Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Tiada rancangan larang kemasukan pelancong China

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tiada rancangan untuk melarang pelancong China memasuki negara ini buat masa ini susulan merebaknya wabak koronavirus di Wuhan, China.

Buat masa sekarang, kerajaan hanya akan menjalankan saringan ke atas penumpang dan pelancong yang tiba di negara ini, katanya.

“Jangan halang mereka. Kita akan periksa mereka (pelancong), dengan memeriksa (mereka) ia akan membolehkan kita mengesan (sebarang tanda virus itu) pada peringkat awal,” katanya pada persidangan akhbar selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini, hari ini.

Hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiga daripada lapan warga China yang dikuarantin di Johor Bahru positif koronavirus, atau disebut juga Wuhan koronavirus.

Ketiga-tiga pesakit itu, yang diasingkan dan dirawat di Hospital Sungai Buloh, adalah keluarga rapat kepada seorang lelaki warga China berumur 66 tahun dari Wuhan, yang tiba di Singapuara pada 20 Januari dan disahkan pada 23 Januari sebagai kes pertama Singapura dengan individu yang sah positif mengalami virus itu.

Ketiga-tiga kes positif itu di Malaysia terdiri daripada isteri pesakit di Singapura, 65, dan dua cucu pasangan berkenaan.

Ketika ditanya jika kerajaan akan mengkaji semula pengecualian visa 15 hari bagi pelancong dari China sekiranya wabak itu bertambah buruk, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak akan berbuat demikian pada masa sekarang.

“Pada masa sekarang belum lagi tetapi kita akan memeriksa semua pelancong yang datang ke sini terutama mereka dari China,” katanya.

Mengulas mengenai tiga warga China yang disahkan positif koronavirus, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia perlu terus berjaga-jaga dan memakai topeng mulut dan hidung bila berada di kawasan ramai orang.

Beliau berkata adalah sukar untuk sesebuah kerajaan mengekang penularan wabak tertentu terutamanya dalam situasi dunia kini di mana manusia dan barangan dengan mudah bergerak dari satu negara ke negara lain.

“Oleh itu, membendung daripada jangkitan penyakit adalah lebih rumit daripada dulu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Penumpang antarabangsa, krew penerbangan diimbas

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memeriksa penumpang antarabangsa di lapangan terbang pintu masuk utama di seluruh negara susulan penularan wabak coronavirus di Wuhan, China.

Sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB bersama-sama agensi dan syarikat penerbangan berkaitan telah mengambil langkah tambahan bagi memastikan risiko pendedahan diminimumkan untuk keselamatan semua, terutama penumpang dan kakitangan yang bekerja di terminal.

“Kami memberi jaminan kepada semua bahawa kami mengambil serius ke atas wabak ini dan kami tidak akan menjejaskan kesejahteraan pemegang kepentingan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara langkah yang diambil oleh kementerian dan disokong oleh MAHB iakah menjalankan pemeriksaan haba ke atas penumpang dan anak kapal yang tiba dari China.

“Kami menyediakan ruang perubatan khas untuk tujuan kuarantin di pintu masuk ketibaan untuk menempatkan penumpang yang menunjukkan tanda-tanda dijangkiti virus berkenaan.

“Selain itu, kami telah menetapkan pintu masuk lain bagi ketibaan penerbangan masuk dari China di kawasan yang lebih dekat dengan tempat khas perubatan bagi mempercepat prosedur kuarantin dan meminimumkan risiko pendedahan kepada orang ramai,” kata MAHB.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu pemberita bahawa tiga orang yang terdiri daripada lapan warga China yang dikuarantin di Johor Bahru, positif coronavirus novel, yang juga dikenali sebagai coronavirus Wuhan.

Ketiga-tiganya kini dirawat di wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh.

MAHB berkata rakan kongsi syarikat penerbangan itu membuat pengumuman perlu kepada penumpang mereka serta mengedarkan Kad Amaran Kesihatan (HAC) yang dikeluarkan oleh kementerian untuk penumpang memaklumkan mengenai keadaan kesihatan mereka.

HAC juga diedarkan di kaunter imigresen.

Mereka yang demam atau batuk atau menghadapi kesukaran bernafas akan dibawa ke hospital terdekat sebaik tiba.

“Lapangan Terbang telah menyediakan topeng dan sanitari tangan untuk kakitangan, di lokasi strategik di seluruh terminal.

“Malaysia Airports mengingatkan orang ramai supaya memakai topeng setiap masa dan menggunakan sanitizer tangan untuk mengekalkan kebersihan maksimum semasa wabak ini,” kata MAHB.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Kementerian Kesihatan aktifkan dua pasukan khas hadapi koronavirus

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kementerian Kesihatan mengaktifkan Pasukan Bertindak Cepat (RRT) dan Pasukan Penilaian Cepat (RAT) yang ditugaskan menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pasukan khas itu ditubuhkan selepas tiga kes positif jangkitan koronavirus disahkan di negara ini, lapor Berita Harian.

“Semua anggota kesihatan diarah memberi perhatian serius terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul serta mengamalkan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan yang optimum sepanjang masa.

“Saringan pesakit semua premis kesihatan perlu dilaksanakan dengan teliti, bagi memastikan kes yang memenuhi akan dirujuk untuk penyiasatan selanjutnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, selain tiga kes positif yang dikesan membabitkan tiga pelancong China itu, secara keseluruhannya Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) turut menerima makluman sembilan kes disyaki jangkitan virus itu, tetapi ujian makmal mengesahkan semuanya negatif.

“KKM memandang serius wabak itu dan tatacara mengenainya yang membabitkan premis kesihatan awam dan swasta sudah dikeluarkan baru-baru ini,” katanya.

Langkah-langkah pencegahan untuk melindungi diri anda dan orang lain daripada virus NovelCoronavirus atau 2019-nCoV.
Sumber Grafik: KKM
Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Positif koronavirus, tiga warga China dirawat di Sungai Buloh

PUTRAJAYA, 25 JAN: Tiga warga China yang di kuarantin di Johor Bahru, Johor disahkan positif bagi koronavirus, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mereka merupakan ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki yang berusia 66 tahun dari Wuhan, China yang didapati positif bagi virus itu di Singapura, katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tiga yang terlibat merupakan seorang wanita berusia 65 tahun, yang merupakan isteri pesakit di Singapura itu, dan dua cucu lelakinya.

Dr Dzulkefly berkata ketiga-tiga pesakit terbabit diasingkan dan dirawat di Hospital Sungai Buloh memandangkan ia pusat rujukan bagi penyakit berjangkit.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga sedang menjalankan pengesanan sentuh mereka yang mungkin telah berhubung dengan pesakit terbabit di Johor Bahru.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat 11 kes disyaki 2019-nCoV di negara ini yang mempunyai sejarah perjalanan ke China, sudah disaring dan 10 daripadanya disahkan negatif.

“Seorang lagi yang juga rakyat Malaysia bagaimanapun sedang diasingkan di Hospital Kuala Lumpur sementara menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.

Mengenai rawatan kepada pesakit, Dr Dzulkefly berkata buat masa ini tidak terdapat ubat khusus untuk jangkitan koronavirus dan pesakit hanya dirawat menggunakan ubat-ubatan sedia ada mengikut simptom yang ditunjukkan seperti batuk atau demam.

Katanya, siasatan yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pelbagai pihak yang terlibat juga masih tidak dapat memberikan jawapan yang jelas serta tidak dapat mengenalpasti bagaimana sebenarnya jangkitan virus itu menular kepada manusia.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Seorang doktor di China maut ketika tangani koronavirus

BEIJING 25 JAN: Seorang doktor di hospital di wilayah Hubei, China disahkan maut dipercayai akibat jangkitan virus koronavirus, lapor Reuters.

Memetik Twitter China Global Television Network, Liang Wudong, 62, yang berkhidmat di Hospital Hubei Xinhua adalah antara doktor yang bertanggungjawab menangani kes wabak koronavirus yang bermula di Wuhan.

Sebelum ini Jabatan Kesihatan Wilayah Hubei mengesahkan 15 lagi kematian dan 180 kes baharu jangkitan koronavirus dikesan di wilayah itu.

Wabak yang bermula di Wuhan, ibu kota wilayah Hubei, mendorong China untuk meningkatkan langkah menyekat penularan virus termasuk menggantung pengangkutan awam di 10 bandar raya, menutup kuil sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina dan menutup sebahagian Tembok Besar.

Koronavirus yang baru dikenal pasti mencetuskan kebimbangan kerana tidak banyak diketahui mengenai virus ini seperti tahap bahayanya dan betapa mudah ia boleh disebarkan antara manusia.

Categories
GLOBAL

China bina hospital baharu dalam masa 10 hari tangani koronavirus

BEIJING, 25 JAN: China giat mendirikan sebuah hospital baharu dalam tempoh 10 hari untuk merawat pesakit ketika penularan wabak maut yang menjangkiti ratusan penduduk di negara itu, lapor AFP.

Kemudahan di pusat bandar Wuhan dijangka akan digunakan pada 3 Februari bagi menangani peningkatan jumlah pesakit dijangkiti koronavirus dalam usaha mengekang penyebarannya.

Berpuluh-puluh jentera berat yang sedang giat beroperasi dirakamkan syarikat penyiar tempatan, CCTV.

Hospital itu akan mempunyai kapasiti 1,000 katil membabitkan kawasan lebih 25,000 meter persegi (270,000 kaki persegi), kata agensi berita rasmi Xinhua itu.

Pembinaan bermula sebaik laporan timbul kekurangan katil di hospital yang ditetapkan untuk menangani wabak, yang kini menjangkiti 830 orang di seluruh China.

Xinhua berkata kemudahan baru ini bertujuan untuk “mengurangkan kekurangan sumber rawatan perubatan dan meningkatkan keupayaan untuk menjaga pesakit.”

“Kami telah mengerahkan semua pekerja yang ditinggalkan di Wuhan untuk bekerja kuat dalam memastikan pembinaan sepanjang masa,” kata pengurus kumpulan pembinaan Wuhan Construction, Zhang Chongxi

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Hubei sahkan 15 lagi kematian 180 jangkitan

BEIJING, 25 JAN: 15 lagi kematian dan 180 kes baharu jangkitan koronavirus disahkan Jabatan Kesihatan Wilayah Hubei dikesan di wilayah itu ketika wabak itu semakin meningkat.

Wabak yang bermula di Wuhan, ibukota wilayah Hubei, mendorong China untuk meningkatkan langkah menyekat penularan virus, lapor REUTERS.

Tindakan itu termasuk menggantung pengangkutan awam di 10 bandar raya, menutup kuil sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina dan menutup sebahagian Tembok Besar.

Koronavirus yang baru dikenal pasti mencetuskan kebimbangan kerana tidak banyak diketahui mengenai virus ini seperti tahap bahayanya dan betapa mudah ia boleh disebarkan antara manusia.

Ia boleh menyebabkan radang paru-paru, yang menyebabkan kematian dalam beberapa kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan pelancong China di Johor Bahru tiada gejala koronavirus

KULAI, 24 JAN: Hasil saringan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ke atas lapan pelancong warga China di Johor Bahru hari ini menunjukkan tiada tanda-tanda atau gejala jangkitan koronavirus.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor Aminolhuda Hassan semasa mengesahkan perkara itu berkata empat individu dewasa dan empat kanak-kanak dari Wuhan itu, kini berada di sebuah hotel di negeri ini dan dipantau oleh JKNJ selama 14 hari.

Bagaimanapun, beliau berkata lapan individu itu tidak dihalang untuk pulang ke negara asal dalam tempoh berkenaan memandangkan sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus 2019-nCoV menunjukkan kesemua mereka bebas daripada virus itu.

Lapan individu berkenaan, katanya, mempunyai kontak dengan seorang lelaki China di Singapura yang disahkan positif virus itu, berada di negeri ini sejak semalam.

“JKNJ telah bertindak segera dengan mengesan kesemua kontak dan telah lakukan saringan untuk periksa status kesihatan.

“Hasil saringan menunjukkan mereka sihat dan tiada tanda-tanda ataupun gejala jangkitan berkenaan sehingga hari ini. Malah sampel klinikal juga telah diambil untuk ujian pengesanan virus (2019-nCoV) yang menunjukkan mereka bebas daripada virus itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, pergerakan lapan individu terbabit juga adalah terhad dan akan dipantau oleh JKNJ.

“Mereka boleh duduk di sekitar hotel dan berada dalam kawalan kita sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Semalam, seorang lelaki China berusia 66 tahun di Singapura disahkan positif novel koronavirus import.

Sementara itu, Aminolhuda berkata JKNJ akan memantau secara rapi pelancong di semua laluan masuk di negeri itu dengan membuat pemeriksaan suhu badan untuk menentukan sama ada pelawat berkenaan demam atau batuk.

“Jika sihat dan suhu normal, tidak akan ditahan tetapi semua warganegara China, Singapura atau mana-mana pelancong yang datang, mereka akan diberi risalah yang mengatakan dalam tempoh 14 hari jika ada gejala harus segera ke hospital berdekatan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kes koronavirus di Malaysia setakat ini

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Tiada kes membabitkan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) atau virus Wuhan baharu dilaporkan di Malaysia setakat ini, namun pihak berkuasa meneruskan langkah-langkah proaktif dalam mengesan dan mencegah penularan penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata selain meningkatkan saringan di pintu masuk, usaha itu juga menyaksikan kerjasama negara jiran Singapura, yang tampil berkongsi maklumat.

Hasil maklumat Kementerian Kesihatan Singapura lapan warga China, terdiri daripada empat orang dewasa dan empat orang kanak-kanak, yang tiba di Johor Bahru dari Singapura semalam dikuarantin di sebuah hotel, bagi tujuan pemantauan oleh Jabatan Kesihatan Johor (JKN).

“Kesemua mereka merupakan rakan seperjalanan seorang lelaki warganegara China berusia 66 tahun dari Wuhan, yang tiba di Singapura pada 20 Januari lepas dan disahkan positif bagi koronavirus,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata maklumat tersebut, JKN bertindak dengan cepat dengan mencari kesemua kontak dan melaksanakan saringan dan tidak menemui tanda ataupun sintom jangkitan dan mereka akan dipantau sehingga 14 hari atau sehingga mereka kembali ke negara mereka.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghargai kerjasama rapat dan berkongsi maklumat berkaitan informasi kesihatan yang diberikan rakan dari Singapura.

“Kerjasama bilateral ini akan terus dieratkan antara kedua negara. MOH akan terus memantau perkembangan terkini penularan 2019-nCoV di China menerusi maklumat diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sumber-sumber rasmi lain,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan, di China sahaja lebih 800 kes disahkan dengan 25 kematian dikaitkan dengan virus Wuhan.

Berdasarkan kronologi penyebaran virus itu, kes virus seumpama pneumonia pertama dilaporkan di Wuhan, China pada 31 Disember, sebelum merebak ke negara lain termasuk Singapura 3 kes, Thailand, Jepun dan Korea, masing-masing 2 kes serta Amerika Syarikat, 1 kes sehingga ini.

Seorang wanita memakai topeng pelindung berhampiran Chinatown di New York pada 23 Januari 2020 berikutan penularan wabak koronavirus. Foto AFP

Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan pada Khamis mendapati kesemua empat kes di Malaysia yang disyaki dijangkiti virus Wuhan sebelum ini, masing-masing dua di Selangor dan Sabah, negatif bagi virus itu.

Sementara itu beberapa lagi pihak berkaitan juga mengambil langkah-langkah proaktif, antaranya syarikat penerbangan AirAsia dan Malindo Air yang menghentikan sementara semua penerbangan ke dan dari Wuhan di China, sebagai langkah keselamatan.

Kementerian Luar Negara dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka telah mengikuti keputusan China untuk meneruskan penggantungan perjalanan atas tujuh lagi bandar – Huanggang, Ezhou, Chibi, Xiantao, Qianjiang, Zhijiang and Lichuan – selain Wuhan bagi mengawal penularan penyakit tersebut.

Kedutaan Malaysia di Beijing telah menggerakkan Pasukan Respond Kecemasan untuk membantu rakyat Malaysia di kawasan yang terlibat.

Kementerian Luar Negara juga menyatakan usaha yang sama juga diambil oleh pejabat konsulat Malaysia di China – Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai and Xi’an, dan juga di Malaysian Friendship and Trade Centre di Taiwan.

“Rakyat Malaysia yang tinggal atau melancong ke kawasan yang terjejas, dinasihatkan memberikan keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan peribadi, dengan mengambil langkah sepatutnya dan mengikuti arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, termasuklah mengelakkan berada di tempat awam dan segera mendapatkan rawatan jika mereka menghidapi simtom seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada kawasan terjejas,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan lain, bagi membantu dan menggalakkan rakyat Malaysia melindungi diri daripada kes-kes wabak yang sedang berleluasa, platform e-dagang terkemuka – Shopee memudahkan pencarian produk seperti topeng muka pembedahan, pembersih tangan, cecair dan penyembur disifeksen, tisu basah serta pencuci tangan antibakteria di halaman Keperluan Anti-Influenze -https://shopee.com.my/m/anti-influenza -necessities.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Singapura sahkan dua lagi kes

SINGAPURA, 24 JAN: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini mengesahkan dua lagi kes jangkitan novel koronavirus import di republik itu, menjadikan jumlah sebanyak tiga kes.

Dalam perkembangan terkini, kementerian itu mengatakan bahawa kes kedua dimaklumkan semalam apabila ujian awal bagi novel coronavirus adalah positif, dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan ujian.

Kes kedua itu membabitkan seorang wanita warganegara China berusia 53 tahun yang tiba di Singapura dari Wuhan bersama keluarganya pada Selasa lepas, menurut MOH.

“Keputusan ujian wanita itu kini disahkan bahawa dia positif novel koronavirus,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menyatakan bahawa wanita terbabit kini dirawat di wad isolasi Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan keadaannya stabil.

Sebelum dimasukkan ke hospital, wanita itu menginap di Hotel J8 di 8 Townshend Road dan menyatakan bahawa dia telah melawat Orchard Road, Marina Bay Sands dan Gardens by the Bay, serta menggunakan pengangkutan awam termasuk MRT dan teksi.

“Pengesanan sentuh telah dimulakan, risiko jangkitan daripada kontak sementara seperti pengangkutan awam atau tempat awam, dinilai sebagai rendah,” menurut MOH.

Sementara itu, kes ketiga pula melibatkan seorang lelaki warganegara China berusia 37 tahun dari Wuhan, yang juga anak kepada pesakit pertama kes itu yang dimaklumkan semalam, menurut MOH.

Kes ketiga ini dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan pesakit pertama virus ini dan MOH telah memulakan penyiasatan epidemiologi dan pengesanan sentuh untuk mengenal pasti individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit lelaki berusia 37 tahun itu.

Menurut MOH, pengesanan sentuh terhadap kes pertama iaitu lelaki warga China berusia 66 tahun dari Wuhan sedang dijalankan.

Sehingga 23 Januari lepas, MOH telah mengenal pasti 46 kontak rapat dengan kes pertama, bagaimanapun 24 daripadanya sudah keluar daripada Singapura termasuk lapan rakan seperjalanannya.

“Sebanyak 17 orang yang mempunyai kontak dengan kes ketiga telah diasingkan manakala 16 orang sedang dikuarantin dan usaha sedang dijalankan untuk menghubungi lima yang lain,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus cetus kebimbangan, 26 mati di China

SHAH ALAM, 24 JAN: Wabak koronavirus terus mencetuskan kebimbangan dunia apabila angka kematian meningkat kepada 26 orang dengan bilangan kes melonjak kepada 830, kebanyakannya di China.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan negara itu memaklumkan 24 daripada jumlah kematian direkodkan di Hubei, wilayah tengah China, lapor The Guardian.

Koronavirus baharu yang digelar 2019-nCoV oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencetuskan kebimbangan kerana mempunyai persamaan dengan wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada 2002-2003.

Pengawal keselamatan meronda di luar pasar borong makanan Huanan, lokasi koronavirus dikesan di Wuhan, China pada 24 Januari 2020. Foto AFP

Jangkitan ini, juga dikenali virus Wuhan, boleh mengakibatkan pneumonia atau radang paru-paru. Ia disebut sedemikian kerana bermula dari bandar berkenaan pada bulan lalu.

China mengenakan perintah kuarantin kepada hampir 20 juta penduduknya di Wuhan dan beberapa bandar berdekatan sebagai tindakan susulan terhadap virus itu.

Singapura sudah mengesahkan satu kes koronavirus, sementara Thailand pula merekodkan empat kes.

Berikut beberapa maklumat penting mengenai jangkitan berkenaan.

Simptom jangkitan

– Demam, batuk dan sesak nafas
– Kesukaran bernafas
– Cirit-birit

Kes lebih serius

– Pneumonia atau radang paru-paru
– Sindrom pernafasan akut teruk (SARS)
– Kegagalan buah pinggang
– Kematian

Rawatan

– Tiada vaksin
– Ubat antivirus boleh rawat jangkitan

Langkah pencegahan

– Elakkan mendekati haiwan
– Elakkan makan daging mentah atau tidak dimasak
– Elakkan tempat sesak dan individu yang mempunyai simptom
– Jaga kebersihan sekitar
– Pakai topeng penutup muka sekiranya batuk
– Cuci tangan sebelum menyentuh makanan
– Berjumpa doktor jika berasa kurang sihat

Negara yang disahkan terlibat (menurut laporan AFP)

– China (830 kes, 26 kematian)
– Hong Kong (2 kes)
– Macau (2 kes)
– Taiwan (1 kes)
– Korea Selatan (1 kes)
– Jepun (2 Kes)
– Vietnam (2 kes)
– Thailand (4 kes)
– Singapura (1 kes)
– Amerika Syarikat (1 kes)

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Lapan individu dikuarantin di sebuah hotel di JB

IPOH, 24 JAN: Lapan individu warganegara China yang tiba di Johor Bahru, Johor dari Singapura semalam kini diletakkan di sebuah hotel dengan pemantauan dan kawalan rapi Kementerian Kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kesemua mereka merupakan rakan seperjalanan seorang lelaki warganegara China berusia 66 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura pada 20 Januari lepas sebelum disahkan positif novel coronavirus import.

Menurut Dr Lee, kesemua lapan individu terbabit perlu diasingkan sekurang-kurangnya satu minggu bagi mengenal pasti sekiranya mempunyai simptom coronavirus.

“Mereka bukan pesakit tetapi mereka dipantau untuk dikuarantin bagi melihat sama ada terdapat simptom atau tidak kerana mereka ada hubungan dengan pesakit yang positif coronavirus. Tetapi buat masa ini, mereka tidak ada (simptom),” katanya kepada pemberita selepas meninjau ketibaaan penerbangan dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata pihaknya akan mempertingkatkan penggunaan mesin pengimbas suhu badan bagi mengesan virus coronavirus di semua kawasan lapangan terbang dan pintu masuk negara.

“Kita akan mempertingkatkan peralatan untuk buat saringan suhu badan di semua lapangan terbang dan pintu masuk,” katanya.

-BERNAMA