Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor agih lagi 7,000 kit kesihatan ke seluruh CAC

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Negeri akan menambah 7,000 kit penilaian kesihatan untuk kegunaan pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah.

Dato’ Menteri Besar berkata kit itu akan diagihkan ke semua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negeri terutama lokasi tumpuan ramai.

“Kit ini termasuk oximeter atau alat pengukur kandungan oksigen yang akan diberikan kepada pesakit untuk menilai secara kendiri ketika mereka berada di rumah.

“Bagaimanapun, apabila tamat kuarantin dan dipotong gelang mereka perlu menghantar kembali oximeter itu kepada CAC supaya boleh digunakan semula oleh pesakit lain,” katanya dalam program bual bicara bersama Astro Awani malam tadi.

Amirudin berkata pesakit yang menjalani kuarantin juga perlu mengemas kini tahap kesihatan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk pemantauan.

Jelasnya, tiga daerah terlibat yang menggunakan keadah itu ialah Gombak, Petaling dan Hulu Langat.

“Menerusi aplikasi ini, doktor akan memantau keadaan pesakit dan menentukan sama ada mereka dimasukkan ke hospital atau sebaliknya,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor memperuntuk RM1.25 juta bagi menyediakan kit kesihatan yang setiap satunya mengandungi oximeter, ubat-ubatan, pelitup muka dan jangka suhu.

Inisiatif tersebut disediakan untuk membendung kes jenazah dibawa ke hospital (brought in dead) yang kian membimbangkan kebelakangan ini.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

7,000 kit kesihatan diagih ke semua CAC di Selangor

SHAH ALAM, 9 JULAI: Sebanyak 7,000 kit penilaian di rumah yang membantu pesakit Covid-19 memantau tahap kesihatan ketika kuarantin akan diagih ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di negeri ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata sebanyak 1,000 kit termasuk oximeter atau penukur kandungan oksigen dalam tubuh diberi kepada pesakit kategori satu dan dua di CAC Stadium Malawati semalam.

“Pesakit perlu mengemas kini tahap kesihatan menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) setiap dua kali sehari bagi membolehkan doktor melakukan pemantauan.

“Menerusi aplikasi ini, doktor memantau keadaan terkini pesakit berdasarkan kadar oksigen dalam darah selain menentukan sama ada mereka perlu dimasukkan ke hospital atau sebaliknya,” katanya selepas sesi serahan kit berkenaan di sini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, peruntukan RM1.25 juta bagi membekal kit berkenaan kepada individu yang dikesan positif.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kit kesihatan mudah diguna, bantu pesakit kuarantin di rumah

SHAH ALAM, 2 JULAI: Pesakit Covid-19 menyifatkan kit penilaian di rumah yang dibekal Kerajaan Negeri memudahkan mereka memantau tahap kesihatan sepanjang tempoh kuarantin.

Pekerja swasta Mohd Faezuan Mohd Izan, 34, memantau bacaan oksigen tiga kali setiap hari menggunakan oximeter bagi memastikan kandungannya tidak kurang 95 peratus, tahap normal seseorang.

Mohd Faezuan Mohd Izan

“Kit ini senang digunakan untuk pantau kandungan oksigen secara harian. Penggunaannya tiga kali sehari,” katanya yang dijangka menyelesaikan kuarantin pada 29 Jun kepada Selangorkini.

Beliau disahkan positif bersama tiga anak berusia enam hingga 11 tahun selepas menjalani Saringan Komuniti fasa tiga di Gombak pada 20 Jun. Sebelum ini, isterinya dikesan positif dalam saringan awal di klinik swasta.

Kit bernilai kira-kira RM200 memuatkan ubat-ubatan, jangka suhu, pelitup muka dan oximeter iaitu pengukur kandungan oksigen dalam tubuh.

Suri rumah Rohani Mohd Jelani, 31, pula menggunakan kit itu selama dua hari bersama suami sebelum mereka dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang pada 22 Jun.

“Kita periksa (kandungan oksigen) dengan letakkan jari pada oximeter. Mereka (petugas kesihatan) juga ajar kalau demam baru guna oximeter,” kata ibu kepada dua anak yang dikesan positif selepas menjalani saringan percuma di Gombak.

Pekerja binaan Jusuf Suleiman, 33, pula awalnya tidak mahir menggunakan oximeter sebelum dibantu isterinya dan sempat menggunakannya dua kali sebelum dibawa ke PKRC Serdang.

Jusuf Suleiman

“Saya rasa penggunaannya mudah. Mulanya saya tidak tahu cara guna oximeter tetapi lepas isteri ajar rupa-rupanya mudah,” kata bapa kepada dua cahaya mata.

Selain beliau, isteri, anak berusia tujuh tahun, ibu mentua dan adik ipar turut dikesan positif dalam saringan anjuran Kerajaan Negeri.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, peruntukan RM1.25 juta disediakan bagi membekal kit berkenaan kepada inidividu yang dikesan positif dalam Saringan Komuniti.