Categories
SELANGOR

PPKB Bantu Hampir 2,000 Isi Rumah Miskin Subang Jaya


SUBANG JAYA, 7 OKT :  Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM 300,000 dalam empat tahun bagi menjayakan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) bagi kawasan di bawah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Dalam tempoh tersebut, seramai 1,920 keluarga atau isi rumah dari kalangan miskin mendapat manfaat daripada program berkenaan yang melibatkan sumbangan wang dan barangan keperluan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, PPKB adalah salah satu usaha membasmi kemiskinan yang digerakkan MPSJ di kawasan bandar melibatkan keluarga miskin seperti ibu tunggal, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Bagaimanapun, katanya, kumpulan terlibat harus dibela tidak sekadar dari segi kebajikan tetapi diberikan bimbingan supaya dapat berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri.

“Bukan sahaja kebajikan kita beri tetapi kita berikan bimbingan untuk memupuk kemahiran dan keupayaan supaya mereka dapat meningkatkan jati diri melalui usaha perkhidmatan dan penjualan.

“Saya sangat tertarik dalam usaha yang dilakukan MPSJ dan Ahli Majlisnya.

?Di samping memberikan sedikit sumbangan mereka menganjurkan beberapa program kebajikan dan kursus kemahiran,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan PPKB 2012 MPSJ di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu dan Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi.

Sebelum itu, Abdul Khalid menyampaikan sumbangan keseluruhan RM 96,000 kepada 24 Ahli Majlis selaku Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (JKP) di 24 zon kawasan yang terlibat.

Setiap zon menerima RM 2,000 dalam bentuk wang tunai serta 
RM 2,000 bagi barangan keperluan harian.

Seramai 480 keluarga atau isi rumah terlibat dalam program itu di mana setiap zon mempunyai 20 keluarga.

Bagi menjayakan PPKB, beberapa kursus kemahiran dirancangkan MPSJ seperti kelas jahitan, kelas membuat roti dan kek, kelas membuat kueh membaiki komputer dan penghawa dingin.

Sementara itu, Pengerusi PPKB MPSJ, Keshminder Singh berkata, program tersebut adalah berbentuk kebajikan bagi mengurangkan tahap kemiskinan yang berlaku di kawasan seliaan MPSJ.

“Kita jalankan pemantauan mendapati ramai yang miskin di Subang Jaya yang memerlukan bantuan. Di samping bantuan seperti barangan keperluan, kita juga bantu bagi mereka berubah menjadi lebih maju.

“Program ini adalah satu cara supaya mereka yang kurang mampu juga dibela dan mendapat layanan sama sepertimana golongan lain,” katanya.

Pengerusi JKP Lapan, Azizan Jamaludin berkata, usaha dilakukan itu adalah baik bagi membantu golongan kurang berkemampuan supaya mereka tidak terus ketinggalan dalam arus pemodenan negara.

“Dengan cara ini kita akan maju bersama dan mereka tentu berasa tidak dipinggirkan apabila diberi peluang mendapat bimbingan dalam memajukan diri menerusi kerjaya yang sesuai,” katanya yang mewakil kawasan seperti Kampung Tengah A dan B, Kampung Kenangan serta Kampung Sungai Baru.