Categories
NASIONAL

Nurul Izzah mahu isu kondo bising diselesai

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 23 FEB : Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memberi jaminan mengambil serius permasalahan dibangkitkan penduduk Gasing Indah membabitkan projek pembinaan kondominium mewah di kawasan itu.

Komitmen itu dizahirkan Naib Presiden KEADILAN melalui catatan Facebooknya pagi ini.

Beliau berkata, masalah tersebut dibangkitkan dalam pertemuannya bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, 26 Febuari depan.

“Saya bawa isu ini ke mesyuarat bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 26 hari bulan ini,” tulisnya.

Gasing IndahPenduduk Gasing Indah sebelum ini mendakwa, projek diseliakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui sebuah syarikat pembinaan meneruskan kerja pada cuti hujung minggu dan berlanjutan hingga lewat malam.

Perkara itu menimbulkan masalah bunyi bising di kawasan kediaman sekitar Petaling Jaya dan Lembah Pantai.

Masalah berlanjutan apabila DBKl juga didakwa gagal mengambil sebarang tindakan terhadap perkara tersebut walaupun aduan mengenainya dibuat sebanyak dua kali tahun lalu.

EZY

Categories
SELANGOR

DBKL digesa prihatin aduan bunyi bising pembinaan kondo

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 23 FEB : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa mengambil perhatian terhadap rungutan penduduk Gasing Indah berhubung masalah bunyi bising membabitkan projek pembinaan kondominium Petalz Resident di kawasan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Risyakaran, berkata DBKL didakwa gagal mengambil sebarang tindakan walaupun aduan mengenainya dibuat sebanyak dua kali.

“Kita tidak mahu masalah ini terus berlanjutan dan menganggu lebih 600 kediaman penduduk di sekitar kawasan ini.

Rajiv“Atas tanggugjawab itu, DBKL perlu memastikan ada wakil atau pegawai mereka memantau projek ini supaya syarikat kontraktor tidak semudahnya melanggar beberapa prosedur sepatutnya.

“Paling tidak pun, kita harap ada pegawai yang boleh turun padang pada setiap hujung minggu untuk memantau projek ini,” katanya ketika mengadakan sidang media di Restoran Yasin Curry House, di sini, hari ini.

Projek diseliakan DBKL melalui sebuah syarikat pembinaan dijalankan bersebelahan Jalan Klang Lama membabitkan kawasan sekitar Petaling Jaya dan Lembah Pantai.

Projek tersebut mula beroperasi pertengahan tahun lalu dan aduan mengenainya dibuat sejak Disember tahun lalu.

Ia menimbulkan rasa kurang senang bagi penduduk setempat apabila syarikat kontraktor itu menjalankan operasi pada hujung minggu dan lewat malam.

Tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, Pengerusi Penduduk Gasing Indah, Lfred Chua menuntut syarikat kontraktor menjalankan operasi mengikut ketetapan waktu yang sewajarnya.

“Kita tidak menolak pembangunan, tapi sepatutnya mereka ikut masa dan waktu sesuai dan tidak ganggu penduduk.

“Tapi malangnya kerja pembinaan tetap diteruskan hingga jam 11 malam dan waktu cuti umum dan ini yang menjadi rungutan bagi kami,” katanya.

EZY