Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Amirudin: Dasar PN mirip BN, abai semangat reformasi

AMPANG, 26 JULAI: Dasar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin mirip pentadbiran Barisan Nasional (BN) apabila mereka mula menekan media dan parti pembangkang, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berkata amalan itu bukan ciri-ciri reformasi, bahkan PN dilihat cuba memberikan nyawa semula kepada Umno dan BN untuk kembali berkuasa.

“Indeks kebebasan media melonjak dalam tempoh 22 bulan negara ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) tetapi kini merosot semula.

“Masa mula-mula mentadbir, PN kata kerajaan hari ini merupakan kerajaan untuk rakyat tetapi sebaliknya berlaku apabila peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang turut ditarik,” katanya pada Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma hari ini.

Dato’ Menteri Besar juga tidak menolak kemungkinan PN berdepan masalah untuk menentukan logo parti yang bakal digunakan calon mereka pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Lama-kelamaan PN akan jadi khadam Umno dan BN, nanti apabila PRU15 calon PN guna logo serta bendera Umno dan BN, kita tengoklah nanti,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Akar umbi tekad kukuhkan parti, konvensyen KEADILAN bidas pemimpin khianat

AMPANG, 26 JULAI: Hampir 1,000 perwakilan yang hadir Konvensyen Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bertekad untuk mengukuhkan lagi kekuatan parti meskipun berlaku pengkhianatan membabitkan segelintir pemimpin.

Antara mereka adalah perwakilan dari Selangor, Fariz Musa yang mengagahkan diri menghadiri konvensyen tersebut demi perjuangan parti sekalipun terpaksa berkerusi roda.

“Saya ahli cabang Selayang tetapi sejak keadaan kesihatan tidak mengizinkan saya terpaksa menetap di kampung di Marang, Terengganu.

Fariz Musa pada Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma pada 26 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kepada mereka yang keluar parti, keluarlah tetapi kami ahli KEADILAN tetap istiqamah dalam perjuangan dan semangat reformasi kami tidak pernah padam,” katanya.

Perwakilan Sarawak, Umie Liau turut berkongsi tekad walau beliau mulanya berbelah bagi untuk menghadiri konvensyen tersebut susulan peningkatan kes Covid-19 di negerinya.

“Saya tiba di Kuala Lumpur semalam dan semalam juga Kuching diisytihar zon merah Covid-19, hati mana tidak bimbang kerana ia melibatkan nyawa tetapi saya dan rakan gagahkan diri menghadiri konvensyen ini demi parti dan perjuangan rakyat Sarawak,” katanya.

Perwakilan Kuala Lumpur Harcharan Singh berkata konvensyen tersebut memberi peluang kepada pemimpin akar umbi mendapat maklum balas berhubung pelbagai isu berbangkit.

“Saya harap program seperti ini diadakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semangat ahli sentiasa berada pada tahap terbaik selepas dikejutkan dengan pengkhianatan beberapa pemimpin, selain persediaan menjelang pilihan raya umum ke-15,” katanya.

Dalam konvensyen berkenaan, sebahagian pemimpin parti termasuk Amirudin mengecam perbuatan segelintir bekas pemimpin yang mengkhianati KEADILAN.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Pemimpin tergelincir demi kuasa patut jadi pengajaran

AMPANG, 26 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengambil iktibar sikap segelintir bekas pemimpin tergelincir daripada asas perjuangan selepas memegang tampuk pemerintahan.

Anwar juga mengingatkan pemimpin KEADILAN agar tidak lupa diri sekiranya rakyat memberi kepercayaan sekali lagi untuk mentadbir negara.

“Dalam perjuangan ramai lulus ujian saat diuji dengan kesusahan atau penderitaan tetapi ramai gagal apabila diuji dengan kesenangan.

“Apabila memegang tampuk kekuasaan, kecuaian dan kelalaian berlaku malah perjuangan mula tergelincir dari landasan dan sebaik tergelincir, kita bukan lagi dalam agenda KEADILAN dan orang seperti ini silakan keluar,” katanya berucap pada Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma, hari ini.

Tegas Presiden KEADILAN, perjuangan KEADILAN bukan untuk memberi kekayaan kepada kroni atau kaum keluarga sebaliknya berpaksikan keadilan.

“Kita tidak boleh bicara soal ekonomi tanpa keadilan, kita tidak boleh bicara keadilan kalau kayakan kaum keluarga dan jika ini berlaku, maknanya kita tidak istiqamah dalam perjuangan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Urus tadbir telus, tiada tiris kunci kejayaan PAKATAN

AMPANG, 26 JULAI: Ekonomi Selangor di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal mampan sejak mentadbir negeri lebih sedekad lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata negeri mempunyai rizab kukuh disebabkan prinsip telus dan kebertanggungjawaban menjaga amanah rakyat.

“Selangor kekal penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan merekodkan pelaburan RM17 bilion tahun lalu, diikuti sebuah lagi negeri PAKATAN iaitu Pulau Pinang dengan RM16.9 bilion.

“…prinsipnya jelas iaitu menolak penyalahgunaan kuasa dan ketirisan, ini kunci kejayaan kita, ” katanya berucap pada Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma hari ini.

Selangor kekal penyumbang terbesar KDNK negara sebanyak 23.7 peratus tahun lalu selain merekodkan pelaburan tertinggi RM18.7 bilion dalam tempoh 30 tahun.