Categories
KENYATAAN MEDIA

KEADILAN ucap takziah mangsa kren runtuh Makkah

Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merakam ucapan takziah kepada seluruh keluarga jemaah haji yang diuji dalam tragedi kren runtuh di Masjidil Haram, Mekah petang Jumaat 11 September 2015.

Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah , mereka berkata “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali” (Al-Baqarah: 156)

Menurut laporan rasmi facebook Lembaga Tabung Haji hari ini, seramai lima orang jenazah haji Malaysia telah dilaporkan terkorban manakala dua lagi jemaah dilaporkan masih hilang.

Kren MakkahSetakat kenyataan ini disediakan, seramai sekurang-kurangnya 107 orang jemaah terkorban manakala sekurang-kurangnya 238 orang tercedera akibat daripada tragedi berkenaan yang disebabkan angin kuat dan hujan.

KEADILAN mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan dikurniakan pahala syahid serta roh mereka ditempatkan bersama para syuhada’ dan solihin.

Manakala yang cedera, didoakan mereka juga dikurniakan kesabaran, kesembuhan dan semoga reda dengan ujian daripada Allah s.w.t.

KEADILAN juga berdoa semoga ahli keluarga mangsa tabah, sabar dan reda menerima ujian ini.

KEADILAN percaya pihak Tabung Haji dan Kerajaan Malaysia akan berusaha sebaik-baiknya memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia menunaikan ibadah haji di samping terus mengemaskini keadaan jemaah haji yang terlibat dengan tragedi dari semasa ke semasa.

“Ya Allah, kurniakanlah aku ganjaran atas musibahku dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.” [Riwayat Muslim], Do’a daripada hadith Nabi Muhammad S.A.W.

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat

Categories
SELANGOR

Empat jemaah haji Selangor cedera kren runtuh di Makkah

SHAH ALAM 12 SEP: Empat jemaah haji dari Selangor adalah antara 10 dilaporkan cedera dalam kejadian runtuhan kren di Masjidil Haram dalam kejadian semalam pada jam 5.00 petang waktu tempatan.

Lembaga Tabung Haji dalam kenyataan media hari ini menyatakan mereka adalah Zainul Arifin Zulkifli, 36, Ahmad Muzafar Mamat@Adam, 39, Mohd Sharif Meon, 64 dan Mohd Nor Azman Hassan, 44.

Enam mangsa lain masing-masing tiga jemaah dari Kelantan, dua dari Terengganu dan seorang jemaah dari Kuala Lumpur.

KrenDari Kelantan ialah Mat Deris Mohd Noor, 62; Faridah Mat Yacob, 46; dan Abdul razak Mahmood, 61; manakala dari Terengganu ialah Faridah Mansor, 63; Noordin Wahab, 59; dan dari Kuala Lumpur, Rusiah Baba, 60.

Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan 10 jemaah tersebut tercedera.

Menurut kenyataan itu, tiada kematian melibatkan warganegara Malaysia dilaporkan setakat ini.

“Semua jemaah haji Malaysia yang tercedera diberikan rawatan di beberapa hospital sekitar Makkah,” katanya.

EZY