Categories
AGENDA NASIONAL

Program Sidang Perpaduan platform bertemu rakyat, pemimpin pelbagai kaum

SHAH ALAM, 20 SEPT: Program Sidang Perpaduan anjuran Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor (MPIS) menjadi platform pertemuan antara rakyat dan pemimpin pelbagai kaum.

EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud berkata penganjuran itu membolehkan semua pihak berbincang dan bertukar pandangan untuk mencari penyelesaian serta membawa agenda penyatuan.

“Apa yang ingin kita semua mahu lihat dalam negara bukan sekadar toleransi tetapi menerima rakan-rakan bukan seagama dan sentiasa memahami.

“Apabila memahami hakikat atau cara hidup serta cabaran orang lain, ini lebih menyatukan kita. Perkara ini dapat dilihat apabila masyarakat menyokong satu sama lain ketika negara dilanda Covid-19,” katanya.

Beliau berucap dalam program Sidang Perpaduan yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari secara maya malam tadi.

Menerusi sesi soal jawab bersama peserta program, Dr Siti Mariah memaklumkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang ingin menganjurkan aktiviti kemasyarakatan perlu berjumpa dengan Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan.

“Kerajaan Negeri memerlukan sukarelawan yang minat berkecimpung dalam program kemasyarakaran terutama untuk mengadakan program berkaitan kesihatan dan pemakanan sihat.

“Kalau peruntukan tidak cukup, jangan segan berjumpa wakil rakyat kawasan masing-masing untuk mendapatkan sedikit peruntukan, saya percaya ADN peka dengan aktiviti sukarelawan,” katanya.

Pada 3 Julai Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM1 juta diperuntuk untuk menggerakkan usaha perpaduan dan integrasi negeri termasuk penubuhan MPIS.

MPIS berfungsi bertindak sebagai badan penasihat dan pemikir berkaitan polisi perpaduan di negeri ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hospital Ampang tubuh KRT pangsapuri pertama di Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG, 17 APRIL: Hospital Ampang muncul pusat perubatan pertama di Selangor yang menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di pangsapurinya sebagai usaha memberdaya komuniti setempat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penubuhan KRT itu diharap mampu menjadi contoh kepada masyarakat kerana penduduk di pangsapuri berkenaan terdiri daripada kakitangan hospital yang mempunyai ilmu berkaitan kesihatan.

“Usaha ini (penubuhan KRT) amat dialu-alukan kerana ia satu usaha menyatukan masyarakat supaya kediaman kita lebih harmoni dan semangat bergotong-royong dikekalkan seperti digariskan dalam Dasar Komuniti Negara.

“Penubuhan KRT juga diharap dapat memberdaya komuniti supaya tahu menjaga kebersihan, keselamatan, harta benda dan keharmonian kawasan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran KRT Pangsapuri Hospital Ampang dan program Jom Sihat, di lobi utama Hospital Ampang, di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang turut berharap penduduk di kawasan itu bertanggungjawab terhadap kawasan perumahan sebaik mungkin dan menjaga imej selaku kakitangan kerajaan.

Dalam majlis sama, KRT Pangsapuri Hospital Ampang menerima sumbangan RM17,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diserahkan Zuraida dan Ahli Dewan Negeri Teratai, Bryan Lai Wai Chong.

KRT Pangsapuri Hospital Ampang mula ditubuhkan pada 10 Ogos 2018 terdiri daripada tiga blok bangunan yang menempatkan 427 unit rumah.

Setakat ini, hampir 393 unit rumah didiami kakitangan hospital dengan jumlah keseluruhan penduduk seramai 2,400 orang.

 

FOTO OLEH FIKRI YUSOF

 

Categories
SELANGOR

Penubuhan KRT Seksyen 7 Lestari Perdana berjaya kurang masalah jenayah

SERI KEMBANGAN 16 JAN: Penubuhan Kelab Rukun Tetangga (KRT) di Seksyen 7 Lestari Perdana lebih dua tahun lalu berjaya mengurangkan masalah jenayah dan kegiatan tidak bermoral di kawasan itu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Hairi Eerahim, berkata KRT berjaya memainkan peranannya dalam meningkatkan keselamatan awam jika dibandingkan sebelumnya walaupun rondaan dijalankan seminggu sekali atau pada cuti umum.

KRTKatanya, beliau mengharapkan setiap penduduk di Seksyen 7 Lestari Perdana berfikiran terbuka dan positif dalam usaha menjadikan KRT sebagai organisasi penghubung ke arah keharmonian antara kaum.

“Kerjasama semua pihak diharap dapat menjayakan program yang dijalankan oleh KRT khususnya Skim Rondaan Sukarela (SRS),” kata beliau dalam ucapannya.

Katanya, kerjasama erat penduduk dengan menyertai SKS atau menjadi ahli KRT keharmonian masyarakat setempat dapat diwujudkan dengan lebih berkesan.

Hairi Eerahim dipilih sebagai Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seksyen 7 Lestari Perdana , Bandar Putra Permai, Seri Kembangan,Selangor untuk sesi 2014/2015 dalam mesyuarat agung badan itu baru-baru ini.

Manakala penjawat awam di Putra Jaya, Mohd Nasir Hussin pula dipilih sebagai Naib Pengerusi dalam mesyuarat yang dihadiri oleh majoriti ahli KRT yang mendiami kawasan kediaman mengandungi 10 blok bangunan empat tingkat.

Sementara itu dua orang pesara, Isa Ramli dilantik menjawat jawatan Setiausaha, manakala Shaharuddin Yusof bagi jawatan Bendahari dan jawatan Penolong Setiausaha diisi oleh pekerja Bank Perdagangan, Mohamad Abdul Razak Ahmad.

EZY