Categories
AGENDA NASIONAL

Thaipusam: Jalan sekitar Batu Caves tutup mulai 7 malam hingga 12 tengah malam

SHAH ALAM, 17 JAN: Tujuh jalan di sekitar Kuil Subramaniam Batu Caves ditutup bermula semalam hingga 21 Januari depan sempena sambutan Thaipusam.

Polis daerah Gombak menerusi Facebook memaklumkan penutupan jalan bermula jam 7 malam hingga 12 tengah malam bagi memastikan kelancaran aliran trafik bagi pengguna jalan raya.

Seramai 318 pegawai kanan dan anggota ditugaskan sepanjang jalan bagi memastikan kelancaran trafik.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed ketika turun padang meninjau kawasan sekitar kuil berharap masyarakat sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan menjaga keselamatan sepanjang perayaan.

Berikut adalah jalan yang ditutup:

– Lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves
– Susur dari arah MRR2 ke kuil Batu Caves
– Jalan Batu Caves Lama ke pintu utama kuil Batu Caves
– Simpang 3 lampu isyarat hadapan Stesen Minyak Shell Batu Caves
– Simpang 3 Jln SBC 8 / Jalan Lama Batu Caves
– Susur MRR2 dari Sri Gombak menghala susur Jalan Perusahaan Batu Caves
– Jalan Perusahaan menghala ke kuil Batu Caves