Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kohijrah rancang sedia tapak peniaga kendera saji di Shah Alam, Morib

KUALA TERENGGANU, 22 SEPT: Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) merancang menyediakan tapak khas untuk peniaga kendera saji di Shah Alam dan Pantai Morib.

Pengurusnya Mohammad Syukri Ismail berkata ia dapat menggalakkan trend jualan menggunakan kendera saji di negeri ini.

“Selepas melihat Terengganu mampu mewujudkan tapak perniagaan yang hebat untuk peniaga kendera saji, kami juga yakin ia akan berjaya dilaksanakan di Selangor.

Pengurus Koperasi Wisma Kohijrah, Mohammad Syukri Ismail ditemubual media selepas lawatan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail melawat ke tapak Foodtruck Drawbridge, Kuala Terengganu pada 20 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sekiranya terdapat satu lokasi khusus untuk kendera saji, kita yakin ia akan menjadi pusat tumpuan orang ramai,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika melawat Tapak Food Truck Drawbridge bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini semalam.

Turut sama ialah EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail.

Dalam perkembangan sama, Mohammad Syukri berkata penduduk Selangor boleh membuat pinjaman dengan Kohijrah untuk membeli kendera saji.

“Jika ada yang berminat untuk membelinya, mereka hanya perlu bawa tiga bulan penyata bank dan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kita akan buat semakan.

“Pemohon juga boleh membuat pilihan harga kendera saji iaitu sama ada berharga RM26,500 atau RM50,000,” katanya.

Setakat hari ini, Kohijrah dengan kerjasama Agro Bank Shah Alam sudah meluluskan 50 kendera saji.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kohijrah tawar program latihan kepada usahawan Seldec

SHAH ALAM, 25 JUN: Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah) menawarkan program latihan kepada usahawan baharu untuk memantapkan strategi perniagaan bagi menarik pembeli dalam pasaran terbuka.

Pengurusnya Mohammad Syukri Ismail berkata tawaran itu diberi menerusi program Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) yang dibangunkan bersama Selangor Industrial Corporation (SIC).

“Kohijrah memainkan peranan membangunkan usahawan menerusi program latihan bersama agensi yang ada termasuk Institut Koperasi Malaysia.

“Kita jemput para usahawan untuk meletakkan produk secara percuma di Kedai Serbaneka Kohijrah dan kita uruskan strategi pemasaran,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut beliau, pemasaran produk di Kedai Serbaneka Kohijrah tidak tertumpu kepada usahawan Selangor sahaja malah terbuka untuk peniaga di seluruh Malaysia.

“Latihan yang kami berikan kepada peserta sebelum ini berjaya mengubah beberapa usahawan baharu menjadi usahawan kelas menengah apabila produk mereka semakin dikenali setelah tampil dengan pembungkusan lebih menarik,” katanya.

Kerajaan Negeri memperkenalkan Seldec bagi membolehkan usahawan memasarkan produk ke seluruh Selangor dengan pembelian secara dalam talian sambil disokong Seldec Rider.

Seldec menyasarkan 7,800 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun selain pembukaan lebih banyak hab pengumpulan produk untuk dipasarkan seluruh Selangor.

Categories
SELANGOR

KoHijrah upaya usahawan dengan kendera saji

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 APR: Koperasi Hijrah Selangor Berhad (KoHIJRAH) mengambil inisiatif mengupayakan lagi usahawan dari kalangan penjaja atau kenderaan persendirian kepada konsep kendera saji.

Pengurus KoHIJRAH, Mohammad Syukri Ismail berkata, pihaknya menawarkan kendera saji yang terbahagi kepada dua pilihan iaitu Medium truck dan High truck jenis Toyota Dyna 3,000cc.

“Kedua kendera saji itu dijual pada harga bawah RM98,000 dan kita berharap dengan tawaran ini dapat membantu usahawan merealisasikan cita-cita menjadi usahwan food truck berjaya,” katanya dalam kenyataan.

Syukri berkata, KoHIJRAH yang beroperasi pada November tahun lalu di bawah seliaan Yayasan HIJRAH Selangor itu juga menawarkan Mobile Cart dengan kelengkapan empat unit dapur untuk membakar, mengoreng dan mencelup dengan harga RM 30,000.

“Ia juga dilengkapi dua singki bersama satu tangki air bersih dan satu tangki air kumbahan bagi menjaga kebersihan.

“Kita juga menawarkan unit lori pickup pasar malam jenis Daihatsu hijet pickup dijual dengan harga dibawah RM45,000,” katanya.

Syukri berkata, sehingga kini pihaknya sudah mengeluarkan tujuh unit mobile cart dan sembilan unit daihatsu hijet kepada usahawan.

Selain itu, KoHIJRAH juga menyediakan tiga tapak food truck untuk usahawan menjalankan perniagaan mereka antaranya tapak side walk food truck di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kolej 11 dan 10 serta di Suria Jaya Mall dengan kadar sewaan tapak serendah RM12 sehari atau RM300 sebulan bermula jam 12.00 tengahhari hingga 11 malam.