Categories
AGENDA NASIONAL

Jajaran ECRL hanya libat empat daerah di Selangor

SHAH ALAM, 8 NOV: Jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya melibatkan empat daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan Klang yang akan merentasi negeri itu dalam anggaran lebih kurang 50 kilometer.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, jajaran ECRL yang terdahulu pernah dicadangkan untuk merentasi kawasan Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) di daerah Gombak.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan pembentangan daripada Malaysia Rail Link Sdn Bhd cadangan jajaran terbaharu ECRL tidak lagi merentasi daerah berkenaan.

“Dengan itu, adalah jelas bahawa laluan ini tidak lagi merentasi PKGS di Gombak.

“Justeru, hasrat negeri untuk memelihara tapak PKGS dapat dikekalkan dan boleh dimartabatkan sebagai tapak Geopark,” katanya.

Beliau (PAKATAN-Kajang) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Saari Sungib (PAKATAN-Hulu Kelang) di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, selepas mengambil kira kepentingan PKGS melalui beberapa rundingan Kerajaan Negeri bersama pihak terlibat, Malaysia Rail Link Sdn Bhd membuat pembentangan projek Jajaran terbaharu ECRL di Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 11 Julai lalu.

Katanya, pada 23 September lalu pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd juga membentangkan Jajaran terbaru ECRL di PLANmalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor.

“Kesimpulannya, walau di mana tapak PKGS berada di Tapak Geopark UNESCO atau Tapak Warisan Geopark Kebangsaan pihak Kerajaan Negeri akan memastikan ia tetap akan terpelihara.

“Ini menunjukkan komitmen yang tinggi oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan PKGS sebagai warisan negeri terus dipelihara dan dinikmati oleh generasi yang akan datang,” katanya.

Categories
NASIONAL

SPAD perlu dedah kos ECRL

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 MEI: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) perlu mendedahkan pecahan kos bagi setiap segmen dan aliran cawangan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), gesa Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Yeo Bee Yin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Damansara Utama berkata, Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) menimbulkan beberapa perkara meragukan yang memerlukan penjelasan terperinci SPAD.

Katanya, ia termasuk kos pembinaan landasan tunggal projek berkenaan dilihat terlalu tinggi berbanding projek lain yang mempunyai landasan berkembar.

Yeo Bee Yin (2)“Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) sepanjang 191 kilometer (KM) dengan kos RM8.9 bilion iaitu bersamaan RM46 juta per KM.

“Ia separuh daripada kos landasan tunggal ECRL berdasarkan kiraan per KM.

“Umpamanya kita bayar untuk nasi goreng ayam, tapi dapat nasi goreng sahaja tanpa ayam,” katanya dipetik Roketkini.

Beliau dilapor berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat SPAD di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut serta, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming yang menggesa SPAD bersikap lebih telus dalam perbelanjaan projek bernilai RM55 bilion itu.

ECRL MAPDijangka mula dilaksanakan pada Julai nanti, ECRL melalui empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Fasa pertama ECRL merangkumi laluan sepanjang 600.3 km, bermula di terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak akan berakhir di Wakaf Bharu, Kelantan, dengan 23 stesen perhentian di antaranya.

Selepas selesai fasa pertama, fasa kedua dijangka akan menghubungkan laluan sehingga ke Pelabuhan Klang.