Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: 135 premis jual kit ujian Covid-19 patuh harga kawalan

RAWANG, 8 SEPT: Sebanyak 141 pemeriksaan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 dilakukan pada Isnin di seluruh negara bagi memantau pematuhan harga siling kit ujian berkenaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 135 premis mematuhi harga kawalan yang ditetapkan, dua premis menjual di bawah harga siling, tiga premis menjual melebihi harga siling dan satu premis tidak menjual kit berkenaan.

Katanya, dua daripada tiga premis yang menjual kit ujian melebihi harga siling itu diberi amaran.

“Apa yang menariknya, ada dua premis yang menjual di bawah harga kawalan, saya nampak peniaga ini amat berdisiplin,” katanya selepas melancarkan Program Pengumpulan Bahan Makanan dan Barangan Penjagaan Diri untuk mangsa fenomena kepala air di Gunung Jerai, Kedah.

Majlis pelancaran program yang dianjurkan oleh Persatuan Pakatan Pemandu Berhemah Malaysia di sini, semalam turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang Chua Wei Kiat dan ADUN Taman Templer Mohd Sany Hamzan.

“Tanpa mengira fahaman politik, kita bersatu untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa,” kata Rosol.

Pasukan Pakatan Pemandu akan bergerak ke Yan, Kedah pada Jumaat ini bagi menyalurkan bantuan makanan dan penjagaan diri yang dikumpul oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan Komuniti: 2,702 sampel diambil, 196 kes disyaki positif

SHAH ALAM, 21 JUN: Sebanyak 2,702 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) diambil sepanjang dua hari program Saringan Komuniti Covid-19 di lima Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada jumlah itu 1,435 sampel diuji daripada penduduk sekitar DUN Seri Setia dan Taman Medan manakala selebihnya Sungai Tua, Gombak Setia serta Taman Templer.

Pengurus Klinik Selcare berkata keputusan mendapati 196 kes atau enam peratus disyaki positif wabak dan perlu menjalani saringan kit ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) bagi mengesahkan status jangkitan.

“Kebanyakan hadir mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19, namun majoriti kes suspek positif berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun yang dikesan tidak mengalami sebarang gejala,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika dihubungi.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM10.7 juta untuk menjayakan Saringan Komuniti fasa ketiga dengan menumpukan kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.

Saringan diteruskan di DUN Kajang pada 26 Jun manakala Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa pada 27 Jun.

Saringan menggunakan RTK-Ag membolehkan pengesanan jangkitan dalam tempoh kurang 30 minit.

Sejak diperkenal tahun lalu, Kerajaan Negeri menyaring penduduk menerusi program fasa pertama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 2.0 dan fasa kedua sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.