Categories
AGENDA NASIONAL

Konkrit runtuh: Kerja di tapak pembinaan dihenti serta-merta

SHAH ALAM, 19 JUN: Kerja di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash) dihentikan serta-merta berikutan runtuhan perancah besi lewat petang tadi.

Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (Prolintas) dalam kenyataan memaklumkan arahan dikeluarkan susulan insiden yang mengakibatkan dua pekerja warga Bangladesh cedera.

“Pemaju dan kontraktor utama terlibat akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan,” menurutnya menerusi kenyataan malam ini.

Syarikat konsesi lebuh raya itu menjelaskan insiden itu tidak membabitkan pengguna lebuh raya atau orang awam kerana berlaku dalam kawasan pembinaan bertutup.

“Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) Dash berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan perancah besi terlibat,” tambah Prolintas.

Terdahulu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan bagi kerja menyelamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.14 malam tadi dan tiba di lokasi kejadian 13 minit kemudian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua pekerja Bangladesh cedera dalam runtuhan konkrit lebuh raya

SHAH ALAM, 19 JUN: Dua pekerja warga Bangladesh cedera ringan susulan insiden runtuhan konkrit lebuh raya yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) Sungai Buloh-Kota Damansara hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.14 malam tadi dan tiba di lokasi kejadian 13 minit kemudian.

“Mangsa masing-masing berusia 20-an dan 40-an yang bekerja di bawah tapak pembinaan setinggi 12 meter itu cedera akibat terkena serpihan batu konkrit serta kerangka besi.

“Mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh menaiki ambulans,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Norazam, tiada mangsa lain terbabit dalam insiden berkenaan dan operasi tamat pada jam 7.34 malam.