Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Singgahsana PM dibina hasil pengorbanan banyak pihak

AYER KEROH, 8 DIS: Naib Presiden, Tian Chua menegaskan soal Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-8 sudah lama ditetapkan dan dibawa ke meja rundingan Pakatan Harapan (PAKATAN) tanpa perlu dipertikaikan.

Sebaliknya beliau berkata, sepanjang 20 tahun perjuangan KEADILAN ramai yang sudah berkorban untuk mengangkat parti ke tahap sekarang walaupun ada antara mereka telah meninggal dunia dan tinggalkan parti, namun mereka tetap perlu dikenang pengorbanannya.

“20 tahun lalu nak sebut ‘Hidup Anwar’ berseorangan berapa dalam kalangan kita yang berani? Kita harus ingat singgahsana perdana menteri ini diukir, direka bentuk dengan pengorbanan dan sumbangan pelbagai pihak.

“Tanpa pengorbanan (Dato’ Seri) Mohamed Azmin, tanpa rekod kecemerlangan Selangor, adakah kita boleh mencapai kemenangan? Kita juga harus ingat 20 tahun yang menyumbang dan berkorban ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Tahunan Nasional KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.

Katanya, walaupun ada ketika tidak bersependapat namun sejarah mengemudi KEADILAN tidak harus dilupakan dan bukannya dibalas dengan sorakan pengkhianat atau pecat.

“Walaupun banyak kali saya tidak bersependapat tapi kongres ini tidak boleh lupakan sejarah. Ramai juga yang telah meninggal dan tidak bersama dengan wahana ini.

“(Tetapi) inilah yang menjadikan parti kita kuat. Ini nak sorak-sorak pengkhianat. Saya tidak takut untuk berdepan dan berbahas. Hujah lawan hujah.

“(Tidak perlu) menganggap kita pengkianat kerana kita telah bekorban dan menyumbang selama 20 tahun (hanya) kerana tidak bersependapat dalam beberapa perkara,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar: Kongres medan kembali kepada perjuangan asal

AYER KEROH, 7 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pentas Kongres Nasional Tahunan KEADILAN kali ini menjadi medan kepada ahli-ahli kembali ke landsasan asal perjuangan.

Presiden KEADILAN itu turut yakin tiada sebarang perpecahan dalam parti malah gembira dengan suasana kongres yang berjalan lancar.

“Tiada istilah dua kem, perbezaan pendapat bagi saya tiada salahnya, tetapi mesti ada satu haluan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres Tahunan Nasional KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Katanya, KEADILAN akan sentiasa menyokong Kerajaan dalam mencari penyelesaian isu yang menjadi kegelisahan rakyat.

Anwar berkata, KEADILAN juga mengutamakan penyelesaian segera isu-isu tersebut dan berharap konsep perkongsian kekayaan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanjung Piai: Anwar gembira pimpinan terbuka dengar pandangan, mesej rakyat

AYER KEROH, 7 DIS: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira dengan tindak balas positif daripada pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) yang mengambil pengajaran susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini.

Beliau berkata, keputusan PRK itu perlu dijadikan peringatan supaya tidak terlalu yakin dan terus mendengar isyarat yang diberikan rakyat.

“Saya ucap terima kasih kerana dalam mesyuarat PAKATAN lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengambil pendirian mendengar dan membuat penilaian penuh teliti pandangan oleh semua pimpinan termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya rasa lega kerana sikap yang lebih positif, bersedia untuk menerima kenyataan. Perlu diingatkan rakyat di bawah beri mesej jelas, pimpinan di atas dengar baik-baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Kongres Tahunan Nasional KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Kekalahan di Tanjung Piai menyaksikan merupakan kekalahan keempat PAKATAN dalam PRK pasca PRU-14 selain di Semenyih, Rantau dan Camaeron Highlands.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaji semula IPCMC, pertahan hak penjawat awam

AYER KEROH, 7 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) supaya tidak dilihat untuk menghukum anggota polis.

Presiden KEADILAN itu berkata, perkara utama adalah menegakkan keadilan berdasarkan keluhuran perundangan dan hak polis sewajarnya dipertahan serta diberikan pengiktirafan.

“Saya ingin menggesa kerajaan supaya melihat semula IPCMC dan mempertahan hak polis supaya keluhuran perundangan ditegakkan tetapi janganlah beri gambaran seolah-olah IPCMC ini hanya membicarakan soal salah laku polis.

“Kita mahu polis diberikan pengiktirfan, kebajikan, pertahankan peranan mereka menangani masalah keganasan dan masalah jenayah yang meningkat.

“Cuma kita nak kawal jangan ada keterlanjuran dalam tindakan mereka tetapi saya percaya perkara ini boleh kita kaji semula memandangkan kita sedang menilai semula dan akan membentangkan cadangan tersebut pada Mac,” katanya.

Dalam ucapan sama beliau turut mengingatkan supaya hak penjawat awam juga perlu dipertahankan walaupun masih terdapat segelintir daripad mereka yang bersekongkol dengan sistem lama.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Kongres Tahunan Nasional KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar: ‘Lawan Tetap Lawan’ bukan dengan kawan sendiri

AYER KEROH, 7 DIS: Semua pimpinan KEADILAN dingatkan supaya berdisiplin dalam mematuhi peraturan parti dan bukannya terus bertelagah sesama sendiri.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, slogan ‘Lawan Tetap Lawan’ yang dilaungkan sejak sekian lama bukan bermaksud berlawan sesama sendiri.

Katanya, beliau mengambil sikap sederhana terhadap semua pandangan yang diberikan pimpinan dan mengakui mempunyai kelemahan serta akan terus memperbaikinya supaya parti terus bergerak ke hadapan.

“Saya sendiri akui ada kelamahan dan kekurangan serta cuba perbaikinya. Saya minta rakan-rakan serta semua pimpinan ingat bahawa disiplin mesti ada dalam parti.

Perwakilan dan pemerhati melaungkan reformasi ketika sidang perbahasan ucapan presiden dalam Kongres Nasional KEADILAN Ke-14 berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Hormat dan kepatuhan mesti wujud dalam parti, kita boleh ada jaringan fahaman dan aliran tetapi tidak boleh kekalkan faham puak-puak yang boleh memecahkan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Kongres Tahunan Nasional KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Katanya, KEADILAN pernah bersatu dan berdisiplin ketika dalam keadaan getir satu masa dahulu malah keadaan itu tidak seharusnya berubah walaupun kini berkuasa di peringkat persekutuan dan negeri.

Dalam ucapan sama Anwar turut melahirkan kekecewaan susulan insiden pertelingkahan ketika Kongres Tahunan AMK semalam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemimpin perlu tekad mengatasi jurang kemiskinan ekonomi

AYER KEROH, 6 DIS: Pemimpin negara perlu ada tekad politik yang tinggi untuk mengurangkan jurang kemiskinan antara golongan kaya dan miskin supaya ia tidak terus melebar.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia masih belum terlambat untuk mengubah perkara berkenaan dan perlu terus memacu pertumbuhan menerusi pelaburan rancak daripada pelbagai sudut

Katanya, pesan Profesor Diraja Ungku Aziz dalam rencananya tentang kemiskinan pada tahun 1961 perlu dijadikan iktibar dalam menangani kemiskinan kerana soal ekonomi merupakan asas utama pentadbiran.

“Yang kita setuju tanpa ragu adalah keperluan memacu pertumbuhan dengan segala cara untuk menarik pelaburan asing dan domestik serta pelaburan asing terus.

“Menerima kenyataan bahawa langkah-langkah lama itu tidak berhasil. Kita tidak nafikan Dasar Eekonomi B ada kesannya dalam komuniti sosial tetapi pada 197. Rancangan Malaysia (RMK) sudah bertahun sehingga sekarang hasilnya masih belum memuaskan.

“Kekuatan golongan pemodal dan kaya terlalu hebat. Kalau kepimpinan tidak mempunyai tekad politik, keberanian dan kekuatan, tidak boleh rombak sistem yang disebut kapitalis, akhirnya bangkit rakyat kerana sistem itu menyebabkan kesenjangan maha kaya dengan miskin.

“Kita belum terlambat. Oleh yang demikian dasar kita haruslah mengelak keadaan sedemikian terus-menerus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Kongres Tahunan Nasional KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu memberikan tumpuan dalam soal pengangguran dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 serta bijak menangani masalah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kongres Nasional PKR 2019: Persidangan penuh bersejarah hari ini

MELAKA, 7 DIS: Meraikan reformasi selama 20 tahun, hari ini Kongres Nasional PKR 2019 bersidang penuh bersejarah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.

Menumpukan agenda penerusan reformasi yang menjadi asas perjuangan parti, pentas persidangan akan menyaksikan buat pertama kali pengasasnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap menyampaikan ucapan dasar sebagai Presiden parti setelah beliau dipilih memegang jawatan itu tanpa bertanding pada pemilihan tahun lepas.

Anwar dijadual menyampaikan ucapan dasar di hadapan kira-kira 3,000 perwakilan pada 9.20 pagi sejurus selepas ucapan aluan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail.

Menerusi ucapan dasar itu, Anwar sekali gus merasmikan kongres bertema ‘20 Tahun Keadilan : Dua Dekad Merakyatkan Reformasi’.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan KEADILAN menuju masuk ke Kongres Nasional KEADILAN Ke-14 berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Ia kemudian disusuli sesi perbahasan untuk membahaskan ucapan dasar tersebut.

Seramai 16 perwakilan akan menyertai perbahasan sebelum persidangan dijangka ditangguh pukul 4.30 petang.

Turut dijangka menjadi tumpuan perwakilan dan penyokong parti, bahkan pemerhati politik, adalah permuafakatan antara dua pemimpin utama parti yang mengetepikan perbezaan pandangan sehingga dilihat seolah-olah berlaku pergeseran politik antara mereka dan penyokong masing-masing.

Semalam, hari kedua kongres tahunan menyaksikan Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 berlangsung serentak dalam suasana yang berbeza apabila kongres sayap AMK dicemari insiden kekecohan.

Kongres Nasional PKR ke-14 itu akan berakhir esok.

-BERNAMA