Categories
AGENDA NASIONAL

Khazanah, KWSP tidak babit secara rasmi jualan PLUS

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemilik PLUS Malaysia Bhd (PLUS), tidak dilibatkan secara rasmi oleh kerajaan dalam penjualan konsesi lebuh raya itu walaupun kerajaan dilaporkan telah mendapat tawaran beberapa syarikat.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata dari perspektif tadbir urus, sebarang keputusan membabitkan jualan atau pengambilalihan aset itu perlu dilakukan secara teratur menerusi penglibatan rasmi pihak pemegang kepentingan tersebut iaitu Khazanah dan KWSP.

“Perkara itu tidak pernah dimulakan,” katanya kepada pemberita di luar Forum Integriti 2020 Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) di sini, hari ini.

Khazanah yang juga dana kekayaan negara memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS menerusi anak syarikatnya UEM Group Bhd, manakala baki 49 peratus dimiliki oleh KWSP.

Selain itu, Shahril Ridza berkata Khazanah dan KWSP tidak pernah menawarkan aset itu untuk dijual, malah tiada sebarang proses bidaan yang dilaksanakan pada masa ini.

“Apabila merujuk tawaran yang diterima, wujud sedikit kesilapan kerana tiada sebarang proses bidaan yang dilaksanakan atau wujud pihak pembida.

“Itu semua merupakan tawaran secara sendirian yang dikemukakan kepada kerajaan berbanding kepada pemegang saham semasa PLUS dan kami tidak terbabit dalam sebarang proses jualan aset tersebut,” katanya.

Ditanya mengenai impak terhadap Khazanah dan KWSP sekiranya kerajaan memutuskan penjualan PLUS kepada pihak ketiga, Shahril Ridza berkata apa yang penting adalah untuk memastikan nilai munasabah aset itu dipertahankan.

“Atas alasan inilah kami tidak melayan sebarang tawaran sebelum ini…secara jujur, tawaran itu hanya merendahkan nilai (sebenar) aset berkenaan.”

Beliau bagaimanapun gembira kerana penilaian yang dilakukan oleh kerajaan menerusi sebuah bank pelaburan bebas, adalah seiring dengan nilai semasa PLUS.

“Saya amat gembira kerana secara dasarnya, kami berasakan nilai itu telah disahkan oleh perbankan bebas, baik dari pihak kami atau pun di pihak kerajaan,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, Shahril Ridza berkata pemilik PLUS perlu menunggu keputusan dasar kerajaan yang akan dimuktamadkan menerusi Kabinet sebelum isu itu dipanjangkan.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata cadangan pengambilalihan PLUS dan empat lebuh raya milik Gamuda di Lembah Klang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu dengan pengumuman mengenainya dibuat selepas mesyuarat tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PLUS tidak dijual, kerajaan risau syarikat tidak jamin hapus tol

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Khazanah Nasional Bhd tidak berminat untuk menjual kepentingannya dalam PLUS Malaysia Bhd (PLUS) walaupun beberapa tawaran telah dikemukakan kepada kerajaan oleh beberapa entiti swasta.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengulangi kenyataan dibuat oleh Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan awal hari ini bahawa badan pelaburan negara itu tidak berminat untuk menjual firma lebuhraya terbesar negara itu.

“PLUS adalah 51 peratus milik Khazanah dan 49 peratus milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kenapa anda mahu menswastakannya?

“Kita tidak mahu membebankan rakyat dan penguna jalan raya, sebab itu dalam manifesto kami, kami akan berbincang dengan semua syarikat-syarikat konsesi secara berperingkat untuk mengurangkan bebanan kepada pengguna jalan raya.

“Tetapi kalau jual PLUS pada pihak swasta yang akan mengenakan tol dan menaikkan kadar tol, dan ia tidak akan memenuhi kehendak manifesto,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Tambahnya, pendirian Khazanah jelas untuk tidak menjual pegangannya di dalam PLUS, kerana apabila PLUS jual kepada pihak swasta, tiada jaminan syarikat tersebut dapat mengurangkan kadar tol atau menghapuskan tol.

“Sudah tentu tidak. Sebab bagi sektor swasta, mereka berorientasikan keuntungan. Syarikat akan beli sesuatu yang boleh beri keuntungan. Bagi pihak kami, ia bukan soal keuntungan. Khazanah dan KWSP mahu beri perkhidmatan kepada pengguna jalan raya.

“Kecuali ada pihak swasta yang mahu beli PLUS dan nak hapuskan tol, good luck kalau boleh dapat,” katanya.

Awal hari ini, Widad Business Group Sdn Bhd telah menaikkan tawaran bagi PLUS dengan tawaran baharu untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat itu bagi RM5.3 bilion.

Termasuk pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion, jumlah nilai perusahaan bagi tawaran itu adalah sebanyak RM38.34 bilion, yang merupakan bidaan tertinggi daripada sektor swasta setakat ini.

Menurut Widad, tawaran yang disemak semula itu juga termasuk pengecualian jaminan sukuk RM11 bilion oleh kerajaan dan opsyen baharu untuk kerajaan membeli balik PLUS selepas 10 tahun berdasarkan nilai pasaran.

– BERNAMA