Categories
EXCO SELANGOR

Hasil kraf wau kapal mini, kekalkan tradisi negeri

KUALA LANGAT, 20 FEB: Wau kapal mini Selangor berasaskan piuter antara produk kraftangan yang bakal diketengahkan supaya tidak lenyap ditelan zaman.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata seni lambang kemegahan rakyat negeri ini juga akan ditempatkan di lokasi pelancongan bersejarah atau muzium.

“Saya akan bincang dan beri pandangan untuk pastikan pembuat wau kapal mengeluarkan cenderamata mini bagi menjaga khazanah warisan bangsa,” kata Borhan Aman Shah pada program Kita Ke Kampung di Kampung Sungai Buaya semalam.

Dalam pada itu, beliau berbangga dengan Muskhan Kastudi atau Wak yang masih giat menghasilkan permainan tradisional demi memenuhi permintaan pelanggan.

Menurut Borhan, pembuat wau kapal veteran berusia 62 tahun itu menerima tempahan dari dalam dan luar negeri sejak berkecimpung dalam bidang tersebut puluhan tahun lalu.

“Saya teruja masih ada yang boleh buat wau kapal seperti Wak dan berharap generasi muda mewarisi seni ini supaya ia tidak pupus begitu sahaja,” katanya lagi.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jana pendapatan, manfaat tanah terbiar kawasan luar bandar

KUALA LANGAT, 20 FEB: Masyarakat luar bandar disaran memanfaatkan tanah kosong dimiliki bagi meningkatkan taraf hidup dan menjana pendapatan.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata penduduk boleh mengusahakan tanah terbiar dengan menanam sayuran dan buah-buahan untuk dijual.

“Kampung biasanya memiliki banyak tanah dengan keluasan sangat besar, namun tidak digunakan sebaik mungkin hingga tumbuh belukar dan tidak mendatangkan hasil.

“Jadi, penduduk perlu guna peluang itu untuk perkara yang boleh memberi dampak terhadap ekonomi keluarga dan kampung mereka,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau yang ditemui pada program Kita Ke Kampung di Batu 8 Sijangkang semalam memaklumkan bantuan modal turut disediakan bagi individu yang berminat menjalankan sebarang perusahaan.