Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

WHO: ‘Terlalu awal’ isytihar darurat kesihatan global

GENEVA, 24 JAN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis mengatakan “terlalu awal” untuk mengisytiharkan wabak koronavirus baharu di China sebagai darurat kesihatan global, lapor agensi berita Xinhua.

“Hari ini saya tidak mengisytiharkan darurat kesihatan global. Sama seperti semalam, Jawatankuasa Darurat berbelah bahagi sama ada wabak itu mewakili Amaran Darurat Kesihatan Antarabangsa (PHEIC) atau tidak,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang akhbar selepas mesyuarat tertutup jawatankuasa itu.

“Meskipun wabak itu menular di China, tetapi ia belum boleh dianggap darurat kesihatan global,” kata Tedros, sambil menambah penilaian risiko WHO mendapati wabak itu mempunyai risiko sangat tinggi di China dan di peringkat serantau serta global.

“Saya ingin ulangi bahawa hakikat saya tidak mengisytiharkan PHEIC pada hari ini bukan bermakna WHO tidak mengambil serius keadaan itu,” katanya.

Jawatankuasa Darurat itu telah bermesyuarat selama dua hari bagi membincangkan isu berkenaan.

PHEIC ditakrifkan WHO sebagai satu peristiwa luar biasa yang menimbulkan risiko kesihatan awam kepada negara-negara lain, melalui penyebaran penyakit dan memerlukan respon antarabangsa yang selaras.

Tedros berkata sebanyak 584 kes telah dilaporkan kepada WHO, termasuk 17 kematian. Sejumlah 575 kes dan semua kematian dilaporkan di China. Kes lain turut dilaporkan di Jepun, Korea, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Tedros berkata China telah mengambil langkah-langkah perlu dan WHO merakamkan penghargaan di atas kerjasama yang diberikan negara itu.

Buat masa ini, WHO tidak mengesyorkan apa-apa larangan perjalanan atau sekatan perdagangan yang lebih menyeluruh dan mencadangkan pemeriksaan keluar di lapangan terbang sebagai sebahagian langkah komprehensif untuk mengekang penularan wabak.

Semua negara harus mengambil langkah untuk mengesan kes-kes koronavirus, termasuk di kemudahan kesihatan, kata Tedros.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesakit di Sabah negatif koronavirus – KKM

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) ke atas seorang pesakit yang dirawat di wad isolasi di sebuah hospital di Sabah adalah negatif.

Keputusan terbaharu itu menjadikan keempat-empat kes disyaki dijangkiti 2019-nCoV, masing-masing dua kes di Selangor dan Sabah yang dilaporkan terdahulu, adalah negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata gejala yang dialami oleh pesakit di Sabah itu adalah disebabkan oleh jangkitan influenza A.

“Dimaklumkan bahawa keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV yang dijalankan ke atas kes disyaki itu oleh pihak IMR (Institut Penyelidikan Perubatan), mengesahkan beliau negatif bagi jangkitan Novel Coronavirus.

“Gejala yang dialami oleh beliau adalah disebabkan oleh jangkitan influenza A. Beliau kini telah beransur pulih dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam kenyataan awal sebelum ini, Datuk Dr Noor Hisham berkata kementerian melalui Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima laporan empat kes disyaki dijangkiti 2019-nCoV dan ujian makmal ke atas sampel tiga daripada empat individu berkenaan didapati negatif bagi jangkitan 2019-nCoV.

Media sebelum ini melaporkan China mengenakan perintah kuarantin di Wuhan susulan penularan wabak coronavirus yang telah mengakibatkan sembilan maut, manakala lebih 400 orang dijangkiti virus itu, setakat ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO juga telah menggesa negara anggotanya untuk memantapkan tahap kesiapsiagaan di negara masing-masing bagi menghadapi potensi penularan 2019-nCoV.

Sehubungan itu, KKM telah bersiap siaga dengan mengeluarkan tatacara perubatan virus itu bagi tujuan rujukan selain bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperkukuhkan aktiviti saringan di semua pintu masuk antarabangsa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Rakyat Malaysia dinasihat elak kunjungi Wuhan

PUTRAJAYA, 23 JAN: Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan perjalanan tidak penting ke Wuhan, China serta lain-lain kawasan yang mungkin terjejas dengan penularan jangkitan koronavirus.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di kawasan berkenaan dinasihatkan supaya memberikan keutamaan tertinggi kepada aspek kesihatan serta keselamatan diri masing-masing dengan mengambil langkah berjaga-jaga, di samping mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Nasihat perjalanan itu dikeluarkan susulan keputusan pihak berkuasa China menyekat sebarang perjalanan keluar dari Wuhan berkuat kuasa Khamis (23 Januari), di samping keputusan beberapa syarikat penerbangan menggantung operasi penerbangan mereka di Wuhan sehingga notis selanjutnya.

Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan konsular boleh menghubungi pejabat diplomatik Malaysia terdekat, dari senarai berikut:

1) Pejabat Kedutaan Malaysia in Beijing: https://www.kln.gov.my/web/chn_beijing/home

2) Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou: https://www.kln.gov.my/web/chn_guangzhou/home

3) Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong: https://www.kln.gov.my/web/chn_hong-kong/home

4) Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming: https://www.kln.gov.my/web/chn_kunming/home

5) Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Nanning: https://www.kln.gov.my/web/chn_nanning/home

6) Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai: https://www.kln.gov.my/web/chn_shanghai/home

7) Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Xi’an: https://www.kln.gov.my/web/chn_xian/home

8) Malaysian Friendship & Trade Centre, Taipei: https://www.kln.gov.my/web/twn_taipei/home

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: China kenakan perintah kuarantin di Wuhan

KUALA LUMPUR, 23 JAN: China mengenakan perintah kuarantin di Wuhan, susulan penularan wabak koronavirus.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam catatan Twitter yang berkongsi mengenai perkara itu memaklumkan 11 juta penduduk di situ juga tidak dibenarkan keluar.

“Semua pengangkutan awam seperti bas, subway, feri dihentikan sementara bermula 10 pagi 23 Januari. Lapangan terbang ditutup dan semua penerbangan dari Wuhan dibatalkan,” menurut catatat tersebut.

Media semalam melaporkan, setakat ini sembilan maut akibat virus itu, manakala kira-kira 400 lagi telah dijangkiti.

Amerika Syarikat turut mengumumkan virus berkenaan telah memasuki negara itu.

Pada Isnin, Suruhanjaya Kesihatan Negara China mengesahkan jangkitan manusia kepada manusia yang membabitkan koronavirus baharu itu.

Sebelum ini, virus itu dianggap hanya boleh dijangkiti selepas terdedah kepada haiwan yang sakit.

– BERNAMA