Kematian Kevin ini penuh misteri dan keluarga dia juga ada beritahu mereka tak puas hati dengan siasatan yang dijalankan di mana rupa-rupanya ada bukti mengesyaki kematian ini ada kaitan siasatan terhadap pemimpin tertinggi negara ini,” kata Tian Chua lagi.

Tian Chua juga menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi terhadap dakwaan yang dibuat ahli keluarga Kevin Morais.

Charles Suresh MoraisTerdahulu, Charles yang merupakan ahli perniagaan berpengkalan di Amerika dalam satu akuan bersumpahnya mendakwa beliau memiliki pen drive yang diberi mendiang abangnya yang kini disimpan oleh individu lain di Amerika.

Dakwanya lagi, kandungan pen drive itu dengan jelas mendedahkan bahawa Kevin sebelum kematiannya diarahkan untuk melakukan sesuatu yang dikaitkan dengan seseorang personaliti yang berkuasa di Malaysia.

-nR-

Categories
NASIONAL

Tak hadir siasatan ‘kesalahan besar’, rasuah tidak

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua sedia hadir untuk disoal siasat jika dipanggil pihak berkuasa berkaitan isu pertemuan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bersama Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III di Filipina baru-baru ini.

Katanya, ini berikutan tidak hadir untuk disoal siasat merupakan satu ‘kesalahan besar’ di negara ini berbanding kesalahan rasuah yang dianggap ‘tidak memberi masalah’ kepada negara.

Tian Chua parlimen 01“Kita tidak ada pilihan di negara ini, kalau kena panggil kita datanglah. Negara kita macam itulah.

“Sesiapa pun yang dipanggil kena berkerjasama, kalau tidak dapatlah waran tangkap, masuk lokap dan sebagainya tetapi kalau rasuah tidak ada masalah di negara ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ketika menyentuh isu kedaulatan negara, Tian Chua berkata, beliau dan Nurul Izzah tidak akan berkompromi bagi memastikan kedaulatan negara terus dipertahankan.

Terdahulu, gambar Nurul Izzah bertemu Jacel tersebar di internet selepas Jacel memuatnaik gambar terbabit di akaun facebooknya.

IZZAH JACELRentetan peristiwa itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Nurul Izzah akan dipanggil untuk memberi kenyataan minggu depan berikutan tindakannnya yang dianggap kononnya mengancam keselamatan dan keamanan negara.

-nR-

Categories
NASIONAL

1MDB: “Mana satu betul, siasatan selesai atau belum?”

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 OKT: Status siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengelirukan apabila agensi terlibat didapati mengeluarkan kenyataan berbeza antara satu sama lain.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata kekeliruan itu mula dikesan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertindak ‘mengganggu’ siasatan dengan menukar beberapa individu terlibat dalam peringkat awal siasatan lagi.

“Semasa Peguam Negara baru dilantik gantikan Tan Sri Abdul Gani Patail, dia kata siasatan ditutup tetapi polis pula kata siasatan belum ditutup seolah-olah tidak ada siasatan, kejap dah ditutup kejap belum tutup, tak konsisten.

“Adakah tiada siasatan bersungguh-sungguh? Kita pelik Bank Negara Malaysia (BNM) dah serahkan penemuan mereka kepada Peguam Negara tetapi Peguam Negara kata siasatan BNM itu tak lengkap dan pada masa sama polis dan SPRM kata siasatan belum selesai. Siapa yang betul pun kita tak tahu.

“Rakyat tidak yakin apa yang berlaku, sungguh pun siasatan mengesahkan ada penyelewengan dan unsur salah guna kuasa tetapi Peguam Negara seolah-olah langsung tidak ambil peduli untuk meneliti semua keputusan siasatan ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Tian Chua berkata, tindakan undang-undang sukar diambil terhadap pihak bertanggungjawab berikutan pendirian Peguam Negara yang tidak neutral dalam menjalankan siasatan.

Baru-baru ini, Jabatan Peguam Negara sekali lagi menegaskan bahawa 1MDB tidak harus dipersalahkan dalam skandal yang mengakibatkan negara terpaksa menanggung hutang hampir RM43 bilion.

Bagaimanapun, dalam kenyataan media berasingan pula menjelaskan, Peguam Negara sentiasa memantau siasatan yang masih dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Peguam Negara sentiasa memantau dan memberi arahan kepada agensi berkenaan setiap kali siasatan dirujuk kepada Peguam Negara, termasuk arahan mempercepatkan siasatan.

“Sehingga hari ini, PDRM dan SPRM belum melengkapkan siasatan kerana keterangan beberapa saksi belum direkodkan,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara itu.

-NR-

Categories
NASIONAL

GST dikena walau belum dilaksana

Tian Chua parlimen 01

KUALA LUMPUR, 22 OKT : Sebuah syarikat pengurusan tempat letak kereta di Pasar Borong Kuala Lumpur didakwa mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan tambahan enam peratus kepada orang ramai meskipun belum dilaksanakan lagi Kerajaan Pusat.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, mendakwa syarikat, SportsIn Sdn Bhd itu mula mengenakan GST kepada pengguna tempat letak kereta di situ kira-kira satu setengah tahun lalu.

Tian berkata, banyak syarikat tempat letak kereta di sekitar Lembah Klang juga mula melakukan perkara sama walaupun Kerajaan Pusat pernah mengatakan GST tidak akan dilaksanakan dalam bajet 2014.

“Persoalannya, adakah GST ini sampai kepada Kerajaan? Adakah Kerajaan mempunyai rekod penerimaan GST ini?

“Adakah DBKL menjalankan pemeriksaan audit ke atas syarikat ini? Jika ya, bagaimana perkara ini boleh terlepas?” soalnya yang juga Naib Presiden PKR di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai terutamanya di kawasan bandar supaya menyemak resit pembelian masing-masing selepas membuat pembayaran untuk sesuatu barangan atau perkhidmatan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mengesan perkara itu supaya membuat aduan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera.

“Kerajaan digesa supaya mengambil serius perkara ini dan syarikat yang didapati mengenakan GST mesti dihukum,” katanya.

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tian: Najib tidak perlu perbodohkan rakyat

tian chua pc pkr 01SHAH ALAM, 4 SEPTEMBER: Kesan daripada ‘keprihatinan’ serta ‘kecekapan’ pentadbiran Umno-BN, rakyat semakin ditekan terutama selepas mengumuman kenaikan harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak RM0.20.

Ini dibuktikan dengan kemunculan ‘secara automatik’ beberapa pihak dari pelbagai sektor yang mahu menaikkan caj perkhidmatan ekoran kenaikan harga bahan api.

Naib Presiden PKR, Tian Chua dalam reaksinya berkata, situasi ini menunjukkan kelemahan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meskipun beliau sebelum ini menafikan harga minyak tidak akan dinaikkan.

Menurutnya, jika Najib Razak selaku Menteri Kewangan tidak tahu mengenai kenaikan suslan secara automatik ini jelas menunjukkan beliau tidak lulus ekonomi ‘one o one’.

Menurut Tian kenyataan Najib tersebut merupakan usaha membodohkan rakyat yang telah lama berpengalaman mengalami tekanan susulan ekoran kenaikan harga minyak yang di umumkan kerajaan.

“Ini adalah satu penghinaan kepada rakyat apabila dia menyebut peningkatan (harga minyak) tidak akan menyebabkan peningkatan harga barangan lain secara besar-besaran di pasaran,” katanya kepada TV Selangor.

Tian selaku Ahli Parlimen Batu juga menyifatkan hujah Najib supaya harga barangan lain tidak dinaikkan adalah tidak logik memandangkan inflasi juga meningkan kesan daripada situasi kini.

Tegasnya, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak ada kena mengena dalam perkara ini memandangkan ianya hanya bersifat ‘gula-gula membeli undi’

Ujarnya, rakyat kelas pertengahan dan bawah bakal menghadapi kehidupan yang lebih sukar pada pada bulan mendatang.-mza

<iframe width=”420″ height=”315″ src=”//www.youtube.com/embed/itCl39FVSSc” frameborder=”0″ allowfullscreen></iframe>