Categories
NASIONAL

Zon Merah masih kekal di Kuala Koh

KOTA BHARU, 4 JULAI: Kawasan penempatan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang masih lagi diisytiharkan sebagai Zon Merah dan menasihatkan kepada orang ramai supaya jangan sesekali menceroboh masuk sehinggalah larangan itu ditarik balik.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, buat masa sekarang seramai 30 anggota daripada Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) masih ditempatkan di situ untuk melaksanakan tugas.

Beliau berkata sehingga kini Kementerian Kesihatan masih belum memutuskan sama ada untuk menamatkan atau tidak larangan berkenaan.

“Kita (polis) hanya menunggu arahan daripada pihak yang mempunyai kepakaran dan pihak polis hanya menjalankan arahan sepertimana yang terkandung dalam Peraturan 20 Majlis Keselamatan Negara.

“Bagi orang ramai yang mengggunakan laluan di situ diharap supaya bersabar kerana jika dinilai di sudut kesihatan, peraturan ini masih diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, hari ini.

Sementara itu, Hasanuddin berkata keadaan seorang anggota PGA8 yang sebelum ini disahkan diserang penyakit cacar air kini beransur pulih.

Namun, katanya anggota berkenaan masih lagi dirawat di Hospital Gua Musang dan sekiranya menunjukkan perkembangan positif mungkin dijangka keluar tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Hasanuddin berkata indeks jenayah di Kelantan menunjukkan penurunan sebanyak 18 peratus bermula Januari hingga Jun tahun ini.

Katanya dalam tempoh sama pada 2018 terdapat 2,098 kes jenayah direkodkan berbanding 1,720 sehingga Jun tahun ini dan menunjukkan penurunan sebanyak 378 kes atau 18 peratus.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama rapat antara masyarakat dan polis. Kita juga sentiasa mempertingkatkan operasi dalam pencegahan dadah kerana yakin kebanyakan kes jenayah yang berlaku sekarang mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan dadah ” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Media ‘berkampung’ 10 kilometer daripada penempatan suku Batek

 

GUA MUSANG, 12 Jun : Lebih 20 pengamal media terpaksa ‘berkampung’ kira-kira 10 kilometer daripada perkampungan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh di sini, bagi mengikuti perkembangan terbaharu berkaitan penularan radang paru-paru (pneumonia) dikalangan masyarakat tersebut.

Pengamal media berkumpul di laluan masuk yang dikawal oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) sejak pukul 9 pagi tadi bagi menunggu ketibaan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan yang dijangka akan mengadakan sidang akhbar mengenai perkembangan terbaharu kes berkenaan.

Tinjauan Bernama mendapati, agensi keselamatan lain termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut.

Difahamkan ketika ini Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang menjalankan operasi mengesan 12 mayat yang dilaporkan telah dikebumikan dalam hutan tanpa membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi berkata sekatan jalan di Felda Aring 10 dilakukan bukan sahaja untuk mengawal keluar masuk Orang Asli ke kawasan berkenaan malah orang awam yang mahu ke perkampungan tersebut.

Sementara itu, guru agama orang asli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Mohd Fadzli Mamok ketika ditemui pemberita di sekatan tersebut berkata beliau difahamkan PGA kini sedang mencari lapan mayat dalam kawasan radius tiga km daripada perkampungan Orang Asli itu.

“Selain itu, pasukan pencari juga sedang mengesan lokasi empat lagi mayat yang dikatakan dikebumikan di hulu Sungai Lebir,” katanya.

Isnin lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengeluarkan arahan larangan terhadap orang ramai daripada mamasuki perkampungan masyarakat Orang Asli itu atas alasan kesihatan kerana jangkitan kuman radang paru-paru mudah merebak menerusi udara.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan dua daripada 14 kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dalam tempoh sebulan lepas berpunca daripada radang paru-paru, namun punca sebenar kematian akan diketahui hanya setelah beberapa ujian yang dilakukan selesai dalam masa terdekat.

Masalah kesihatan yang melanda penempatan Orang Asli Suku Batek itu menyaksikan seramai 99 penduduk dirawat dengan empat daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penularan pneumonia di Kuala Koh tiada kaitan dengan pencemaran air

 

KOTA BHARU, 12 Jun : Penularan jangkitan radang paru-paru dalam kalangan masyarakat orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, disahkan tiada kaitan dengan isu pencemaran air atau aktiviti pembalakan, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata perkara itu disahkan oleh beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan dan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ini memberi kelegaan kepada kerajaan negeri kerana sebelum ini macam-macam tohmahan dilemparkan kepada kerajaan negeri yang dikaitkan dengan isu Orang Asli di Gua Musang, kata beliau.

“Malah, Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) sendiri menjelaskan bahawa isu Orang Asli di perkampungan itu tiada sangkut paut dengan pencemaran air atau perlombongan seperti didakwa sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata kerajaan negeri melalui syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terus menghantar bekalan air bersih ke penempatan Orang Asli di Kuala Koh walaupun air di kawasan berkenaan disahkan selamat untuk digunakan.

“Kita juga difahamkan terdapat telaga tiub dibina di kawasan itu. Bila disahkan air di kawasan itu selamat digunakan, masyarakat Orang Asli di situ juga boleh menggunakan kemudahan itu,” katanya.

Mengenai aktiviti perlombongan haram yang didakwa sesetengah pihak berlaku di kawasan itu, beliau berkata Gua Musang kaya dengan pelbagai sumber galian namun kerajaan negeri mempunyai kawalan tertentu untuk sebarang aktiviti perlombongan.

Beliau turut difahamkan bahawa sebuah kawasan perlombongan yang terletak di Kuala Koh juga beroperasi secara berlesen.

Beliau enggan mengulas lanjut namun meminta pihak media mendapatkan maklumat lebih jelas daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.

Kementerian Kesihatan mengesahkan dua daripada 14 kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dalam tempoh sebulan lepas berpunca daripada radang paru-paru, namun punca sebenar kematian akan diketahui hanya setelah beberapa ujian yang dilakukan selesai dalam masa terdekat.

Masalah kesihatan yang melanda penempatan Orang Asli Suku Batek itu menyaksikan seramai 99 penduduk dirawat dengan empat daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ambil suntikan vaksin sebelum ke perkampungan Orang Asli Kuala Koh

KOTA BHARU, 12 Jun : Aktivis dan pengamal media yang mahu memasuki perkampung Orang Asli suku Batek di Kuala Koh Gua Musang dinasihati supaya mendapatkan suntikan vaksin jangkitan paru-paru terlebih dahulu bagi melindungi mereka daripada penyakit tersebut.

Pegawai Perubatan di sebuah klinik swasta di sini Dr Hafidzah Mustakim berkata pengambilan vaksin seperti Influenza dan Pneumococcal mampu mencegah jangkitan radang paru-paru (pneumonia).

“Gejala atau tanda yang dialami pesakit pneumonia termasuk batuk, sakit dada, demam, menggigil, sakit badan dan kesukaran bernafas dengan penyebab pneumonia adalah kuman terdiri dari samada kuman bakteria, virus, fungus atau parasit.

“Ia adalah penyebab kematian bagi semua peringkat umur selain adalah penyebab kematian utama pada golongan kanak-kanak di negara yang berpendapatan rendah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Isnin lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan larangan kepada orang ramai daripada memasuki perkampungan masyarakat Orang Asli itu kerana jangkitan kuman paru-paru mudah menular.

Mengulas lanjut, Dr Hafidzah berkata apabila seseorang terkena jangkitan pneumonia, ia boleh mengakibatkan berlakunya radang yang menyebabkan paru-paru dipenuhi cecair dan nanah.

“Mikroorganisma parasit memasuki badan melalui kulit atau ditelan kemudian pergi ke paru-paru melalui saluran darah, membolehkan ia memberi tindak balas terhadap imun subset sel darah putih yang meningkat.

“Golongan berisiko mendapat pneumonia ini termasuklah perokok dan pesakit kronik paru-paru atau asma, bayi kurang dari setahun atau mereka yang berusia lebih 65 tahun dan golongan yang menghidap Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS),” katanya.

Beliau berkata pesakit yang mendapat rawatan kemoterapi atau steroid, pesakit kegagalan buah pinggang, pengidap kanser, kekurangan zat atau malnutrisi berpanjangan, penggemar minuman alkohol berlebihan serta tinggal berkelompok dalam fasiliti kesihatan seperti ‘nursing home’ juga berisiko terkena jangkitan pneumonia.

Katanya rawatan umum adalah menggunakan ubat antibiotik, antivirus dan antikulat untuk merawat jangkitan penyakit itu namun bergantung kepada punca tertentu keadaan.

“Kebanyakan kes pneumonia, bakteria boleh dirawat di rumah dengan antibiotik oral dan kebanyakan orang bertindak balas terhadap antibiotik yang diberikan.

“Untuk kes yang lebih serius rawatan hospital juga diperlukan merangkumi langkah pencegahan berkesan termasuklah berhenti merokok kerana ia mengurangkan kerosakan pada paru-paru,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tindakan segera perlu diambil selamatkan Orang Asli Kuala Koh

KOTA BHARU, 8 Jun : Tindakan segera perlu diambil bagi menyelamatkan masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh yang berdepan ancaman kesihatan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Senator Datuk Husam Musa.

Husam berkata siasatan perlu dilakukan jika kematian penduduk berpunca daripada sisa buangan lombong besi yang mencemari kawasan tadahan air penduduk.

“Langkah segera membekalkan air bersih hendaklah diambil dan kesan amalan perlombongan berkenaan hendaklah disiasat dan diatasi.

“Adalah satu peristiwa malang, Orang Asli yang telah sedia ketinggalan dan kesempitan dalam semua segi, disukarkan lagi kehidupan mereka sehingga mengorbankan bilangan yang besar keluarga mereka, termasuk kanak-kanak.

“Lebih penting ialah anggota masyarakat mereka yang masih hidup tidak terus menjadi mangsa dan dapat diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut menyeru semua agensi terbabit tampil menyiasat kedudukan sebenar isu berkenaan seterusnya mengambil langkah proaktif menyelamatkan mangsa dan memaklumkan kedudukan sebenar kepada keluaga dan masyarakat Orang Asli yang terlibat dan rakyat secara keseluruhannya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Taufik Maidin hari ini dilapor menafikan dua penduduk Orang Asli yang meninggal dunia di Kampung Kuala Koh pada 29 Mei lepas dan semalam berpunca sakit misteri.

Taufik turut dipetik menafikan dakwaan penduduk Orang Asli di perkampungan itu yang menyatakan 13 orang sudah meninggal dunia akibat penyakit itu memandangkan pihaknya hanya menerima laporan kematian dua orang sahaja setakat ini. -BERNAMA

 

Kredit Foto : Facebook Husam Musa