Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga kanak-kanak lemas ketika mandi kolam

JOHOR BAHRU, 14 FEB: Tiga kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat lemas semasa bermandi-manda di sebuah kolam berhampiran pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Sri Amar, Majidee, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali sebagai Muhammad Rozie Iskandar Shah Abdullah, 11, Faris Farhan Mohd Sani, 14 dan Muhammad Haziq Nor Kamal, 10, manakala seorang kanak-kanak yang terselamat dalam insiden itu dikenali sebagai Muhammad Faiz Haiqal Abdullah, 13.

“Polis menerima maklumat kejadian daripada Muhammad Faiz Haiqal yang datang ke Balai Polis Majidee pada pukul 7.23 malam.

“Hasil temu bual, Muhammad Faiz Haiqal memberitahu bahawa dia bersama tiga rakannya itu pergi memancing ikan di kolam berkenaan pada kira-kira jam 2.00 petang sebelum mereka bermandi manda,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Beliau berkata ketiga-tiga rakan Muhammad Faiz Haiqal tiba-tiba lemas pada kira-kira pukul 7.00 malam kerana mandi di bahagian tengah kolam itu, dan dia cuba membaling tali bagi membantu, namun, tidak sampai ke arah ketiga-tiga rakannya itu.

Menurutnya pasukan bomba yang melancarkan operasi mencari di kolam itu menemui mayat Muhammad Rozie Iskandar pada pukul 7.47 malam, disusuli Faris Farhan pada pukul 7.49 malam dan Mohd Haziq pada pukul 8.16 malam.

Shahurinain berkata jarak ketiga-tiga mereka ditemui kira-kira lima meter dari tepi kolam, dan menurutnya pihak bomba memberitahu bahawa bahagian dasar kolam sedalam tiga meter itu mempunyai lumpur sedalam kira-kira satu meter.

“Semua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar berkata 11 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian selepas Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Johor menerima panggilan menerusi talian MERS 999 pada pukul 7.22 malam.

Beliau berkata bomba kemudian bertindak membuat operasi pencarian di permukaan kolam itu dan kemudian menemukan ketiga-tiga mereka.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pembinaan kolam takungan mampu minimakan risiko banjir

 

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 30 MEI: Pembinaan kolam takungan di beberapa kawasan dijangka mampu mengurangkan risiko banjir yang telah berlarutan sejak sekian lama di kawasan Taman Daya dan Jalan Teratai, Meru.

Langkah itu perlu diambil segera kerana dalam tempoh enam bulan, penduduk setempat sudah berhadapan empat kejadian banjir kilat yang menjejaskan hampir 1,000 keluarga dari 11 taman perumahan.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, pembangunan setempat yang berlangsung rancak juga menjadi antara faktor berlakunya limpahan air ketika hujan.

“Kita ada perbincangan dan meneliti saluran air dan mendapati kawasan yang menghadapi banjir ini rendah. Jadi air mengalir dari kawasan tinggi ke kawasan rendah dan telah dilepaskan ke Sungai Binjai sera Sungai Kapar Kecil.

“Penaiktarafan Sungai Binjai sudah selesai sementara Sungai Kapar Kecil akan siap Januari 2020. Ia banyak membantu (mengurangkan banjir) tetapi kita lihat air yang dialirkan terlalu banyak dan memerlukan satu lagi komponen mengatasi banjir iaitu kolam takungan.

“Saya sedang melihat dan meneliti bagaimana kita dapat menyediakan kolam-kolam ini bagi tujuan menahan air supaya ia tidak tertumpu ke kawasan banjir ketika hujan lebat. Ia akan membantu meminimakan kesan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat dan Taklimat Kawasan Banjir di DUN Meru di Bilik Mesyuarat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Dewan Orang Ramai, Pekan Meru.

Izham berkata, beliau akan memanggil mesyuarat lanjut dalam tempoh terdekat bagi membincangkan masalah ini bersama Persatuan Kubur Hokkien, pemaju SP Setia dan Fairy Park.

Di samping itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) turut diminta meneliti serta memperkemas kerja-kerja penyelenggaraan membabitkan kawasan di bawah tanggungjawab mereka supaya kejadian banjir dapat dielakkan.